Follow us

Warga Tua Mah Meri Harap Tradisi Puja Pantai Diteruskan

S. Mahfuz
Pulau Carey, Malaysia
2018-02-23
E-mel
Komen
Share

Generasi tua suku kaum Mah Meri Malaysia yang kebanyakannya bermastatutin di Pulau Carey, Selangor sangat berharap kaum muda mereka dapat meneruskan ritual menenangkan semangat laut menerusi upacara yang dikenali sebagai pesta “Puja Pantai dan Hari Moyang”.

Sambutan pesta Puja Pantai dan Hari Moyang disambut setiap kali selepas masyarakat Tionghua menyambut Tahun Baru Cina, diadakan bagi mendapatkan perlindungan, pengampunan, bertukar maklumat serta memohon nasib yang lebih baik dengan keinginan istimewa daripada nenek moyang dan roh mereka.

Gipsi laut animisme itu dilaporkan kini berjumlah 2,000 orang dan menetap di sepuluh buah kampung di sekitar Pulau Carey, kira-kira 90 batu dari ibu kota Kuala Lumpur, selepas melarikan diri dari pantai selatan Malaysia lebih 100 tahun yang lalu.

Seorang warga tua Mah Meri yang berusia 70-an, Anak Anak Idris semasa ditemui BeritaBenar berkata "Saya berharap generasi muda akan melakukan ritual Puja Pantai dan Hari Moyang yang sama untuk saya selepas saya tiada. Mereka harus memelihara upacara ini demi kebaikan suku kaum Mah Meri. Dengan upacara ini, nenek moyang dan roh mereka akan melindungi suku kaum dan memberikan kemakmuran untuk masa sekarang dan masa akan datang, ".

Antara ritual yang dibuat oleh suku kaum itu ialah semasa matahari terbenam, mereka akan berdoa sambil memohon untuk menemui insan tersayang yang sudah tiada di sanggar berhampiran rumah mereka dengan menawarkan makanan dan minuman kegemaran kepada roh berkenaan.

Di sepanjang malam, dukun dan pembantunya akan berhubung dengan roh Getah dan pada masa mereka dalam keadaan menurun, seluruh penduduk kampung akan bergerak ke arah pantai di mana Mahligai Sanggar ditempatkan ditengah laut untuk menawarkan jamuan besar-besaran ketika air laut pasang.

Ritual akan bermula apabila air laut surut sepenuhnya dengan para penduduk menari dan menyanyikan lagu-lagu pujian sambil mengiringi dukun yang sedang menurun roh hutan dan roh-roh lain.

Bagaimanapun menurut Dukun Generasi Kelima suku kaum Mah Meri Daimon Pron, ketua-ketua kampung perlu berhubung dengan roh moyang melalui mimpi sebelum mereka boleh merancang untuk mengadakan puja pantai dan hari moyang berkenaan.

Bagi seorang lagi warga tua Mah Meri, Diaman, 57 yang juga merupakan seorang pakar ukiran kayu Mah Mmeri di Kampung Sungai Judah, beliau melahirkan kebimbangan kerana kayu daripada pokok Nira Batu yang digunakan sebagai bahan utama ukiran untuk melakukan ritual itu semakin pupus akibat kemusnahan paya bakau akibat pembangunan.

Beliau yang mahir dalan seni ukiran sangat berharap anak-anaknya dapat mewarisi kepakarannya dalam seni ukiran, yang menjadi sumber utama suku kaum itu.


Komen (0)
Share
Lihat Laman Penuh