Follow us

Zon Merah, Jingga COVID Dikenalpasti Bagi Kerja Disinfeksi di Seluruh Negara

S. Mahfuz
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-03-30
E-mel
Komen
Share

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempataan (KPKT) melalui beberapa agensi dibawah seliaannya telah bergabung tenaga menjalankan kerja-kerja nyah cemar atau disinfeksi di beberapa kawasan yang dikenalpasti sebagai zon merah atau jingga di seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata sebanyak 47 kawasan telah dikenalpasti sebagai kawasan kes tinggi (zon merah) dan kes sederhana (zon jingga) penularan COVID-19 di seluruh negara.

“Proses nyah cemar ini membabitkan 23 kawasan zon merah dan 24 kawasan zon jingga di seluruh negara dengan daerah Hulu Langat, Ulu Kinta, Kota Bharu dan Simpang Renggam antara daerah yang telah dikenalpasti,” kata Menteri itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kerja disinfeksi  KPKT akan dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selaku ketua operasi bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan beberapa agensi kerajaan tempatan negeri sebagai langkah kerajaan memastikan kawasan awam yang terdedah, bebas daripada penularan COVID-19.

Zuraidah berkata operasi tersebut melibatkan kerja disinfeksi perabot jalan, kemudahan awam, pasar awam, laluan siar kaki, hab pengangkutan serta di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berada di dalam daerah zon merah.

"KPKT akan mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja sanitasi di tempat awam manakala bagi premis-premis persendirian, kerja-kerja sanitasi perlu dilaksanakan oleh pemilik dengan tanggungan sendiri," katanya.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata langkah meningkatkan kerja pembersihan disinfeksi dijalankan selepas dipersetujui dalam Mesyuarat Keselamatan Negara (MKN) yang meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakannya.

"Pembersihan ini mengikut indikasi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Wilayah Persekutuan mencatatkan kes tertinggi di dua lokasi iaitu Lembah Pantai dan Titiwangsa," katanya.

Kira-kira RM20 juta telah diperuntukkan oleh KPKT untuk pelaksanaan operasi serta-merta pembersihan COVID-19.

Lihat Laman Penuh