Follow us

Beberapa Sektor Perniagaan di Malaysia Kembali Beroperasi

Nisha David & S. Mahfuz
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-05-04
E-mel
Komen
Share

Beberapa sektor perniagan di Malaysia kembali beroperasi pada Isnin, dengan syarat semua pihak perlu mematuhi arahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), langkah yang dibuat pentadbiran Putrajaya yang memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam ucapan semasa sambutan Hari Pekerja minggu lalu berkata, “Kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan Prosidur Operasi Standard (SOP) kesihatan yang ketat,”

“Bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” tambah beliau

Walaupun kerajaan Persekutuan telah memberi kebenaran beroperasi kepada pelbagai sektor perniagaan dan aktiviti sosial, sembilan dari 13 negeri di negara itu, bagaimanapun, memutuskan untuk tidak sepenuhnya mengikuti langkah tersebut.

Kedah, Sabah, Pahang, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak memutuskan untuk tidak mengikuti PKPB, manakala Selangor, Perak dan Negeri Sembilan mengatakan kerajaan negeri akan mengehadkan bilangan perniagaan yang dibenarkan untuk beroperasi semula.

Orang awam yang ditemui BeritaBenar turut menyuarakan kebimbangan kepada peluang yang minima untuk penjarakkan sosial dengan perlonggaran undang-undang di bawah PKPB.

Surirumah, Shamundeswari Sivanathan menyuarakan rasa bimbang untuk membeli barangan dapur sekarang selepas melihat beberapa orang daripada keluarga yang sama keluar membeli belah.

"Kebanyakan mereka tidak mengamalkan penjarakkan sosial. Mereka mungkin tidak takut, tetapi saya mempunyai anak kecil di rumah dan saya risaukan keselamatan dan kesihatan mereka," kata wanita berusia 39 tahun itu.

Bagi seorang pegawai polis wanita, Fauziah Idrus turut bimbang dengan kekurangan pengamalan penjarakkan sosial yang disaksikannya sejak akhir-akhir ini.

"Sejak awal lagi, saya bekerja shif semata-mata untuk memastikan orang ramai patuh kepada PKP. Hari ini, orang ramai berjalan bebas tanpa mengamalkan penjarakkan sosial, pergi ke tempat yang dipenuhi orang dan membeli belah, berikutan tiada lagi sekatan jalanraya.

Sementara itu, Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali menegaskan keputusan kerajaan persekutuan membuka semula ekonomi adalah sah dari segi undang-undang.

“Keputusan membuka semula sektor ekonomi di dalam tempoh PKPB dibuat dengan penuh teliti, berhati-hati dan bertanggungjawab serta didokong oleh data dan kajian oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa, Bank Negara dan Khazanah Nasional Berhad," kata Azmin.


Lihat Laman Penuh