Polis Malaysia Siasat Bekas Peguam Negara Berkaitan Memoir Kontroversi

Bekas Perdana Menteri Mahathir dan Najib serta pegawai atasan lain membangkitkan persoalan mengenai buku baharu yang ditulis Tommy Thomas.
Noah Lee & Nisha David
Kuala Lumpur
2021-02-05
Share
Polis Malaysia Siasat Bekas Peguam Negara Berkaitan Memoir Kontroversi Tommy Thomas bergambar di luar pejabatnya di Putrajaya selepas dilantik sebagai Peguam Negara Malaysia, 6 Jun 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Polis Malaysia kini menyiasat sama ada bekas Peguam Negara Tommy Thomas telah melanggar undang-undang fitnah dan Akta Rahsia Rasmi dengan tindakannya menulis memoir mengenai pengalaman beliau semasa berkhidmat sebagai Pendakwa Raya bagi kerajaan Mahathir Mohamad, kata para pegawai pada Jumaat.

Mahathir dan perdana menteri sebelumnya, Najib Razak, serta seorang bekas Peguam Cara Negara, adalah antara yang membangkitkan persoalan mengenai memoir Thomas yang diterbitkan baru-baru ini, yang menurut petikan dalam media mengandungi pelbagai dakwaan terhadap mereka.

Sebelum kerajaan Mahathir tumbang pada tahun lepas, Thomas adalah Peguam Negara (AG) yang bertanggungjawab mengemukakan pertuduhan rasuah besar-besaran terhadap Najib dalam skandal kewangan membabitkan 1MDB.

“Tujuh laporan polis telah dibuat terhadap bekas AG itu berkaitan buku tulisannya yang berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness.’

“Dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan bagi kesalahan fitnah dan OSA [Akta Rahsia Rasmi]. Beri sedikit masa untuk para penyiasat menjalankan tugas mereka. Mereka akan menentukan masa yang sesuai untuk memanggil Thomas dan saksi lain yang berkaitan dengan kes itu untuk merakam percakapan mereka,” kata Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani kepada BeritaBenar.

Seksyen 500 memperuntukkan bahawa sesiapa yang didapati bersalah memfitnah orang lain hendaklah dihukum penjara maksimum dua tahun, atau denda atau kedua-duanya. Acryl Sani tidak memperincikan seksyen mana di bawah OSA yang digunakan dalam siasatan kes itu.

Juga pada Jumaat, sebuah mahkamah di Malaysia telah membenarkan pihak pembelaan dan pendakwaan dalam perbicaraan kes pembunuhan berprofil tinggi memfailkan permohonan agar tindakan diambil terhadap Thomas kerana menghina mahkamah yang membabitkan penerbitan satu bahagian dalam bukunya.

Thomas telah dilantik sebagai Peguam Negara pada Jun 2018, sebulan selepas gabungan parti politik Pakatan Harapan mencipta kemenangan mengejut pada pilihan raya umum yang membawa Mahathir kembali sebagai Perdana Menteri – jawatan yang dilepaskannya pada 2003. Sejurus selepas peletakan jawatan Mahathir pada Februari 2020, Thomas turut melepaskan jawatannya.

Media Malaysia telah menyiarkan petikan dalam buku itu yang turut menjadikan Mahathir sebagai sasaran:

It must be kept in mind that Tun’s resignation was personal, only as prime minister. The resignation was confined to that office, not the entire government,” dan “This is probably without precedent in modern politics. A prime minister who is comfortably in power, resigns of his own free will and volition.”

(Perlu diingat bahawa peletakan jawatan Tun adalah bersifat peribadi dan hanya sebagai perdana menteri. Peletakan jawatan itu hanya tertakluk kepada jawatan itu sahaja dan bukan seluruh kerajaan. Perkara ini mungkin tidak pernah berlaku dalam politik moden. Seorang perdana menteri yang sedang berkuasa, melepaskan jawatan atas kehendak dan kemahuannya sendiri)

Satu lagi petikan menyebut bahawa beliau telah mendapat sokongan yang tidak dijangka bagi mengisi jawatan sebagai Pendakwa Raya.

“Apparently, a public statement issued by PAS that night stating that they had no objections to my appointment, especially since I had represented the PAS governments of Terengganu and Kelantan in their petroleum royalty cases against Petronas, had surprised Tun (Mahathir).”

(Nampaknya satu kenyataan umum yang dikeluarkan PAS pada malam itu yang menyebut bahawa mereka tidak mempunyai bantahan terhadap pelantikan saya, terutama sejak saya mewakili kerajaan PAS Terengganu dan Kelantan dalam kes royalti minyak mereka terhadap Petronas, telah memeranjatkan Tun (Mahathir)

Thomas, seorang penganut Kristian, merupakan anggota etnik minoriti India pertama di Malaysia yang dilantik sebagai Peguam Negara, berkata demikian ketika merujuk kepada kenyataan umum Parti Se-Islam Malaysia (PAS) yang menzahirkan sokongan kepada beliau.

Dalam satu temu bual dengan Free Malaysia Today pada Jumaat, Mahathir meluahkan kekesalan kerana menamakan Thomas dalam barisan Kabinetnya.

“Saya sudah bersedia untuk mempertahankannya tetapi kalau saya jadi begini, saya akan lantik orang lain tentunya,” kata Mahathir. “Tetapi pada masa itu, saya fikir ia akan memberi satu pengalaman baharu untuk ada AG yang profesional, saya fikir dia begitu.”

