Follow us

Lingkaran Masyarakat Cina Asia Tenggara Dalam Tahun Babi

Staf BeritaBenar
Washington, District of Columbia
2019-02-05
E-mel
Komen
Share

Negara-negara di Asia Tenggara menyertai berjuta-juta orang di seluruh dunia meraikan sambutan Tahun Baru Cina pada Selasa, yang menandakan bermulanya Tahun Babi dengan persembahan tarian singa, membakar mercun dan memberi wang dalam sampul berwarna merah yang juga dikenali sebagai ‘angpau’ - dengan harapan mendapat nasib baik sepanjang tahun.

Negara China merujuk acara lunar sebagai Pesta Musim Bunga. Kaum Cina di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina menyambut kedatangan tahun baru dengan menghias rumah mereka dengan pelbagai sepanduk berwarna merah.

Perayaan itu menandakan bermulanya kalendar tradisional Cina yang terbahagi kepada 12 kitaran tahun sempena dengan nama haiwan. Hari pertama perayaan bermula pada bulan baru yang muncul antara 21 Jan dan 20 Feb.

Sambutan itu merupakan acara terbesar bagi masyarakat Cina, yang dikaitkan dengan beberapa mitos dan adat serta tradisi menghormati dewa-dewi, serta nenek moyang mereka.

Tetapi di Asia Tenggara, masyarakat Cina juga mengikuti adat dan budaya serantau termasuk berkumpul bersama sanak saudara dan sahabat handai untuk menikmati juadah tradisional.

Dumpling adalah makanan paling terkenal di kalangan masyarakat Cina, tetapi ‘potsticker’ tahun baru lebih istimewa kerana ia dibentuk menyerupai jongkong emas yang dipercayai membawa kekayaan pada masa depan.

Di Malaysia, adalah satu tradisi bagi keluarga Cina untuk membersihkan rumah mereka secara menyeluruh, dan mereka percaya rumah yang dibersihkan itu dapat menjauhkan nasib buruk dari tahun sebelumnya serta boleh membawa nasib baik untuk tahun seterusnya.

Warna merah melambangkan nasib yang baik dalam tradisi Cina, dan di Asia Tenggara, ‘angpau’ akan diagihkan kepada kaum keluarga semasa makan malam bersama sanak saudara. Mereka juga berpegang kepada adat bahawa jumlah wang yang diberi adalah nombor genap, lebih baik lagi kalau nombor 8, iaitu nombor yang dianggap paling bertuah.

Lihat Laman Penuh