Ramadan: Umat Islam Malaysia Berbuka Puasa Dengan Juadah 'Bubur Lambuk'
2018.06.12
Kuala Lumpur
Malaysia kini berada di penghujung Ramadan, bulan suci bagi semua umat Islam.
Negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam daripada lebih 32 juta orang itu, mula menjalani ibadah puasa bulan Ramadan pada 17 Mei lalu. Sepanjang Ramadan, berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia diwajibkan berpuasa dari subuh hinggalah senja selama 29 atau 30 hari. Puasa bertujuan menggalakkan umat Islam melaksanakan sebanyak mungkin ibadah demi mendekatkan diri dan mendapatkan keberkatan Allah.
Sepanjang Ramadan, pelbagai juadah tradisi yang enak disediakan termasuklah ‘Bubur Lambuk’, bubur nasi yang dimasak dengan pelbagai rempah, santan dan hirisan daging. Lazimnya, ia menjadi hidangan pilihan untuk berbuka puasa.
Versi ‘Bubur Lambuk’ yang paling popular dan sering dicari umat Islam adalah yang diedarkan di Masjid Kampung Baru dan Masjid India di Kuala Lumpur. Selain itu, umat Islam turut bersama-sama menikmati juadah yang dihidangkan semasa moreh, setiap kali selepas berakhirnya solat Tarawih di masjid dan surau.
Dan sempena berakhirnya Ramadan, umat Islam di Malaysia akan meraikan kejayaan mereka melaksanakan Ibadah puasa dengan sambutan Aidilfitri. Cuti tiga hari diberikan sempena Hari Raya itu.