Follow us

Wanita Malaysia Takluk Bangunan Pencakar Langit Menerusi Pekerjaan Berbahaya

S. Mahfuz
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-01-15
E-mel
Komen
Share

Terdapat wanita Malaysia yang menentang graviti dengan memberanikan diri menyahut cabaran bertugas sebagai juruteknik akses tali, satu pekerjaan yang memerlukan mereka untuk sentiasa bergayut di antara puncak dan sisi bangunan pencakar langit dengan landskap pandangan Kuala Lumpur.

BeritaBenar mengikuti sekumpulan lima wanita kental ini semasa mereka melakukan tugas harian dalam kerja-kerja penyelenggaraan berisiko tinggi di tingkat 66 sebuah hotel berhampiran Menara Petronas yang ikonik.

Kebanyakan wanita itu memiliki ijazah profesional tetapi nekad meninggalkan pekerjaan pejabat di ibu negara untuk bergayut di luar bangunan pencakar langit.

"Tugas ini berbahaya tetapi saya suka melihat pemandangan indah dari bangunan tinggi," kata Nurul Nadhirah Shamsul Liani, 27, pemegang ijazah sarjana muda dalam pengurusan pejabat kepada BeritaBenar yang menyukai pekerjaan itu kerana amat meminati sukan ekstrem sejak sekolah lagi.

Nurul dan rakan setugas akses talinya itu adalah tergolong dalam kategori kerjaya yang dikelaskan sebagai 3D - Kotor, Berbahaya dan Sukar kerana tugas mereka melibatkan pembersihan, mengecat, kerja-kerja elektrikal serta pemasangan paip di tempat tinggi.

Seorang lagi juruteknik, Aiza Faizin Mohd Rosli, 25, merupakan pemilik ijazah pengurusan ladang, dan beliau sudah tiga tahun berkecimpung dalam bidang tugas sebagai juruteknik akses tali. Beliau juga adalah seorang pakar dalam kerja-kerja penyelengaraan air dan aplikasi silikon bagi bangunan tinggi.

"Saya berasa sangat gembira apabila saya boleh duduk dan bergayut selama hampir tujuh jam di bangunan tinggi. Berdepan dengan cuaca seperti panas terik dan hujan adalah perkara biasa. Saya sudah lali," katanya kepada BeritaBenar.

Ahmad Mujahid Abdul Hadi, pemilik ANAS Consultancy & Services yang menggajikan wanita-wanita itu, berkata "orang ramai sering salah faham dan menganggap kerjaya 3D (kotor, bahaya dan sukar) sebagai tidak lebih daripada tukang cuci bangunan.

"Sebenarnya, bukan itu sahaja yang mereka lakukan. Skop kerja mereka adalah luas dalam bidang penyelenggaraan profesional," katanya.

Lihat Laman Penuh