Senarai Kabinet Gambarkan Kerajaan Malaysia Pimpinan Muhyiddin

Komentar oleh Zachary Abuza
2020.03.09
200309-MY-abuza-620.jpg Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mengumumkan barisan kabinet baharunya semasa sidang berita di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, 9 Mac 2020.
(AP)

KEMASKINI pada 11.15 pagi waktu tempatan ETS - 2020-03-10

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengambil alih kuasa selepas seminggu negara berdepan dengan komplot politik elit yang menyaksikan beberapa tindakan berpaling tadah utama (termasuk beliau sendiri) daripada gabungan pemerintah Pakatan Harapan.

Meskipun tidak dapat dipastikan sama ada Muhyiddin sememangnya mendapat sokongan daripada 112 ahli parlimen yang diperlukan untuk membentuk satu gabungan majoriti, Yang di-Pertuan Agong percayakan beliau dan melantiknya sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, bimbang beliau bakal berdepan usul undi tidak percaya, yang mungkin mengembalikan kuasa kepada Pakatan Harapan (PH) – Muhyiddin menangguhkan sidang parlimen selama dua bulan. Meskipun sah, ia mencabuli semangat undang-undang dan menimbulkan persoalan sama ada beliau sebenarnya tidak mendapat sokongan majoriti.

Begitupun pada 9 Mac, Muhyiddin mengumumkan barisan kabinetnya yang dengan cepat telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Barisan kabinet itu memberitahu kita beberapa perkara penting mengenai kerajaan baharu Malaysia.

Pertama, Muhyiddin kini mungkin mendapat majoriti tipis di parlimen. Rasa curiga yang menyelubungi penangguhan sidang parlimen ialah bahawa perdana menteri itu memerlukan masa untuk membeli sokongan sejumlah ahli parlimen.

Barisan kabinet itu mencadangkan bahawa beliau sememangnya telah berbuat demikian. Empat anggota PH dalam senarai mereka yang berikrar menyokong bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang dikeluarkan pada 2 Mac, berada dalam kabinet itu. Muhyiddin nampaknya telah berjaya membeli mereka.

Kedua, kabinet itu amat besaar. Sebagai tambahan kepada jawatan perdana menteri, ia mempunyai 31 menteri dan 36 timbalan menteri berbanding dengan kabinet PH yang hanya mempunyai 27 menteri.

Jawatan menteri dan timbalan menteri dipegang oleh sembilan parti politik berbeza dalam gabungan Perikatan Nasional. Dua menteri bukan terdiri daripada tokoh politik daripada parti sekutu. Bersatu memegang 11 jawatan menteri dan 13 jawatan timbalan menteri diikuti UMNO yang memegang sembilan jawatan menteri dan lapan jawatan timbalan menteri.

Ciri kabinet yang besar itu mengingatkan kita kepada politik berasaskan kuasa naungan di Malaysia. Setiap rakan kongsi dalam gabungan ini, termasuk yang kecil seperti Kongres India Malaysia (MIC) dan Persatuan Cina Malaysia (MCA), menerima jawatan menteri atau sekurang-kurangnya jawatan timbalan menteri.

Pemenang sebenar adalah parti Sabah dan Sarawak

Pemenang sebenar dalam kabinet ini ialah empat parti dari Sabah dan Sarawak yang begitu penting kepada pembentukan mana-mana gabungan pemerintah. Bersama mereka memegang 16.1 peratus jawatan menteri dan 16.6 peratus jawatan timbalan menteri.

Ketiga, dan bagi mengulangi fakta bahawa Perikatan Nasional adalah dibina berasaskan idea ketuanan Melayu, 26 menteri adalah orang Islam dan hanya lima bukan Islam. Ini jauh berbeza dengan kabinet pelbagai kaum PH. Ini akan mencetuskan kebimbangan lanjut dalam kalangan golongan minoriti di negara ini.

Keempat, pemilihan kabinet menunjukkan bahawa terdapat percubaan bagi membendung pengaruh PAS. PAS memegang 18 daripada 112 kerusi parlimen yang diperlukan (16 peratus). Namun mereka hanya mendapat tiga daripada 31 kementerian (9.7 peratus) dan lima daripada 36 jawatan timbalan menteri (14 peratus).

