Gasing Pangkah kembalikan nostalgia permainan lagenda rakyat zaman dahulu
2023.12.28
Klang, Selangor
Gasing, satu permainan lagenda rakyat dan sangat terkenal di Malaysia, tidak lagi mendapat sambutan ramai di era skrin elektronik dan permainan video kini.
Permainan tradisional orang Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu lama itu cuba dihidupkan kembali oleh sekumpulan anak muda dan juga pembuat gasing di Klang, Selangor.
Memperlihatkan keunikan pembuatan gasing daripada kayu dan kemahiran bermain gasing menggunakan tali yang dipintal sendiri, Mohamad Aziz Samsudin, pembuat gasing dari Kampung Bukit Kapar banyak menghabiskan waktu malamnya dengan mengajar anak muda bermain Gasing Pangkah.
Usaha lelaki berusia 62 tahun yang lebih dikenali sebagai Wak Aziz bersama penduduk kampung tersebut, telah berjaya membina dua buah gelanggang bersaiz separuh padang futsal bagi membolehkan anak-anak muda di kampung tersebut mengasah kemahiran bermain Gasing Pangkah.
Setiap malam selepas waktu solat Isyak pasti akan kedengaran bunyi lagaan di antara kayu sesama kayu yang lain serta gelak tawa anak muda dan warga emas yang aktif bermain gasing itu.
“Budak-budak sekarang sudah tidak minat main gasing, semua sibuk dengan telefon bimbit, tetapi kini seronok dapat tenguk anak muda datang setiap malam dengan gasing masing-masing dan main di gelanggang,” kata Wak Aziz kepada BenarNews.
Bagi Mohamad Shahrul Osman seorang anak muda berusia 24 tahun, sejak beliau belajar bermain Gasing Pangkah daripada Wak Aziz, minatnya mula mendalam terhadap pemainan itu.
“Dulu masa mula-mula, saya rasa macam tak minat nak main gasing pangkah. Tapi bila dah ikut Wak Aziz, baru dapat rasa kepuasan main gasing pangkah ni macam mana,” kata beliau yang merupakan antara pemain muda di gelanggang tersebut.
“Yang seronoknya bila kita dapat pangkah gasing pihak lawan sampai pecah. Itu keseronokan kemuncaknya.” tambah Sharul sambil berharap lebih ramai lagi anak muda turut serta bermain Gasing Pangkah sambil mengekalkan tradisi ke serata dunia.