Hari Moyang masyarakat Orang Asli suku kaum Temuan

Sambutan diadakan dengan tujuan berterima kasih kepada nenek moyang yang telah menjaga keselamatan dan kesihatan kepada generasi terkini.
S. Mahfuz
2023.01.03
Banting, Selangor
230103-MY-SS-OA01

Sekumpulan Orang Asli dari suku kaum Temuan membakar colok dan bersembahyang di kubur nenek moyang sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang telah meninggal dunia semasa sambutan Hari Moyang di Kampung Orang Asli Hulu Kuang, Rawang, Selangor, 30 Disember 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

230103-MY-SS-OA02

Penjaga Balai Moyang melakukan ritual keagamaan ketika sambutan Hari Moyang di Kampung Orang Asli Busut Baru, Banting, Selangor, 30 Disember 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

230103-MY-SS-OA03

Sekumpulan Orang Asli dari sukum kaum Temuan sedang membina sebuah ‘sanggar’ kecil di hadapan kubur semasa sambutan Hari Moyang di Kampung Hulu Kuang, Rawang, Selangor, 30 Disember 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

230103-MY-SS-OA04

Kerja-kerja pembersihan kubur ahli keluarga serta nenek moyang mereka dibuat secara bergotong royong yang merupakan sebahagian daripada acara semasa sambutan Hari Moyang di Kampung Orang Asli Hulu Kuang, Rawang, Selangor, 30 Disember 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

230103-MY-SS-OA05

Shaq Koyok, pemuda Orang Asli sedang melakukan upacara 'Mandi Bedak' yang kebiasaannya dilakukan selepas membersihkan tanah perkuburan nenek moyang bertujuan mengelak semangat jahat ikut turut pulang ke rumah, di Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Banting, Selangor, 30 Disember 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

230103-MY-SS-OA06

Sekumpulan anak gadis Orang Asli sedang bersedia untuk membuat persembahkan tarian tradisional ‘sewang’ semasa sambutan Hari Moyang di Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Banting, Selangor, 30 Disember 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

230103-MY-SS-OA07

Mencuci peralatan dan diri sendiri selepas selesai kerja pembersihan di tanah perkuburan keluarga dan nenek moyang sangat diutamakan semasa sambutan Hari Moyang di Kampung Orang Asli Hulu Kuang, Rawang, Selangor, 30 Disember 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Orang Asli dari suku kaum Temuan telah mengadakan sambutan Hari Moyang dengan melakukan ritual dan sembahyang di tapak perkuburan nenek moyang mereka bagi menghormati ‘semangat’ yang dikatakan telah menjaga keselamatan dan memberi kehidupan baik kepada generasi kini.

Sambutan Hari Moyang atau lebih dikenali di kalangan suku kaum itu sebagai ‘Aik Muyang’ disambut dari Disember sehingga Januari dengan dirayakan pada tarikh yang berbeza-beza mengikut kelompok penempatan.

Suku kaum Temuan yang merupakan suku keempat terbesar di kalangan 18 suku kaum Orang Asli di Semenanjung Malaysia banyak mengamalkan adat resam yang menyerupai orang Melayu di mana kebanyakan mereka tinggal di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.

Di Selangor terdapat beberapa penempatan Orang Asli Temuan yang tidak melepaskan peluang mengadakan upacara Hari Moyang di sekitar perkampongan Orang Asli di Pulau Kempas, Busut Baru dan Hulu Kuang, baru-baru ini.

Menurut Tok Batin Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Banting, Rahman Pahat, Hari Moyang disambut bagi tujuan menghormati ‘semangat’ yang telah menjaga keselamatan masyarakat Orang Asli Temuan.

"Upacara ini bertujuan berterima kasih kepada roh nenek moyang yang telah memberi kesihatan, mengelakkan diri daripada musibah dan memberi rezeki kepada masyarakat Orang Asli Temuan sepanjang tahun.

"Lazimnya kami akan membersihkan kubur nenek moyang dan menghidangkan pelbagai juadah makanan dan minuman pada roh nenek moyang. Ia merupakan salah satu adat yang diamalkan semasa sambutan," katanya semasa ditemui BenarNews.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Orang Asli Busut Baru, Samsul Anak Senin berkata setiap kampung mempunyai tarikh yang berbeza untuk menyambut Hari Moyang bagi mengelakkan pertindihan aktiviti.

“Ini bagi membolehkan penduduk setiap kampung menziarahi antara satu sama lain apabila tibanya hari sambutan… Tradisi dan adat yang dijalankan semasa sambutan kesemuanya adalah turun temurun dengan kami cuba mengekalkannya setiap tahun supaya sentiasa diingati dan diikuti oleh generasi akan datang'' katanya lagi.

Lebih 30,000 suku kaum Orang Asli Temuan menetap di Semanjung Malaysia dengan kebanyakannya menganut agama animisme.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.