Follow us

Tiada Pelapis Warisi Kemahiran Seni Membuat Wau, Bakal Lupus

S. Mahfuz
Kuala Terengganu, Terengganu
2019-05-01
E-mel
Komen
Share

Membuat wau memerlukan kemahiran seni yang tinggi, selain memerlukan kepakaran melukis, hiasan, pembuat wau juga perlu memiliki kemampunan untuk menegakkan wau serta boleh menongkah angin bagi sesebuah wau yang diterbangkan di langit.

Di negeri pantai timur Terengganu, pembuat terkenal wau di Malaysia, yang lebih dikenali sebagai Pak Ali adalah antara mereka yang mempunyai kemahiran tinggi dalam membuat wau.

Bagaimanapun Pak Ali, yang nama sebenarnya Ali Hassan Hamad, yang menetap di Kampung Bonggol Tuan Muda di Kuala Terengganu mengeluh kerana generasi muda masa kini, kurang minat untuk mewarisi kemahiran membuat wau termasuk anak-anak beliau sendiri.

Ayah kepada lima orang anak dan berusia 62 tahun itu pernah memenangi pelbagai pertandingan wau sehingga peringkat dunia, menjangka tempoh 10 tahun akan datang, kemahiran dan kepakaran pembuat wau akan lupus kerana tiada yang sanggup mewarisi kemahiran tersebut.

“Seni ini semakin lama semakin dilupakan. Siapa lagi yang hendak mewarisi jika bukan golongan muda. Sepuluh tahun lagi kemahiran ini akan lenyap disebabkan 320 pembuat wau di Terengganu yang tinggal sekarang adalah golongan tua dan tiada pelapis yang sanggup untuk mewarisi kemahiran seninya lagi.

“Ramai yang buat hanya sekerat jalan serta tiada galakan dari pihak berwajib kerana mereka lebih menumpukan kepada layang-layang moden yang lebih tahan dan mudah buatannya,” tambah Pak Ali yang memperolehi antara 1,000 dan 1,500 ringgit dengan menghasilkan 3 atau 4 wau sebulan.

Sementara itu, Farhan Darwis, seorang pengemar wau dan pelanggan tetap Pak Ali memberitahu BeritaBenar “Hasil tangan Pak Ali saya kategorikan sebagai kelas A kerana kehalusan dan ketelitian buatannya. Saya amat berpuashati dengan wau yang saya tempah dari Pak Ali.”


Lihat Laman Penuh