Rungkai tabu pendidikan seks melalui lukisan kartun
2024.11.28
Kuala Lumpur
Pengalaman trauma yang dihadapi pada masa lalu akibat diganggu dengan kata-kata berunsurkan seksual, seorang pelajar universiti mengerakkan sebuah pertubuhan bersama rakan-rakannya untuk membangkitkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan pendidikan seks dalam kalangan kanak-kanak.
Pengasas bersama Pocket of Pink (POP) Ain Husniza Saiful Nizam, 20, cuba untuk memecahkan tabu berkaitan pendidikan seks yang selama ini membelenggu masyarakat konservatif Malaysia dengan tanggapan bahawa ia hanya mendorong seseorang kanak-kanak menjadi lebih liar.
Beliau yang juga Duta Belia Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) untuk wanita dan kanak-kanak bersama lapan lagi rakannya menyedari bahawa usaha untuk mendedahkan kanak-kanak seawal usia sembilan tahun tentang pendidikan seks bukan suatu perkara yang mudah.
Lantas, mereka menggerakkan usaha mengubah pendekatan, daripada hanya mengadakan sesi pembelajaran di dalam kelas, kanak-kanak didedahkan kepada topik yang sukar itu melalui lukisan kartun.
Pendekatan itu dilihat lebih sesuai dengan naluri kanak-kanak yang kebiasaannya meluahkan sesuatu daripada hati atau pengalaman hidup ke dalam bentuk lukisan atau kartun.
Ain bersama rakan-rakannya memerah otak selama dua bulan untuk merancang dan membuat rumusan bagi menghasilkan sebuah buku aktiviti setebal 20 muka surat bertajuk “Express to Empower: Bodies, Boundaries, and Identity” yang berasaskan lukisan kartun.
Buku aktiviti yang sesuai untuk kanak-kanak berusia 9 hingga 12 tahun mengandungi lukisan kartun berwarna-warni yang menerangkan tentang anatomi tubuh, batasan dan mengenali tingkah laku tidak sesuai secara interaktif dan menarik melalui visual.
“Kanak-kanak sebenarnya dapat belajar dengan lebih baik melalui visual,” jelas Ain.
"Saya sedar wujud stigma dan persepsi bahawa pendidikan seks akan mendedahkan kanak-kanak kepada perilaku liar. Sebenarnya kita bukan ingin menggalakkan seks, sebaliknya mengenali tubuh sendiri dan cepat sedar kalau seseorang tidak menghormati kita.
“Sekiranya kanak-kanak tidak menyedari perkara ini, mereka tidak tahu tentang bahaya, penderaan dan kesan buruk yang mungkin berlaku. Kami mahu mencipta sesuatu yang menarik dan sesuai dengan tahap umur mereka, di mana kanak-kanak berasa selamat untuk belajar tentang tubuh dan batasan perhubungan,” katanya kepada BenarNews.
Buku aktiviti yang dilancarkan pada 19 Oktober lalu itu mendapat perhatian besar daripada ibu bapa, terutamanya selepas tercetus kes penderaan kanak-kanak Global Ikhwan Service and Business Holdings (GSBH) yang mendapat liputan antarabangsa pada September lalu.
Dalam kes itu, polis menyelamatkan lebih 600 kanak-kanak dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan penderaan seksual di rumah amal kendalian konglomerat itu.
“[Selepas kes GISBH] ramai ibu bapa menunjukkan kesedaran terhadap isu ini. Mereka mahu anak-anak tahu tentang jenis penderaan seksual dan memahami batasan. Ibu bapa mahu anak-anak mereka mendapat pendedahan tentang pendidikan seks sejak dari awal,” kata Ain.
Bagi Ain, penghasilan buku aktiviti tersebut bukan sekadar satu keperluan dalam pendidikan, malah ia menyentuh secara peribadi kisah pahit getir hidupnya sewaktu di bangku sekolah.
Pada 2021, ketika berusia 17 tahun, Ain telah menarik perhatian seluruh negara apabila dia secara terbuka mempersoalkan seorang guru yang membuat jenaka berkaitan rogol semasa kelas pendidikan jasmani.
Namun, tindakan gadis itu mendapat kecaman daripada rakan sekelas dan komuniti. Dia dibuli di sekolah, hilang kawan-kawan dan dihujani serangan toksik secara dalam talian kerana bersuara menentang guru tersebut.
Ketika itu, Ain terasa sangat terasing lantas ia menyedarkannya bahawa dia perlu melakukan sesuatu untuk merungkai stigma terhadap penderaan seksual dan pendidikan seks.
Ain percaya bahawa pendidikan awal mampu membawa perubahan besar dalam usaha mencegah berlakunya penderaan.
“Jika kanak-kanak tahu tentang hak dan memahami batasan, mereka lebih mudah untuk bersuara apabila melihat sesuatu perkara yang tidak betul berlaku,” ujarnya.
Serangan seksual kanak-kanak meningkat
Data kebangsaan memberikan gambaran yang kelam. Kejadian serangan seksual terhadap kanak-kanak pada 2023 meningkat sebanyak 21.1 peratus, dengan 1,389 kes dilaporkan berbanding 1,147 pada 2022, kata Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin pada 1 November lalu.
