Follow us

Pelarian Rohingya di Malaysia Sambut Aidil Adha

S. Mahfuz
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-08-23
E-mel
Komen
Share

Pasar Borong Selayang yang sentiasa penuh sesak pada hari-hari biasa menjadi lebih meriah apabila masyarakat Rohingya dan Bangladesh merayakan sambutan Aidil Adha pada Rabu di Malaysia.

Kawasan sekitar Jalan 2/3A yang terletak di pinggir Kuala Lumpur dipenuhi kira-kira 1,000 orang umat Islam Rohingya dan Bangladesh seawal 7.30 pagi yang turut menunaikan solat sunat Aidil Adha di Masjid Baitul Nur.

Sebaik saja selesai solat sunat, mereka mengambil kesempatan untuk menunaikan ibadah korban dengan menyembelih lebih daripada 50 ekor lembu untuk disedekahkan kepada golongan fakir miskin.

Menurut Muhd Saleem, 36, seorang warga Rohingya yang bekerja secara haram di pasar borong itu, lebih 30,000 etnik Rohingya berada di Malaysia, tetapi beliau tidak pasti berapa ramai bertumpu di kawasan tersebut.

"Inilah cara kami meraikan Aidil Adha di sini. Pada tahun ini tidak ramai yang melakukan ibadah korban. Tidak seperti tahun lepas, kami mempunyai lebih daripada 200 ekor lembu dan kambing untuk disembelih disebabkan ada yang tidak mematuhi peringatan oleh pihak berkuasa tentang kebersihan. Manakala binatang yang dipilih untuk dikorbankan tidak mengikut ciri-ciri yang ditetapkan dan ini melanggar undang-undang Malaysia," katanya.

Sementara itu, bagi Hussin Ali, 45, beliau rasa sangat bersyukur kerana dapat meraikan sambutan Aidil Adha dengan aman dan selesa walaupun di negara orang.

"Saya memanjatkan doa supaya semua kaum keluarga dan warga Rohingya di kem pelarian baik di Bangladesh atau di Myanmar selamat dan mampu meraikan Aidil Adha dengan aman dan damai seperti di Malaysia," tambah beliau.

Umat Islam di seluruh dunia merayakan Aidil Adha dengan mengorbankan binatang yang dibenarkan seperti kambing dan lembu, bagi memperingati Nabi Ibrahim yang sanggup mengorbankan anaknya untuk menurut perintah Allah.

Lihat Laman Penuh