Follow us

Cuti Umum Bagi Sambutan Hari Sarawak

Dennis Wong
Kuching, Sarawak
2016-07-22
E-mel
Komen
Share

Bagi rakyat Sarawak, 22 Julai tahun ini mencatatkan sejarah bagi negeri itu, kerana buat pertama kalinya tarikh berkenaan telah diisytiharkan oleh kerajaan negeri sebagai cuti umum bagi membolehkan warganya meraikan sambutan Hari Sarawak 2016.

Pengisytiharan mengenainya dibuat oleh Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem baru-baru ini dalam usaha untuk mengekalkan sejarah mengenai negeri itu.

Menurut sejarah yang tercatat pada tarikh 22 Julai 1963, Sarawak dibebaskan daripada belenggu penjajahan apabila Gabenor British, Sir Alex Wadell yang memerintah negeri berkenaan telah bersetuju untuk menyerahkan kuasa pentadbiran negeri kepada anak Sarawak sendiri.

Sambutan Hari Sarawak 2016 yang berlangsung pada Jumaat di Tebing Sungai Kuching turut  memaparkan lakonan semula sejarah negeri itu, bermula daripada pemerintahan Kesultanan Brunei dari tahun 1599 hingga 1842, pentadbiran Brooke (1842 hingga perang dunia kedua), British (1846 hingga 1963) dan Jepun (1941 hingga 1945) kepada pengunjung.

Yang di-Pertua Negeri Abdul Taib Mahmud, Adenan dan exco kerajaan negeri kelihatan mengenakan pakaian berwarna putih semasa sambutan itu.

Adenan yang kini sedang berunding dengan kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan semula kuasa dan hak negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, menggesa rakyat Sarawak menyokong kerajaan negeri terhadap permohonannya mendapat penurunan kuasa itu.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, Sarawak merupakan rakan kongsi yang membentuk Malaysia dan kami mahukan ia berterusan seperti itu. Sarawak akan sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis sambutan itu.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa dalam tempoh 50 tahun lalu, kuasa yang diberi kepada Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963, sering terhakis.

“Sekarang, kita mahu dapatkan kembali hak asal yang dahulunya diberi kepada kita pada 1963 dan kerajaan Persekutuan memberi respons positif," katanya.

Lihat Laman Penuh