‘Kapten Corner’ Tawar Juadah Istimewa Oleh Juruterbang Diberhentikan Kerja
2020.11.10
Kuala Lumpur, Malaysia
Setelah diberhentikan kerja daripada sebuah syarikat penerbangan komersial Malaysia akibat pandemik COVID-19 baru-baru ini, seorang juruterbang berusia 44 tahun mengambil keputusan untuk membuka gerai makanan yang dikenali sebagai ‘Kapten Corner’ di Subang Jaya, Selangor, bagi meneruskan hidup bersama isteri dan empat anak.
Kapten Azrin Muhamad Zawawi mengambil keputusan menceburkan diri dalam perniagaan makanan dengan menjual Laksa Utara, Rojak Buah, Mee Kari dan Bihun Sup di sebuah gerai yang dinamakan ‘Kapten Corner’ di Subang Jaya, Selangor, selepas diberhentikan kerja pada 30 Oktober lepas.
Dibantu isteri Latun Norlayani Meor Aminudin, 41, ‘Kapten Corner’ menyediakan masakan resepi turun temurun keluarga dan beroperasi dari 1 tengahari sehingga 9 malam setiap hari.
“Pada mulanya saya berasa kekok bila mahu mengupas bawang, belajar ikat dan potong buah, sehingga sakit jari, ya la kan, selalu hanya duduk dalam kokpit kapal terbang…, jadi pengalaman baru ini amat jauh berbezanya…. Tetapi bila dah selalu buat kerja di gerai ini, saya dah dapat biasakan diri,
“Semua orang merasa kesusahan dan kesukaran pada waktu dunia dilanda pandemik COVID-19 ini, dan ianya amat menyeksakan sekali, tetapi jangan putus asa, fikir positif, banyak berdoa dan sentiasa berfikir apa yang boleh kita buat dan hendak buat,” kata Azrin kepada BeritaBenar.
Menceritakan bagaimana beliau boleh memakai pakaian seragam juruterbang semasa berjualan digerainya, Azrin berkata beliau sebenarnya tidak mempunyai rancangan untuk beruniform, dan semua terjadi secara kebetulan selepas gambar bersama isteri di gerai mereka menjadi viral di laman media sosial.
“Saya yang beruniform juruterbang singgah digerai selepas mengembalikan pas rasmi juruterbang kepada Malaysian Airports Holding Berhad (MAHB) di KLIA, dan pada masa itu isteri minta ambil gambar untuk kenang-kenangan sebelum uniform dikembalikan kepada syarikat.., apabila dimuatnaik di laman media sosial, ia menjadi viral” kata beliau yang mempunyai pengalaman 20 tahun sebagai juruterbang.