Follow us

Orang Laut Seletar Negeri Johor Tidak Lagi Bergantung Kepada Hasil Laut

S. Mahfuz
Johor Bahru, Malaysia
2018-03-27
E-mel
Komen
Share

Masyarakat Seletar, Orang Laut yang tinggal di dalam sampan panjang dan hidup secara nomad di selatan negeri Johor, tidak lagi bergantung kepada hanya hasil laut untuk menyara kehidupan mereka, dengan peredaran zaman yang kini pesat membangun.

Orang Laut Seletar dipercayai berasal dari Pulau Seletar dan Seletar, di Singapura dan merupakan penduduk pribumi Singapura dan antara yang terawal menetap di pulau yang pernah dikenali sebagai Temasik suatu ketika dahulu.

Suku Seletar yang suka berpindah randah kerana bergantung kepada hasil laut itu, kini telah memiliki perkampungan sendiri di kawasan tepi laut di sekitar Kampung Bakar Batu, Johor Bahru dan kerajaan Malaysia telah mengkategorikan suku itu sebagai sebahagian daripada kaum Orang Asli yang terdapat di negara berkenaan dengan kehidupan yang lebih teratur.

Walaupun secara tradisinya, suku kaum Seletar bergantung kepada hasil laut tetapi perubahan sosio ekonomi telah merubah cara hidup mereka dengan ramai yang bekerja di kilang perindustrian atau mengusahakan kedai makanan laut.

Mereka tidak lagi mengamalkan cara tradisi untuk menangkap ikan, sebaliknya menggunakan peralatan moden dan purata anak suku Seletar yang bersekolah juga semakin tinggi, kerana memiliki kesedaran pentingnya ilmu pendidikan untuk generasi masa akan datang.

Tetapi yang membimbangkan suku kaum itu ialah kampung mereka dihimpit arus pembangunan sehingga maksan masyarakat Seletar dipindahkan ketempat lain untuk memberi ruang kepada projek pembangunan berhampiran kampung mereka.

"Pembangunan yang pesat mengakibatkan orang asli seletar tidak lagi bergantung kepada hasil laut. Yang menjadi masalah kini ialah pembangunan sekitar persisiran Johor yang amat pesat seperti di Danga Bay, Gelang Patah dan pesisir Sungai Johor mengakibatkan kami semakin terhimpit. Kami khuatir hilang budaya dan jatidiri kami. Laut itu kami, kami itulah juga laut,” kata Jefri, 30, seorang lelaki dari suku Seletar yang juga pengusaha restoran makanan laut di jeti Kampung Sungai Temon kepada BeritaBenar.

Suku kaum ini mengamalkan kepercayaan animisme dan ada juga yang telah menganut agama Islam tetapi jumlahnya sangat kecil.

Lihat Laman Penuh