Follow us

Terpinggir: Anak Rohingya Tanpa Negara Dapatkan Perlindungan di Bangladesh

Rohit Wadhwaney
Cox's Bazar, Bangladesh
2018-01-12
E-mel
Komen
Share

Yasmin, remaja pelarian Rohingya di tenggara Bangladesh, termenung jauh apabila diajukan soalan tentang keluarganya.

Penjaga beliau - bekas jirannya di negeri Rakhine di Myanmar - menjawab bagi pihak remaja perempuan berusia 15 tahun itu.

"Dia dalam keadaan yang amat trauma," kata Rashida Begum, 50, kepada BeritaBenar semasa dikunjungi baru-baru ini.

Begum berkata, Yasmin melihat ibu bapa dan abangnya terbunuh apabila tentera Myanmar melancarkan serangan terhadap komuniti Muslim Rohingya  di Rakhine pada 25 Ogos lalu, susulan serangan pemberontak Rohingya terhadap pos-pos keselamatan kerajaan.

"Jangankan bercakap, dia akan menggigil walaupun semasa memikir yang dia perlu melangkah keluar dari pondok ini hanya untuk menggunakan tandas," kata Begum.

Kisah tentang kanak-kanak dan remaja yang trauma seperti Yasmin, yang menyaksikan kekejaman tetapi selamat daripada tindakan itu, memenuhi berpuluh-puluh kem yang terdapat di daerah Cox's Bazar yang menempatkan kira-kira sejuta pelarian Rohingya dari Myanmar.

Sekurang-kurangnya 655,000 daripada mereka tiba selepas gelombang keganasan terbaru berlaku di Rakhine pada akhir Ogos lalu.

Kira-kira 60 peratus daripada pendatang baru itu terdiri daripada kanak-kanak dan remaja, menurut angka yang dikeluarkan oleh agensi-agensi yang berkaitan dengan PBB. Hampir 15,000 daripada 350,000 kanak-kanak kehilangan seorang atau kedua-dua ibu bapa mereka, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kira-kira 20,000 kanak-kanak yang berusia 5 tahun dan ke bawah didapati mengalami kekurangan zat makanan yang teruk, menurut UNICEF.

Pihak-pihak berkuasa daerah telah menubuhkan beratus-ratus pusat yang mesra kanak-kanak untuk membantu kanak-kanak lelaki dan perempuan Rohingya mengatasi trauma mereka, kata Timbalan Pesuruhjaya Cox’s Bazar, Ali Hossain.

"Melalui lagu, tarian, seni dan permainan interaktif, kami cuba menghapuskan kenangan-kenangan buruk yang dialami mereka akibat kekejaman baru-baru ini," kata jurucakap UNICEF, Faria Selim, kepada BeritaBenar.


Tushar Tohin dan Abdur Rahman turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh