Follow us

Perhimpunan Anti-GST Gesa Najib Letak Jawatan

Amir Hadi Azmi
2016-04-04
E-mel
Komen
Share

Ratusan rakyat Malaysia berarak di beberapa jalan di sekitar Kuala Lumpur pada Sabtu, menyambut ulang tahun pertama pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang kontroversi.

Acara itu berakhir dengan aman walaupun amaran awal oleh pihak berkuasa supaya tidak menggunakan Dataran Merdeka sebagai tempat berkumpul.

Penunjuk perasaan berkumpul di luar halangan polis di dataran itu selepas pihak Polis Diraja Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menafikan kebenaran untuk menggunakan tempat ikonik berkenaan.

Malaysia mula melaksanakan GST, iaitu cukai barang dan perkhidmatan pada kadar 6 peratus, yang dikenakan kepada sesuatu produk mulai 1 April tahun lepas. Perlaksanaan cukai yang tidak popular itu oleh kerajaan dilihat sebagai menambahkan lagi kos sara hidup serta membebankan rakyat.

Selain bantahan mengenai cukai itu, penunjuk perasaan juga meminta Perdana Menteri Najib Razak yang dibelenggu skandal kewangan melibatkan dana negara sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) supaya meletakkan jawatan.

Akhbar berpangkalan di Amerika Syarikat, The Wall Street Journal (WSJ)  mula menyiarkan beberapa siri berita mengenai skandal berkenaan sejak Julai 2015, di mana melibatkan jutaan wang dikaitkan dengan 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Najib menegaskan beliau tidak bersalah serta tidak pernah mengambil apa-apa wang untuk kepentingan peribadi.

Bekas perdana menteri Malaysia, Mahathir Mohamad tampil secara mengejut menyertai orang ramai sebelum perhimpunan berakhir pada Sabtu itu.

Kemunculan Mahathir disambut dengan tepuk tangan peserta perhimpunan.

"Kita mesti menjatuhkan Najib," kata bekas perdana menteri itu yang diiringi oleh isterinya Dr Siti Hasmah Mohamad Ali kepada orang ramai yang menyertai perhimpunan itu.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang juga anak kepada bekas ketua pembangkang yang dipenjarakan, Anwar Ibrahim, Nurul Izzah turut mengambil kesempatan semasa perhimpunan itu meminta supaya mengampun dan membebaskan bapanya itu.


Lihat Laman Penuh