Bot Penambang Kuala Terengganu, Pengangkutan Yang Kian Terpinggir
2018.03.13
Kuala Terengganu, Malaysia
Perkhidmatan bot penambang melentasi Sungai Terengganu yang telah lama menjadi pengangkutan tradisi masyarakat setempat sekitar Kuala Terengganu, dikhuatiri akan lenyap ditelan arus permodenan.
Perkhidmatan bot yang menghubungkan bandar Kuala Terengganu, di muara sungai yang mengadap Laut China Selatan dengan jeti Seberang Takir, dapat menyingkatkan perjalanan penduduk di sekitar kawasan tersebut yang mahu ke Pasar Payang dengan perjalanan mengambil masa tidak lebih dari 10 minit.
Ali Muda, 72, atau lebih dikenali sebagai Pak Ali yang telah menjadi pengusaha bot penambang lebih 30 tahun semasa ditemui BeritaBenar melahirkan rasa bimbang akan kehilangan sumber pendapatan sekiranya kerajaan negeri tidak berbuat sesuatu untuk memelihara warisan.
Apa yang merisaukan Pak Ali dan pengusaha yang lain ialah pembinaan jambatan angkat (Draw Bridge), sebuah jambatan baru yang sedang dalam pembinaan yang akan menghubungkan bandar Kuala Terengganu dan Seberang Takir dengan dijangka siap pada 2018.
"Bila jambatan itu [Draw Bridge] siap, kami khuatir ia akan menjejaskan lagi periuk nasi kami," ujar beliau sambil menambah kini hanya kira-kira 15 pengusaha bot penambang yang masih aktif di Seberang Takir daripada 70 pada suatu ketika dahulu.
Rata- rata pengusaha bot tersebut adalah golongan tua lewat 50-an dan tidak mempunyai pengganti untuk meneruskan warisan berkenaan, ia terbukti apabila kelihatan beberapa buah bot penambang yang rosak dan hanya dibiarkan tersadai menunggu reput selain pengusaha terpaksa menjual bot mereka untuk dijadikan bot nelayan.
Pak Ali berkata, kerajaan negeri ada memberi elaun RM200 sebulan kepada pengusaha bagi setiap sebuah bot dan bantuan untuk membaik pulih bot, tetapi tanpa promosi yang baik tidak dapat menjamin masa depan bot penambang.
“Bot penambang ini perlu dipelihara agar nilai tradisi dan budaya masyarakat setempat dapat dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang. Pelancong luar negara pasti suka dengan pengalaman menaiki bot sebegini," kata seorang pelancong tempatan Mahfuz Izuddin, 26.