Majlis Khatan anak Orang Asli Jahut penuh dengan ritual dan meriah
2023.07.21
Jerantut, Pahang
Ritual dan sambutan diadakan selama dua hari sebelum budak lelaki masyarakat orang asli Jahut berfahaman Animisme, di negeri Pahang dikhatankan, bagi menandakan peralihan mereka ke alam dewasa.
Keluarga budak lelaki berkenaan akan menari sepanjang malam pada malam pertama dengan “Tok Mudim” atau lelaki yang akan melakukan khatan dengan mengikat tali di sekeliling badan budak lelaki tersebut dan membaca jampi serampah untuk melindunginya daripada bahaya.
Pada hari kedua, budak lelaki itu akan dimandikan di sungai dan dipersiapkan dengan pakaian seperti pahlawan Melayu sebelum dibawa ke tanah perkuburan nenek moyang untuk memberi penghormatan.
Ia berbeza sama sekali dengan upacara khatan di kalangan kanak-kanak lelaki Islam yang bakal mencecah akil baligh di mana berkhatan adalah sesuatu yang wajib dilakukan dalam agama.
“Mirip tapi tidak sama. Berkhatan Jahut penuh tradisi, ikut amalan nenek moyang,” kata seorang pawang yang dikenali sebagai Busu dari Kampung Orang Asli Sungai Kiol, di Jerantut itu.
Katanya lagi tradisi berkhatan mirip Islam itu juga berkemungkinan bermula selepas kisah seorang Raja berkahwin dengan gadis Orang Asli.
“Mungkin dari situ asalnya,” tambah Busu lagi.
Setiap keluarga yang anak mereka akan berkhatan perlu menyumbang sejumlah wang bagi menampung kos kenduri, upah Tok Mudim dan pawang serta membeli seekor kerbau dan sejumlah ekor ayam untuk dijamu kepada penduduk kampung semasa sambutan yang berlangsung dua hari berturut-turut secara gotong royong itu.
Lengkap berpakaian tradisi Melayu seperti seorang raja itu, kumpulan budak lelaki yang akan berkhatan juga wajib menziarahi dan mengelilingi kubur nenek moyang dengan menaiki tandu memohon restu agar majlis dirahmati dan dijauhkan daripada segala anasir yang tidak baik.
Mereka juga diarak mengelilingi Rumah Adat sebanyak tiga kali sebagai tanda hormat sebelum berkhatan.
Menurut Busu, majlis keramaian berkhatan bukan sahaja merupakan tradisi turun temurun suku kaum yang perlu dipelihara, tetapi juga membawa kepada berkumpulnya sanak saudara tanpa mengira agama.
“Setiap kali majlis, ramai akan pulang ke kampung untuk sama-sama meraikannya,” kata Busu lagi.