Follow us

Sabut Kelapa, Arang dan Kayu Api Bakar Kuih Bahulu

S. Mahfuz
Kuala Lumpur , Malaysia
2020-07-29
E-mel
Komen
Share

Penyediaan Bahulu secara tradisional yang masih mengekalkan penggunaan sabut kelapa dan kayu masih mendapat tempat dihati pelanggan kerana keunikan rasa yang masih lagi dikekalkan, walaupun terdapatnya pelbagai teknologi moden yang lebih cepat untuk membuat kuih popular Melayu lama itu.

Di Batu Serambai yang terletak di daerah Kuala Klawang di Negeri Sembilan, iaitu kira-kira lebih 51 batu (82 km) dari Kuala Lumpur, terdapat sebuah gerai ditepi jalan yang menghasilkan kuih bahulu menggunakan resipi turun temurun dan penyediaannya dibuat menggunakan acuan tembaga, dibakar pula dengan sabut kelapa dan arang dibahagian atas manakala kayu api digunakan dibahagian bawahnya.

Mohd Farhan Mohd Faizo, 19 menjual bahulu tradisional di gerai milik keluarganya yang dikenali sebagai Gerai Bahulu Sabut Pijoi yang terletak ditepi Jalan Kuala Klawang sejak lima tahun lalu.

Gerai yang mempunyai lima orang pekerja memulakan operasi perniagaan dari pukul 9 pagi hingga 8 malam setiap hari itu, menyediakan lebih 1,000 biji bahulu sehari dengan menggunakan kira-kira 300 butir telur ayam yang dijual antara RM5 bagi sebekas 15 bahulu atau RM15 untuk bekas 40 bahulu.

“Resepi dan proses membakar bahulu menggunakan sabut kelapa dan kayu ini adalah warisan turun-temurun keluarga dan kami tidak pernah ubah resepinya… Itu yang menyebabkan rasanya lebih istimewa dan sesiapa yang pernah makan akan datang semula ke gerai kami untuk dapatkanya lagi. Selain itu bahulu juga dibakar di dalam acuan tembaga yang ditempah khas,” kata Mohd Farhan semasa ditemui BeritaBenar di gerainya baru-baru ini.

Beliau berkata tempoh untuk membakar bahulu biasanya sekitar 30 saat ke satu minit dengan bekalan sabut, kayu arang dan kayu api sebagai bahan bakar utama diperolehi daripada pembekal di sekitar daerah tersebut.

“Setiap kali saya ke Kuala Kelawang atas urusan kerja dan perniagaan, pasti saya akan singgah ke Gerai Bahulu Sabut Pijoi ini untuk membeli bahulu yang baru sahaja disediakan. Keluarga saya suka dengan keunikan rasa bahulu yang cara bakarnya dibuat secara tradisonal,” kata Suhaimi Yaakob, seorang pelanggan yang singgah digerai itu.

Komen (0)
Share
Lihat Laman Penuh