Pengubal undang-undang, aktivis tuntut jawapan projek kapal tempur tertangguh

Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah & Nani Yusof
2022.08.08
Kuala Lumpur & Washington
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Pengubal undang-undang, aktivis tuntut jawapan projek kapal tempur tertangguh Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein berucap ketika sidang kemuncak Dialog Shangri-La di Singapura, 11 Jun 2022.
(Roslan Rahman/AFP)

Desakan semakin kuat dibuat terhadap kerajaan Malaysia supaya memberikan penjelasan mengapa satu projek berbilion ringgit untuk membina kapal tempur pesisir pantai atau Littoral Combat Ship (LCS) masih belum menunjukkan sebarang hasil walaupun setelah lebih lapan tahun dilaksanakan, dengan Transparency International Malaysia menggelarkan perkara itu sebagai "satu pembelian dan kegagalan tadbir urus yang teramat besar".

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein - yang bertanggungjawab memulakan projek berkenaan pada 2014 - ketika menjawab persoalan mengenai isu LCS di Parlimen menyatakan bahawa kapal pertama untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu akan disiapkan "dalam setahun atau dua".

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang sebab di sebalik kelewatan itu.

"Kita sedang berusaha untuk memastikan kapal berkenaan sampai kepada TLDM. Saya juga berasa kecewa tetapi kita mesti memandang ke hadapan," kata Hishammuddin.

Syarikat pembinaan kapal tempatan Bousted Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) telah dibayar lebih RM6 bilion (AS$ 1.36 bilion), menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Khamis lalu, tetapi tidak satu pun daripada lima biji kapal yang dijadualkan tiba pada bulan ini telah dihantar ke pelabuhan negara.

Sementara itu, Transparency International-Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada kumpulan pemerhati rasuah antarabangsa, menggesa supaya satu siasatan dijalankan.

"Dengan kesemua ini berlaku, bagaimanakah projek LCS yang bermula pada tahun 2013 dibenarkan untuk menjadi satu pembelian dan kegagalan tadbir urus terbesar untuk sekian lama," kata badan itu dalam satu kenyataan pada Isnin, merujuk kepada projek berkenaan yang dimulakan sebelum kontrak ditandatangani pada 2014.

"Bagaimana mereka semua boleh tidak nampak semua tanda-tanda masalah ini? Di manakah pemantauan, tadbir urus dan akauntabiliti?," kata Muhammad Mohan, Presiden Transparency International-Malaysia.

Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan menghentikan pembayaran sehingga kesemua kapal yang ditempah itu diserahkan dan supaya pihak berkuasa menyiasat semua kontraktor serta sub-kontraktor jika perlu bagi menentukan samada terdapat penggunaan syarikat palsu sebagai orang tengah projek LCS.

Kontrak untuk membina enam buah kapal LCS yang bernilai RM9 bilion (AS$2 bilion) itu dianugerahkan kepada BNS, yang merupakan anak syarikat Boustead Heavy Industries Corp Bhd, pada 2014 dan merupakan kontrak terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan.

Pada Khamis, pengerusi PAC Wong Kah Woh mengeluar laporan setebal 250 mukasurat oleh jawatankuasa dwi-partisan itu selepas siasatan selama dua tahun untuk diperdebatkan di Parlimen.

"Hasil daripada prosiding ini mendapati bahawa projek LCS telah diberikan kepada BNS melalui rundingan terus, dengan kerajaan telah membayar sebanyak RM6.083 bilion, tetapi tidak satu pun kapal LCS telah disiapkan walaupun jadual asal menyatakan bahawa lima daripada kapal berkenaan sepatutnya sedia diserahkan pada Ogos 2022," kata Wong kepada media.

Jawatankuasa itu mendapati bahawa terdapat lebihan perbelanjaan sebanyak RM1.4 bilion (AS$314 juta), termasuk RM400 juta (AS$90 juta) untuk membayar hutang daripada satu projek lama kapal peronda, kata Wong, yang turut meminta kementerian untuk sentiasa memaklumkan perkembangan projek LCS kepada PAC.

"Kementerian Pertahanan akan membentangkan satu plan substantif mengenai pembelian keperluan tentera kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai pertahanan dan keselamatan daripada semasa ke semasa dengan melibatkan semua pemegang taruh," kata beliau.

Menurut Wong, jawatankuasa dipengerusikannya mencadangkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan berdasarkan penemuan dibuat PAC dan Jawatankuasa Khas Mengenai Siasatan Tadbir Urus, Pembelian dan Kewangan Kerajaan. Pendakwaan di mahkamah, sekiranya perlu, juga perlu dipercepatkan, kata Ahli Parlimen itu.

PAC turut mencadangkan supaya kementerian meneliti semula semua pilihan yang ada dan membuat keputusan terbaik untuk masa depan projek berkenaan bagi memastikan wang rakyat dibelanjakan dengan bertanggungjawab. Kementerian itu juga perlu menghantar laporan kemajuan projek setiap tiga bulan sehingga projek itu siap.

Siasatan SPRM

Sementara itu, ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan berkata bahawa agensi anti-rasuah itu kini telah memasuki fasa terakhir siasatannya terhadap projek berkenaan. Bagaimanapun, tambah beliau, hasil dapatan daripada siasatan berkenaan tidak dapat didedahkan kerana ia melibatkan isu sensitif.

"Siasatan berkenaan perkara itu memang sudah dijalankan sudah banyak tahun, sekarang saya tidak mahu umumkan lagi siasatan berada di peringkat mana dan apakah keputusannya demi menjaga sensitiviti," kata beliau kepada wartawan.

"Saya perlu menjaga sensitiviti siasatan ini kerana ia tidak hanya melibatkan SPRM tetapi juga agensi lain termasuk Jabatan Peguam Negara," kata beliau.

Pembangkang Gesa Henti

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim pula telah menggesa supaya projek pembinaan kapal LCS yang keenam dibatalkan.

"Kami mencadangkan supaya Putrajaya menyiapkan projek yang sedang berjalan dan menghentikan projek LCS terakhir bernilai RM571 juta (AS$128 juta), yang masih belum bermula. Wang ini patut dipulangkan kepada rakyat untuk menyelesaikan isu kos sara hidup yang makin meningkat dan menyelesaikan isu lain berkenaan kebajikan dan pencen bekas tentera," kata beliau kepada media di Parlimen minggu lalu.

Pada Isnin, Mohamad Sabu, yang menjawat jawatan menteri pertahanan ketika Pakatan Harapan memerintah negara (2018-2022), dan timbalannya ketika itu, Liew Chin Tong, menggesa supaya kementerian pertahanan membatalkan klasifikasi rahsia ke atas semua dokumen dan surat berkaitan projek itu, menurut laporan media tempatan.

"Tanpa dokumen terlibat dinyahklasifikasi, banyak persoalan tidak akan terjawab," kata Mohamad Sabu.

Nisha David dan Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.