Ternyata sikap masyarakat yang membisu atau berdiam diri terhadap kepentingan pendedahan pendidikan seks gagal memberikan penyelesaian malah kes penderaan seksual, gejala kehamilan remaja dan pembuangan bayi menunjukkan peningkatan.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat pada 23 November lalu mengakui bahawa banyak lagi insiden berkaitan serangkan seksual tidak dilaporkan kerana stigma.
Sementara itu, kes eksploitasi dan pengantunan kanak-kanak dalam talian meningkat secara mendadak, dengan data polis menunjukkan peningkatan 40 peratus dalam kes penderaan digital antara 2020 hingga 2023.
Meskipun statistik ini membimbangkan, pendidikan seks yang diterapkan di sekolah Malaysia masih bersifat perkara asas dengan kurikulum kebangsaan memperkenalkan beberapa elemen kesihatan reproduktif di peringkat menengah, kata Ain.
Namun bagi pelajar sekolah rendah, kumpulan umur yang paling terdedah hampir tidak menerima pendedahan tersebut, ujarnya.
“Guru tidak terlatih sepenuhnya untuk menyampaikan mesej dan pelajar tidak mendapatkan nasihat daripada kaunselor sekolah kerana mereka kurang percaya.
“Mereka bimbang aduan mereka tidak dirahsiakan. Namun jika kita tidak mendidik anak-anak, kita membiarkan mereka terdedah (kepada penderaan atau gangguan seksual),” tambah Ain.
Pornografi mudah diakses, tetapi bukan pendidikan seks
Dalam pada itu, salah satu ciri unik pada buku aktiviti tersebut itu ialah aktiviti jaringan hubungan di mana kanak-kanak melukis “khalayak baik” mereka iaitu orang sekeliling yang membuatkan mereka berasa selamat dan dihormati.
“Saya gunakan analogi labah-labah,” jelas Damia Nourrys Faris, pengarah pendidikan POP.
“Kanak-kanak diibarat seperti labah-labah manakala khalayak yang baik ialah sarang labah-labah tersebut. Mereka rasa seronok dan tertarik untuk belajar bagaimana membina hubungan yang sihat,” ujarnya lagi.
BenarNews yang memuat turun kandungan buku aktiviti itu mendapati, ia bukan sekadar menyeronokkan malah ilustrasi, penerangan dan kartun yang dimuat di dalamnya dapat mengungkapkan jawapan kepada isu kritikal berkaitan pendidikan seks dengan bahasa yang mudah.
Salah satu bab dalam buku itu seperti "Jenis Penderaan" menggunakan istilah yang senang difahami dan secara keseluruhannya memberikan penjelasan secara santai.
“Kami mahu kanak-kanak rasa seolah-olah mereka sedang berdialog dengan kami, bukan duduk dalam kelas,” kata Damia.
Buku aktiviti tersebut turut dijual secara dalam talian pada harga RM25 sebuah dan ia sedang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, Tamil dan Mandarin untuk menjangkau lebih ramai pembaca.
“Matlamat kami adalah untuk meluaskan aktiviti (mengenai pendidikan seks) kepada program dalam bentuk bengkel,” kata Damia.
“Kami merancang untuk meluaskannya ke 10 buah sekolah kebangsaan dan swasta menjelang 2025 dengan menggunakan buku aktiviti dalam sesi interaktif dikendalikan oleh ahli kami. Semuanya tentang menjadikan pendidikan lebih berkesan dan boleh diakses.”
Sementara itu, Noor Azimah Rahim, pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) bersetuju sekiranya Kementerian Pendidikan dapat mengguna pakai lukisan kartun yang diterbitkan POP sebagai alat bantuan mengajar dan melatih guru untuk menggunakannya dengan berkesan.
“Tidak cukup bergantung kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semata-mata untuk melaksanakan usaha ini,” katanya kepada BenarNews.
“Kes kehamilan remaja dan pembuangan bayi hampir mencecah tahap rekod. Kita perlu menangani kesan moral dan budaya bersama fakta yang ada.”
Berdasarkan data kerajaan, sebanyak 509 kes pembuangan bayi dilaporkan antara 2018 hingga Februari tahun ini, manakala 44,263 kehamilan remaja direkodkan dalam tempoh lima tahun lepas.
Azimah turut menyatakan kebimbangan tentang isu yang lebih besar iaitu akses kepada kandungan yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.
“Mungkin akses kepada pornografi perlu dikawal dengan lebih ketat,” katanya.
Perubahan sistematik
Meskipun inisiatif seperti buku aktiviti yang diusahakan oleh POP kian mendapat perhatian, Azimah percaya perubahan sistemik sebenarnya lebih penting.
“Kita memerlukan program yang tersusun di sekolah. Kita perlu membincangkan perkara ini secara terbuka. Sudah tiba masanya untuk kita berhenti bersembunyi di sebalik isu-isu tabu.
“Pendekatan baharu seperti ini benar-benar boleh membawa perubahan,” katanya.
Sementara itu, seorang remaja, Norlin Arshad, 11, berharap buku aktiviti berasaskan kartun itu dapat diterima secara meluas kerana ia bersifat mendidik dan senang difahami.
“Pornografi sangat mudah diakses di Internet. Guru pula tidak betul-betul mengajar kami tentang pendidikan seks di sekolah dan ibu bapa juga tidak membincangkannya.
“Kami hanya diajar untuk menjaga maruah diri. Namun bagaimana dengan mereka yang didera secara seksual? Ke mana mereka hendak mengadu? Ia adalah trauma yang perlu ditangani dan dibincangkan,” luahnya kepada BenarNews.