Wanita Melaka kekalkan tradisi 100 tahun pembuatan terompah
2024.01.24
Melaka
Di satu sudut kedai kayu berwarna biru di sebuah lorong di Kampung Jawa, Bandaraya Melaka, seorang wanita berbangsa Tionghua tekun mengecat terompah yang baru siap dibentuk.
Beliau kemudiannya mengetuk paku ke atas terompah itu untuk memasang bahagian yang dikenali sebagai’ plastik muka’ dengan terompah yang telah siap dibentuk digantung di tengah-tengah kedai yang didirikan oleh bapanya sejak lebih 100 tahun lalu, untuk dipilih pembeli.
Tham Fong Ling, 64 mewarisi kedai usang itu daripada mendiang bapanya yang juga seorang pembuat terompah di negeri yang pernah dijajah Portugis dan Belanda satu masa dahulu.
Menggunakan peralatan-peralatan tradisional seperti pengetuk kayu dan tukul besi, Tham yang juga satu-satunya pengusaha terompah yang masih kekal berniaga bergelut untuk meneruskan perniagaannya ekoran permintaan yang semakin merudum.
Meskipun begitu, dia nekad untuk meneruskan tradisi pembuatan terompah selagi mampu dengan kebanyakan tempahan terompah dipesan oleh penjual cenderamata selain orang perseorangan.
Sepasang terompah bersaiz dewasa dijual pada harga RM25 manakala terompah kanak-kanak yang mendapat sentuhan moden dengan karikatur kartun kegemaran pada atas plastik muka terompah pula dijual pada harga RM20.
Terompah berfungsi sebagai selipar dan dibawa ke negeri bersejarah itu oleh pedagang Cina semasa era Kesultanan Melayu Melaka.
Selipar kayu itu sering digayakan oleh kaum Cina untuk bersiar-siar, manakala masyarakat Melayu pula menggunakannya di surau dan masjid, namun ia kurang dikenali di kalangan generasi muda masa kini.
Kurator Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Mohd Shukry Abdullah semasa ditemui BenarNews berkata, kerajaan negeri Melaka dalam proses mematenkan terompah sebagai produk warisan negeri.
Bagi meneruskan usaha tersebut katanya, Tham telah dijemput untuk menjadi pengajar dalam bengkel pembuatan terompah yang bakal dianjur kelak.
PERZIM juga menyediakan fasiliti yang lebih selesa untuk Tham meneruskan tradisi itu, tetapi wanita berkenaan tidak mahu berpindah. Katanya ia atas dasar menghormati wasiat mendiang ayah beliau yang mahu dia meneruskan perniagaan di kedai yang sama sehingga akhir hayat.
Seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Zie berkata dia memesan sepasang terompah untuk dijadikan hadiah kepada kawannya.
“Melaka terkenal dengan terompahnya, jadi pada saya barangan seperti ini menghidupkan semula nostalgia dan unik walaupun ia hanya digunakan sebagai selipar,” kata lelaki itu.