Follow us

Umat Islam di Asia Selatan, Tenggara Gembira Sambut Ketibaan Aidilfitri

Staf BeritaBenar
2019-06-05
E-mel
Komen
Share

Umat Islam di Asia Selatan dan Asia Tenggara pada Rabu menyertai berjuta-juta penganut lain agama itu di seluruh dunia menyambut ketibaan Aidilfitri apabila mereka mengucapkan selamat tinggal kepada Ramadan, bulan suci yang menyaksikan mereka berpuasa selama 30 hari dari waktu matahari terbit hingga waktu matahari terbenam.

Sambutan berlangsung dari Bangladesh hinggalah ke Indonesia, Malaysia, Thailand dan Filipina.

Perayaan Aidilfitri menghimpunkan keluarga dari jauh dan dekat. Kebanyakan mereka melakukan perjalanan yang jauh untuk bersama keluarga tersayang dan menyambutnya dengan menunaikan solat sunat Hari Raya, membayar zakat fitrah, memberikan duit raya atau hadiah serta mengadakan rumah terbuka.

Di Indonesia, negara yang memiliki majoriti penganut Islam terbesar di dunia, penduduk tempatan menggelarkan sambutan besar-besaran di penghujung Ramadan sebagai “mudik.”

Di Malaysia, penganut Islam yang taat mengadakan rumah terbuka yang mengalu-alukan kedatangan semua orang tanpa mengira kepercayaan atau agama. Di Kampung Bukit Piatu di negeri Melaka, Ramli Basir dan beberapa orang lagi menyediakan dodol, sejenis juadah bagi perayaan itu yang diperbuat daripada tepung pulut, santan kelapa dan gula kabung.

“Kita tidak sepatutnya melupakan juadah tradisional kita. Aktiviti ini merupakan satu platform bagi menghimpunkan generasi tua dan muda. Ia lebih meriah begini. Pelihara tradisi menyediakan juadah ini bersama-sama kerana ia akan memperkukuh silaturahim sesama kita,” kata Ramli kepada BeritaBenar ketika beliau dan beberapa orang lagi melakukan persiapan bagi menyambut ketibaan Aidilfitri.

Orang ramai turut membeli perhiasan untuk menjadikan rumah mereka lebih ceria sempena perayaan itu.

Di Kuala Lumpur, Nur Syafiqah Mustaffa, 29, sibuk menjual lampu hiasan yang merupakan tradisi turun-temurun keluarganya. 

“Saya harap Aidilfitri kali ini akan dipenuhi warna-warna perpaduan terutama dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina dan India,” katanya kepada BeritaBenar. “Marilah kita hidup dalam suasana yang harmoni. Hormatilah orang lain jika kita mahu mereka menghormati kita.”

Megh Monir di Dhaka, Jojo Rinoza dan Luis Liwanag di Manila, S. Mahfuz di Kuala Lumpur, Nurdin Hasan di Banda Aceh, Indonesia serta Mariyam Ahmad dan Matahari Ismail di Pattani dan Narathiwat, Thailand menyumbang kepada laporan ini.

Komen (0)
Share
Lihat Laman Penuh