Tiram Putih hidupan akuatik yang hanya boleh didapati di Sungai Muar

Aktiviti menyelam bagi mencari hidupan air payau itu dibuat secara tradisional oleh nelayan tempatan yang diwarisi sejak ratusan tahun dahulu.
S. Mahfuz
2024.12.13
Muar, Johor
1

Tiram putih atau nama saintifiknya Crassostrea (Magallana) saidii yang tidak dapat ditemui di tempat lain di dunia kecuali di Sungai Muar di Pengkalan Nelayan Parit Tiram, Muar, Johor, 2 Disember 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

2

Seorang nelayan menunjukkan tiram yang berjaya diperolehnya dari dasar Sungai Muar selepas menyelam secara tradisional tanpa tangki pernafasan hampir dua minit di Muar, Johor, 2 Disember 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

3

Galah daripada kayu bakau dipacak sebelum bot nelayan ditambat pada kayu tersebut dan ia digunakan oleh penyelam sebagai tempat berpaut semasa menyelam untuk mencari tiram di Sungai Muar, Johor, 2 Disember 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

4

Sungai Muar merupakan satu-satunya daripada 189 lembangan sungai di Malaysia yang menjadi lubuk ‘tiram putih’ dan hidupan akuatik itu tidak boleh didapati di tempat lain di dunia selain di Muar, Johor, 2 Disember 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

5

Penyelam memakai gogal dan sarung tangan serta berpaut pada galah kayu bakau sebelum menyelam untuk mencari ‘tiram putih’ di dasar Sungai Muar, Muar, Johor, 2 Disember 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

6

Penyelidikan yang dijalankan Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Queen's University Belfast, United Kingdom mengesahkan bahawa spesies ‘tiram putih’ atau nama saintifiknya Crassostrea (Magallana) saidii tidak ditemui di kawasan lain di dunia selain di Muar, Johor, 2 Disember 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

7

Penyelam yang berjaya menemui tiram di dasar sungai meletakkannya di atas bot yang ditambat tidak jauh dari Pengkalan Nelayan Parit Tiram di Muar, Johor, 2 Disember 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

8

Seorang nelayan mendirikan solat Asar di atas botnya sebelum menyelam untuk mencari tiram di Sungai Muar berdekatan Pengkalan Nelayan Parit Tiram, Muar, Johor, 2 Disember 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

9

Kulit tiram yang dipercayai mengandungi benih tiram dibuang semula ke sungai, selepas isi tiram dikeluarkan bagi menjamin kelestarian dan populasi hidupan marin itu di Sungai Muar, Johor, 2 Disember 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

10

Selain tiram, nelayan turut mencari kupang yang terdapat di Sungai Muar, Johor, 2 Disember 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

241213-MY-SS-Tiram11.jpg

Seorang penyelam membawa naik hasil tiram diperolehnya di Pengkalan Nelayan Parit Tiram, Muar, Johor, 2 Disember 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

12

Nelayan menjual tiram putih dan beberapa hasil tangkapan lain dari Sungai Muar di Pengkalan Nelayan Parit Tiram, Muar, Johor, 2 Disember 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Sungai Muar di negeri selatan Johor, menyimpan khazanah hidupan akuatik unik berusia lebih 160 tahun di mana tiram putih, satu-satunya spesies yang seumpamanya boleh ditemui di muara sungai berkenaan, demikian menurut penyelidik tempatan dan antarabangsa yang menjalankan penyelidikan lebih tujuh tahun mengenai spesies tersebut.

Tiram, kelopak kerang-kerangan dengan cangkang berkapur dan relatif pipih membiak di dalam air, boleh ditemui di serata dunia tetapi speseis yang nama saintifiknya Crassostrea (Magallana) saidii atau tiram putih, mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia tidak ditemui di mana-mana tempat lain di dunia, selain di muara Sungai Muar.

Penduduk dan nelayan tempatan memanggilnya dengan nama tiram putih kerana isinya yang berwarna putih krim dan berkualiti tinggi.

Penyelidik Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Nur Leena Wong berkata hasil penyelidikan antara pasukannya dan Dr Julia Sigwart dari Queen's University Belfast, United Kingdom mendapati tiada rekod asid deoksiribonukleik (DNA) yang sepadan dengan tiram putih dari muara Sungai Muar.

“Kami terkejut kerana selepas lebih 160 tahun tiram itu diketahui dan dituai secara komersial di muara Sungai Muar, ia tidak mempunyai nama saintifik.

“Justeru itu, kertas penemuan kajian mengenainya telah dihantar ke jurnal Marine Biodiversity yang berpangkalan di Jerman dan pada 12 Oktober 2021, nama sainstifik Crassostrea (Magallana) saidii untuk tiram itu telah diperakukan,” tambah Nur Leena.

Penyelidikan itu turut memetik rekod jurnal seorang pegawai British pada 1858 yang menyatakan tiram tersebut telah menjadi santapan golongan bangsawan dengan penternakan tiram di dasar sungai merupakan warisan terkenal di muara Sungai Muar.

Kini hanya tinggal 10 penyelam tiram di muara Sungai Muar yang masih mengekalkan kaedah tradisional yang diwarisi dari nenek moyang, di mana mereka menyelam tanpa bantuan tangki oksigen, menggunakan galah kayu bakau yang dipacak ke dasar sungai dan diikat pada bot, menyelam selama satu hingga dua minit di dalam air dan meraba dasar sungai dengan tangan untuk mencari tiram.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.