Meskipun PAS kini memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), yang amat penting dalam kemajuan undang-undang syariah, anggotanya tidak mendapat portfolio agama dan pendidikan yang dilihat sebagai kunci dalam memajukan agenda Islam mereka. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dipegang oleh Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang bukan anggota mana-mana parti sekutu, dengan ahli parlimen PAS, Ahmad Marzuk Shaary, sebagai timbalan menteri. Sebaliknya PAS memegang Kementerian Alam Sekitar dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, yang kurang penting bagi agenda sosialnya.

PAS sepatutnya dijangka menggunakan 18 kerusi parlimen yang dimiliki parti itu bagi memajukan agenda Islamnya. Namun Perikatan Nasional seolah-olah mengambil pendekatan ketara yang berbeza berbanding kedudukan istimewa yang dimilikinya dalam pakatan UMNO-PAS.

Kelima, adalah penting untuk melihat siapa yang tidak berada dalam kabinet itu. Paling utama, ketiadaan presiden UMNO Zahid Hamidi dan timbalannya Mat Hassan begitu ketara. Zahid Hamidi sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung 87 dakwaan. Dengan sebuah kerajaan yang diragui kesahannya di mata rakyat, Muhyiddin tidak boleh dilihat sebagai menerima ahli-ahli politik paling korup di dalam negara.

Begitu pun, Zahid dilihat seolah-olah yakin bahawa pertuduhan terhadapnya akan digugurkan manakala bekas Perdana Menteri Najib telah bercakap mengenai perubahan persekitaran yang menyelubungi perbicaraan kes rasuah beliau dan isterinya.

‘Menteri-menteri kanan’

Keenam, tiada timbalan perdana menteri dinamakan. Sebaliknya terdapat empat “menteri-menteri kanan,” yang terdiri daripada setiap parti utama dalam gabungan itu namun tanpa definisi mengenai apa yang dimaksudkan dengan gelaran itu.

Tidak mempunyai seorang timbalan PM sememangnya mencadangkan bahawa tiada keyakinan gabungan ini akan bertahan lama, atau bahawa satu peralihan kuasa yang teratur sedang dilakukan, meskipun perdana menteri sedang dalam fasa pemulihan selepas menghidap penyakit kanser pankreas baru-baru ini.  

Bekas penyokong setia Anwar Ibrahim, Azmin Ali, pula menerima ganjaran kerana berpaling tadah daripada PKR kepada Bersatu, dengan jawatan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Meskipun tindakan Azmin berpaling tadah dilihat sebagai langkah beliau merintis laluan lebih pantas untuk menyandang jawatan perdana menteri, ia masih belum pasti.

Meskipun kerajaan Muhyiddin sememangnya mendapat majoriti tipis, adalah penting untuk mengingati bahawa ini bukanlah satu gabungan yang stabil. Bersatu, UMNO dan PAS semuanya bersaing untuk mendapatkan sokongan kaum yang sama iaitu orang Melayu yang merupakan 60 peratus daripada penduduk Malaysia. Perbuatan tikam belakang akan berleluasa. Dan meskipun tiada siapa yang ingin menumbangkan kerajaan ini sekali gus mencipta peluang untuk PH kembali berkuasa, akan wujud banyak persaingan antara parti-parti terbabit yang mana Muhyiddin amat terhutang budi.

Muhyiddin bijak kerana meletakkan ekonomi di dalam tangan seorang teknokrat yang boleh dipercayai, jika tidak kerajaannya mungkin tidak bertahan lama. Namun apa yang jelas, kerajaan ini dilihat hanya akan melindungi hak, keistimewaan, kuota dan subsidi yang memanfaatkan orang Melayu, meskipun terpaksa berdepan kos yang tinggi selain ketidakcekapan.

Kerajaan hari ini mengumumkan hasil permainan politik oleh golongan elit. Ini bukan apa yang diundi oleh rakyat pada 2018. Mereka berhak meluahkan kemarahan kepada golongan elit ini. Rakyat Malaysia mengundi untuk sebuah kerajaan progresif yang melangkaui sikap perkauman dan bebas rasuah. Sebaliknya mereka mendapat cauvinisme Melayu serta kepulangan parti-parti dan ahli-ahli politik yang dicemari rasuah. Ini adalah sebuah kerajaan untuk orang Melayu, bukan sebuah kerajaan untuk rakyat Malaysia.

Zachary Abuza adalah seorang profesor di Kolej Perang Nasional di Washington dan merupakan pengarang “Forging Peace in Southeast Asia: Insurgencies, Peace Processes, and Reconciliation.”  Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangannya sendiri dan bukannya pendapat atau dasar Jabatan Pertahanan A.S, Kolej Perang Nasional atau BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.