Musim tengkujuh jadi cabaran buat pengusaha belacan

Hujan berpanjangan pada musim Monsun Timur Laut yang bermula pada November membantut proses menjemur adunan belacan.
M. Zubir
2024.11.22
Kuala Perlis, Perlis
01

Belacan yang dihasilkan Perniagaan AA Bayu yang dimiliki oleh Aziz Salleh di Kampung Sungai Berembang, Kuala Perlis, Perlis mengekalkan ciri tradisional dengan membungkus produk makanan itu menggunakan plastik dan kertas minyak sebelum dipasarkan, 18 November 2024. [M. Zubir/BenarNews]

02

Masih mengekalkan cara tradisional menjemur udang geragau yang telah diperam dan dikisar di bawah sinaran panas terik matahari oleh pengusaha belaca, Perniagaan AA Bayu, milik Aziz Salleh yang terletak di Kampung Sungai Berembang, Kuala Perlis, Perlis, 18 November 2024. [M. Zubir/BenarNews]

03

Jeti nelayan di mana nelayan melabuhkan bot dan membawa pulang hasil tangkapan harian mereka di Kuala Perlis, Perlis, 18 November 2024. [M. Zubir/BenarNews]

04

Kisaran udang geragau dilerai menggunakan tangan bagi mengelakkan ia berketul untuk memastikan belacan yang ingin dihasilkan benar-benar kering ketika dijemur di Kampung Sungai Berembang, Kuala Perlis, Perlis, 18 November 2024. [M. Zubir/BenarNews]

05

Tompokan awan mendung yang kelihatan dilangit tidak menghalang pekerja Perniagaan AA Bayu, pengusaha belacan di Kampung Sungai Berembang, menjemur udang geragau untuk dijadikan belacan di Kuala Perlis, Perlis, 18 November 2024. [M. Zubir/BenarNews]

06

Udang geragau yang telah dijemur dikisar kali kedua sebelum dimasukkan ke dalam acuan untuk menghasilkan belacan di Kampung Sungai Berembang, Kuala Perlis, Perlis, 18 November 2024. [M. Zubir/BenarNews]

07

Belacan yang siap dimampatkan mengikut acuannya di Kampung Sungai Berembang, Kuala Perlis, Perlis, 18 November 2024. [M. Zubir/BenarNews]

08

Pekerja Perniagaan AA Bayu membungkus belacan yang telah siap ke dalam plastik dan seterusnya kertas minyak di Kampung Sungai Berembang, Kuala Perlis, Perlis, 18 November 2024. [M. Zubir/BenarNews]

Belacan, sejenis bahan penambah perasa dalam masakan yang diguna secara meluas di Malaysia terutamanya dalam sajian masyarakat Melayu sejak zaman berzaman.

Produk tradisional tersebut kebiasaannya banyak diusahakan di kawasan berhampiran dengan laut antaranya di Melaka, Perlis dan Pulau Pinang serta Sarawak dan Sabah.

Belacan yang kebiasaanya berwarna merah jambu dibuat daripada sebatian udang geragau dan dicampur garam bagi melengkapkan proses pengawetan.

Meskipun bau yang kuat, belacan menjadi perisa yang digemari kerana ia memberikan rasa umami dan masin.

Menjadikan masakan lebih enak, belacan biasanya dimasukkan ke dalam sambal, kuah rojak, laksa utara dan asam pedas. Ia akan menjadi lebih sedap apabila dibakar sebelum dimasukkan ke dalam masakan.

Bagaimanapun, perubahan iklim dan peralihan kepada Monsun Timur Laut bermula November hingga Mac mengakibatkan cuaca tidak menentu serta hujan berpanjangan menjejaskan pengeluaran belacan terutamanya bagi pengusaha tradisional.

Proses jemuran masih dilakukan menggunakan tenaga manusia dan bergantung kepada sinaran matahari untuk mengeringkan belacan.

Di Perlis, seorang pengusaha belacan generasi ketiga yang mewarisi Perniagaan AA Bayu, Aziz Salleh di Sungai Berembang, Kuala Perlis mengakui pendapatan mereka terjejas hampir 20 peratus susulan hujan berpanjangan ketika musim tengkujuh pada hujung tahun.

“Udang geragau yang diperam kita akan kisar dan kemudian dijemur. Bila sudah kering, ia akan dikisar kali kedua sebelum ditimbang dan dimampatkan ke dalam acuan.

“Sekarang kerap hujan, bila tidak boleh jemur udang, jadi tak dapat hendak buat belacan hari ini. Hasil (pengeluaran dan pendapatan) pun terjejas hampir 20 peratus,” kata Norathirah Marzuki, 30, kepada BenarNews.

Situasi tersebut biasanya pulih sebaik berakhir musim tengkujuh. Perniagaan warisan yang diusahakan Norathirah bukan sahaja untuk memenuhi permintaan tempatan malah ia telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

“Selain pasaran tempatan, produk belacan kami turut terjual di luar negara seperti Indonesia,” tambah Norathirah.

Jelasnya, belacan yang dibentuk dalam bentuk bulat dan leper biasanya dijual pada harga RM1 [AS$0.22] bagi 80gram (g) dan RM3 [AS$.67] bagi 200g.

Produk belacan dari Malaysia turut mendapat permintaan di Arab Saudi, Australia, China dan Hong Kong.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.