Follow us

Dobi Tradisional Makin Dilupakan

S. Mahfuz
George Town, Pulau Pinang
2019-03-22
E-mel
Komen
Share

‘Dhoby Ghuat’ yang terletak antara Jalan York dan Jalan Air Itam, di George Town, Pulau Pinang sememangnya sinonim dengan perkhidmatan dobi tradisional seperti di Mumbai, India, tetapi malangnya ramai generasi muda tidak mengetahui mengenai sejarah perniagaan dobi tradisional akibat arus kemodenan.

Kini hanya terdapat tujuh pengusaha dobi tradisional yang mewarisi perniagaan sejak turun temurun berbanding 80 sebelum ini, di sekitar kawasan berkenaan yang kebanyakkan memulakan perkhidmatan itu sejak tahun 1910 lagi.

Walaupun pengusaha berkurangan, masih terdapat pelanggan yang lebih suka untuk menggunakan cucian dobi tradisional kerana yakin kaedah cucian adalah lebih bersih dan tidak merosakkan kain.

A. Raman, 56, seorang pengusaha dobi tradisional di ‘Dhoby Ghuat’ telah mewarisi perniagaan tersebut daripada keluarganya yang telah bergelumang dalam perkhidmatan mencuci pakaian tradisional itu selama lebih 80 tahun.

“Dobi jenis ini berasal dari India. Saya belajar dan mewarisi perniagaan daripada ibu bapa saya. Setiap hari saya bekerja dari 8 pagi hingga 10 malam dengan dibantu dua pekerja, setiap seorang daripada mereka mempunyai tugasan masing-masing seperti mengering dan menggosok pakaian,” tambah beliau

Raman yang merupakan generasi ketiga mengusahakan perniagaan itu turut mengeluh kerana anak muda tidak lagi berminat meneruskan perniagaan dobi tradisional kerana lebih berminat bekerja dalam bilik berhawa dingin dan gaji yang lebih tinggi.

Tambahan pula perniagaan ini sukar untuk mendapatkan pembantu, selain persaingan daripada kedai dobi layan diri dan adanya mesin basuh yang moden.

Kaedah tradisional mencuci pakaian menggunakan tangan lebih bersih berbanding menggunakan mesin basuh kerana pakaian akan terlebih dahulu direbus dalam air panas selama 5 hingga 10 minit.

Selepas direndam di dalam air sabun, dan diberus, ianya dicuci semula dengan air bersih sebelum diperah menggunakan tangan untuk dikeringkan di ampaian di bawah teriknya cahaya matahari sebelum digosok dengan menggunakan seterika arang.

“Pakaian yang digosok menggunakan seterika arang akan lebih tahan lama,” tambah Raman.

R. Muthusamy, yang berusia 46 adalah seorang pelanggan tetap Raman semasa ditemui berkata, “Baju yang dicuci menggunakan kaedah tradisional ini lebih wangi, bebas kedutan serta lebih tahan lama,”

Komen (0)
Share
Lihat Laman Penuh