Thomas enggan memberikan komen ketika dihubungi BeritaBenar.

Diulang cetak

Penerbit Gerakbudaya, yang mengumumkan pelancaran buku itu pada 26 Jan lepas, menyifatkan karya Thomas sebagai satu memoir yang jujur kerana ia “merupakan pengalaman sendiri seorang pegawai kerajaan kanan Pakatan Harapan berhubung pencapaian, kekecewaan dan kegagalan pentadbiran kerajaan gabungan itu.”

Penerbit itu telah memuat naik notis di laman Facebook syarikat yang mengumumkan bahawa buku itu telah habis terjual namun sedang diulang cetak untuk memenuhi permintaan.

Sejak penerbitannya, beberapa tokoh penting seperti bekas Peguam Negara Apandi Ali dan bekas Peguam Cara Negara Mohamad Hanafiah Zakaria telah membuat laporan polis mendakwa kandungan buku itu adalah tidak tepat, lapor media tempatan.

Ketika dihubungi BeritaBenar, pengasas syarikat penerbitan itu Chong Ton Sin berkata pihak berkuasa telah memanggil beliau ke ibu pejabat polis persekutuan pada Jumaat dan telah merakam percakapannya, sehari selepas pihak berkuasa berkunjung ke kedai buku Gerakbudaya.

“Kenyataan saya telah diambil tadi. Kementerian Dalam Negeri juga datang untuk membeli buku itu semalam,” kata Chong kepada BeritaBenar.

Prosiding menghina mahkamah

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam di Selangor pada Jumaat telah membenarkan peguam memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Thomas.

Ini selepas peguam utama Shafee Abdullah memaklumkan mahkamah bahawa Thomas telah menyentuh isu berkaitan bukti dan keterangan terhadap seorang wanita yang sedang dibicarakan dalam pembunuhan suaminya, CEO Cradle Fund Nazrin Hassan. Dua remaja lelaki yang identiti mereka dirahsiakan kerana usia mereka turut didakwa dalam kes itu.

Seorang anggota pasukan pembelaan Rahmat Hazlan mendakwa Thomas menulis bahawa bukti dan keterangan dalam kes itu tidak boleh dipercayai.

“Kami menyatakan bahawa ini adalah perbicaraan yang sedang berlangsung dan terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada bukti dan keterangan yang telah dikemukakan boleh dipercayai atau sebaliknya,” kata Rahmat kepada BeritaBenar.

Beliau berkata hakim telah mencadangkan agar pihak pendakwaan memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Thomas dan timbalan pendakwa raya telah meminta tempoh untuk mendapatkan arahan daripada Jabatan Peguam Negara.

Rahmat berkata pembelaan akan memulakan tindakan itu jika pendakwaan menolak untuk berbuat demikian.

Najib dikaitkan dengan 1MDB

Thomas turut menulis tentang Najib, bekas Perdana Menteri yang didakwanya atas pertuduhan berkaitan 1Malaysia Development Berhad.

Najib telah menubuhkan 1MDB pada 2009 ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan matlamat untuk memanfaatkan rakyat Malaysia. Beliau sedang merayu terhadap sabitan pada Julai 2020 bagi pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM42 juta (AS$9.67 juta) daripada anak syarikat 1MDB.

Pihak pendakwaan di Malaysia dan Amerika Syarikat mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) telah dicuri daripada 1MDB dan dialihkan menerusi pemerolehan hartanah, karya seni dan hartanah mewah oleh Najib dan sekutunya.

Di dalam bukunya, Thomas turut menyentuh kes model Mongolia Altantuya Shaariibuu, terutama berkaitan dakwaan seorang daripada tertuduh yang telah disabitkan dengan kesalahan membunuh wanita itu bahawa Najib secara peribadi telah mengarahkan pembunuhan wanita itu, menurut media tempatan. Tertuduh merupakan anggota pasukan khas keselamatan ketika Najib berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan.

Peguam Najib pada Selasa telah menghantar surat tuntutan kepada Thomas, yang mendakwa dakwaan beliau adalah “sama sekali tidak benar” dan fitnah. Dokumen itu menuntut Thomas menarik balik dan memohon maaf secara terbuka dalam media Malaysia. Peguam Najib turut menuntut Thomas membayar RM10 juta (AS $2.45 juta) sebagai ganti rugi atas kecederaan reputasi.

Peguam Farhan Shafee, yang mewakili Najib, memberitahu BeritaBenar bahawa Thomas perlu menjawab surat itu.

“Saya dimaklumkan bahawa beliau telah menjawab dan menafikan bahawa beliau telah melakukan fitnah, jadi kami akan mengambil tindakan sewajarnya,” kata Farhan.

Najib sendiri telah memuat naik hantaran di laman Facebook pada Jumaat yang menyelar Thomas kerana melemparkan dakwaan terhadap Allahyarham bapanya, Abdul Razak Hussein, seorang lagi bekas perdana menteri, berkaitan insiden rusuhan pada 1969. Thomas mendakwa insiden itu adalah percubaan merampas kuasa yang didalangi Abdul Razak, yang ketika itu timala perdana menteri.

“Adalah keterlaluan bagi beliau menyentuh orang yang sudah tiada, yang tidak boleh mempertahankan diri dan ia adalah sesuatu yang tidak bermoral. Malah beliau tidak memberikan sebarang bukti,” kata Najib sambil menambah bahawa beliau percaya lebih ramai orang yang disentuh Thomas di dalam bukunya akan mengambil tindakan perundangan.

Komen (0)

Lihat semua komen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh