Agong Malaysia Tampilkan Sisi Humor di Tengah-tengah Ketegangan Politik, Kaum
2018.07.17
Kuala Lumpur, Malaysia
Yang di-Pertuan Agong Malaysia Sultan Muhammad V mengendurkan suasana tegang persidangan Parlimen pada Selasa apabila memulakan titah ucapan sambil tersenyum dan memberitahu semua Anggota Parlimen supaya ‘jangan lari’.
Yang di-Pertuan Agong yang berusia 48 tahun itu menampilkan sisi humor baginda semasa merasmikan istiadat pembukaan penggal pertama Parlimen negara selepas pakatan pembangkang mengejutkan dunia dengan kemenangan besar pada pilihan raya dua bulan lalu.
Kerajaan Malaysia, yang mempunyai majoriti penduduk Islam, kini diterajui Pakatan Harapan (PH), yang mengalahkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 9 Mei, dengan meruntuhkan kuasa politik dominan yang kukuh buat pertama kalinya sejak negara memperoleh kemerdekaan daripada pemerintahan British pada 1957.
"Ahli-ahli yang berhormat sekalian, sila duduk dan jangan lari,” titah Seri Paduka kepada 222 Anggota Parlimen itu, yang nampaknya merujuk kepada insiden pembangkang daripada BN dan PAS yang bertindak keluar dewan pada Isnin.
Selepas melemparkan senyuman, Sultan Muhammad V pantas beralih serius dengan menggesa semua pihak supaya bertenang dan bersatu padu di tengah-tengah tanggapan mengenai peningkatan ketegangan kaum dalam negara pelbagai kaum itu.
“Elemen-elemen negatif dan tindak tanduk yang mengganggu-gugat kesepaduan dan keharmonian perlu dibanteras,”titah Seri Paduka. “Hentikan ungkitan terhadap isu-isu sensitif antara kaum.”
Kira-kira 61 peratus daripada 32 juta penduduk negara itu adalah Muslim dengan turut mempunyai populasi besar etnik Cina dan India.
Persidangan Parlimen Ke-14 menyaksikan perubahan peranan dengan BN kini menduduki barisan pembangkang selepas PH menamatkan pemerintahan 60 tahun gabungan parti itu.
Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan pada Isnin selepas menyuarakan bantahan mereka terhadap pelantikan Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Yang Dipertuan Dewan Rakyat. Sebelum ini, pemimpin pembangkang mengkritik Perdana Menteri Mahathir Mohamad kerana melantik orang bukan Islam menyandang beberapa jawatan tertinggi kerajaan.
Namun, Yang di-Pertuan Agong yang turut menyambut baik pendekatan pentadbiran baru dalam "menegakkan ketelusan" dalam kerajaan, menggesa supaya memelihara perpaduan pada Selasa.
“Rakyat telah pun membuat keputusan,” titah Seri Paduka. “Justeru, semua pihak hendaklah akur dan berlapang dada, tidak emosional, tidak mewarnai pemikiran bermodal fitnah dan sentimen melulu, sempit dan tertutup.”