Follow us

Pembenihan Awan Kurangkan Kesan Jerebu di Semenanjung Malaysia

S. Mahfuz
Subang, Malaysia
2019-09-19
E-mel
Komen
Share

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di empat buah negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah pada Khamis.

MetMalaysia berkata semasa operasi di keempat buah negeri itu, pelbagai cabaran dihadapi pasukan OPA kerana kesukaran mencari awan yang sesuai disebabkan jerebu tebal selain terpaksa melalui kawasan sasaran yang bentuk muka buminya berbukit-bukau terutamanya di sekitar Ipoh dan Kuala Kangsar, Perak.

“Operasi untuk menghasilkan hujan di beberapa kawasan di utara Semenanjung dapat dilakukan di Balik Pulau dan Seberang Prai di Pulau Pinang, Kulim dan Sungai Petani di Kedah, walaupun tidak secara menyeluruh,” kata MetMalaysia dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, TUDM dalam satu kenyataan berkata, pesawat TUDM C130H dari 20 Skuadron yang berpangkalan di Subang, Selangor telah diaturgerak bagi OPA di keempat-empat negeri di Semenanjung Malaysia, yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

Pesawat dikendalikan oleh Mejar Hamdi Tajuddin membawa empat tangki besar berisi larutan garam berlepas dari Pangkalan Udara Subang kira-kira jam 12.30 tengah hari.

MetMalaysia juga memaklumkan pesawat TUDM turut mengalami kesukaran untuk meningkatkan keberkesanan OPA di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana kebenaran penerbangan yang terhad sehingga ketinggian 4,000 kaki sahaja agar tidak mengganggu aliran trafik udara lain.

Jabatan itu akan terus memantau keadaan atmosfera dari semasa ke semasa serta melaksanakan OPA apabila keadaan atmosfera sesuai bagi mengurangkan kesan jerebu di kawasan yang terlibat selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

Sebanyak 1,659 buah sekolah di empat negeri di Semenanjung terpaksa di tutup pada Jumaat berikutan bacaan udara di tempat itu yang melebihi paras bacaan IPU mencecah 200.

Penutupan itu melibatkan sejumlah lebih kurang 1.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.


Lihat Laman Penuh