Follow us

Orang Asli Temiar Tekad Pertahankan Hak

Muzliza Mustafa
Kuala Lumpur
2016-11-30
E-mel
Komen
Share
Sekumpulan Orang Asil berjalan ke mahkamah untuk memberi semangat kepada keluarga dan rakan mereka yang ditahan reman di Mahkamah Majistret Gua Musang, Kelantan, 30 November 2016.
Sekumpulan Orang Asil berjalan ke mahkamah untuk memberi semangat kepada keluarga dan rakan mereka yang ditahan reman di Mahkamah Majistret Gua Musang, Kelantan, 30 November 2016.
(Ihsan dari Jaringan Orang Asal Se-Malaysia)

Orang asli Temiar tekad mempertahankan kawasan hutan pendalaman di Gua Musang, Kelantan, walaupun sebahagian daripada anggota keluarga mereka telah ditahan pihak berkuasa, dengan kerajaan negeri pula menafikan berlakunya krisis kemanusiaan melibatkan masyarakat itu.

Nasir Yash wakil dari Ahli Jawatankuasa Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan berkata, keputusan mempertahankan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah di Gua Musang, dibuat berdasarkan kepada suara ramai dikalangan masyarakat itu yang tidak mahukan lagi aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan.

"Kami tiada lagi jalan lain dan sedia ditahan pihak berkuasa. Kami akan terus  melakukan semula sekatan dalam masa yang terdekat, jika kerajaan negeri tidak menepati janji mereka untuk merungkaikan masalah ini,” kata Nasir.

“Kami bertindak demikian kerana tidak mahu pencemaran sungai yang berterusan, pemusnahan tanah perkuburan atau sumber pendapatan tergugat. Kami sudah hilang sabar,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri menyerahkan isu berkaitan insiden menghalang laluan balak di tiga lokasi iaitu HSK Balah, HSK Perias dan HSK Gunung Stong kepada Jabatan Perhutanan Kelantan dan polis.

“Isu penangkapan yang berlaku tadi sewajarnya diserahkan kepada kebijaksanaan pihak polis dan tidak seharusnya mana-mana pihak campur tangan sehingga siasatan yang dijalankan selesai,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan media tempatan.

Krisis di kawasan berkenaan timbul sejak 26 September, selepas lebih 200 penduduk masyarakat kaum asli itu menghalang laluan keluar masuk lori pengangkut balak di Kampung Petei, Pos Bering.

Sementara itu, Che Abdullah Mat Nawi, Pengerusi Jawatankuasa Negeri yang bertanggungjawab ke atas portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau pula menafikan berlakunya krisis kemanusian membabitkan masyarakat orang asli.

Sebaliknya, beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS, yang mentadbir negeri itu berdekad lamanya berkata, apa yang berlaku ialah pelanggaran undang-undang kerana mereka membina sekatan dan menghalang pembalak memasuki kawasan yang telah diluluskan kerajaan negeri.

"Tidak ada krisis kemanusiaan langsung yang berlaku seperti yang didakwa pihak tertentu. Yang ada ialah krisis (Orang Asli) melanggar undang-undang yang didalangi pihak tertentu, katanya seperti dilaporkan oleh akhbar tempatan Berita Harian pada Rabu.

Tahan aktivis

Pada Selasa, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dengan kerjasama polis telah merobohkan dua sekatan yang dibina oleh penduduk orang asli sejak September lalu dalam usaha menyekat balak daripada dibawa keluar.

Polis menahan seramai 47 penduduk Orang Asli yang terbabit dengan sekatan laluan lori balak di Simpang Petei dan Pos Bihai kerana melanggar arahan pihak berkuasa. Mereka juga ditahan reman bagi membantu siasatan mengenai sekatan anti-pembalakan yang telah berlangsung lebih tiga bulan.

"Tujuh belas daripada mereka ditahan reman selama tiga hari manakala yang lainnya  selama dua hari,”peguam hak asasi Siti Kasim, yang mewakili masyarakat orang asli, memberitahu BeritaBenar.

Siti yang sejak dari awal bersama dengan kumpulan aktivis orang asli tersebut berkata tiga peguam termasuk beliau akan mewakili orang asli dalam tahanan jika mereka didakwa.

“Kita akan lawan mereka di mahkamah,” kata Siti.

Perintah tahan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Faiz Omar di Mahkamah Majistret Gua Musang di bawah Seksyen 32, 47 dan 81 kerana didakwa menceroboh dan tinggal di hutan simpanan tanpa kebenaran.

Mengenai penahanan Orang Asli, Che Abdullah yang senada dengan Menteri Besar Kelantan berkata, “Terserah kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang ditahan dalam operasi merobohkan sekatan yang didirikan oleh Orang Asli di Gua Musang,"

Beliau mendakwa Orang Asli dijadikan 'alat' oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu supaya menentang kerajaan negeri sehingga melanggar undang-undang.

"Ingin saya ingatkan kita ada peraturan dan undang-undang. Jangan buat undang-undang sendiri. Jika tidak puas hati (aktiviti pembalakan dirasakan tidak betul) lapor kepada pihak berkuasa mengikut saluran dan undang-undang," katanya seperti dilaporkan.

Kelantan yang bersempadan dengan Thailand telah melakukan aktiviti pembalakan di negeri itu sejak tahun 1978.

Kerajaan negeri itu juga telah meluluskan seluas 3,885.39 hektar Tanah Rizab Orang Asli untuk penempatan dan aktiviti harian mereka, menurut laporan agensi Bernama bulan lepas.

"Kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan permohonan 2,658 hektar lagi kawasan sebagai tanah rizab untuk mereka, dan bersetuju menjadikan kawasan seluas 20,000 hektar di sekitar Gunung Chamah, di Gua Musang, sebagai hutan simpanan untuk aktiviti rayau masyarakat tersebut,” kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah dalam laporan itu.

Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata," jelas kerajaan negeri lebih suka menggunakan pelbagai taktik licik. Apa sudah jadi kepada segala janji oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan yang mahu bertemu dengan masyarakat Orang Asli dan melihat kemusnahan hutan mereka? Ini tidak langsung berlaku."

Lihat Laman Penuh