Malaysia mulakan tugas Pengerusi ASEAN dengan cabaran berliku
2025.01.30
Kuala Lumpur

Malaysia menjadi tumpuan pelbagai pihak setelah ia mengambil alih jawatan Pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada 2025 dengan perhatian diberikan kepada bagaimana bentuk kepimpinan baharu dan visi yang ingin dibawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Namun tanda-tanda awal menunjukkan bahawa harapan yang diletakkan terhadap Malaysia sebagai ketua ASEAN tahun ini mungkin sukar untuk dipenuhi.
Salah satu cabarannya ialah kepengerusian ASEAN Malaysia lebih banyak tertumpu kepada sosok kepimpinan Anwar dan bukannya kepada pertubuhan serantau itu.
Sebagai contoh, keputusan peribadi Anwar melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat ASEAN tidak disambut baik di Thailand yang sedang mengalami perpecahan politik.
Malah tindakan Thaksin dalam menangani krisis Myanmar juga tidak memberi kesan positif.

Malaysia turut berdepan dengan satu lagi cabaran iaitu keperluan menyediakan pelan yang kukuh bagi memenuhi harapan ketika perhatian tertumpu kepada masalah-masalah besar yang dihadapi ASEAN.
Perkara tersebut semakin terserlah pada mesyuarat pertama Menteri Luar ASEAN di Langkawi, Kedah pada awal bulan ini.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu memuatkan senarai panjang dan tidak fokus mengenai pengulangan isu-isu yang biasa, merangkumi pelbagai perkara dari peranan ASEAN dalam isu keselamatan serantau dan kerjasama ekonomi hingga tindakan Israel di Gaza.
Kenyataan tersebut mengutarakan mengenai aspirasi yang luas, namun tidak menekankan secukupnya kepada bidang-bidang keutamaan berkaitan tindakan ASEAN.
Dalam masa sama, Malaysia kelihatan tidak bersedia untuk berinteraksi dengan media mengenai rancangan mereka sebagai pengerusi.
Sekiranya Malaysia gagal merangka pelan tindakan tentang matlamatnya bagi ASEAN pada 2025, ia menyebabkan negara itu terlepas peluang penting untuk mengukuhkan blok Asia Tenggara di tengah ketidakpastian geopolitik global dan mendedahkannya kepada kritikan.
Justeru itu, Malaysia perlu segera melakukan beberapa penyesuaian. Berikut langkah-langkah yang perlu diambil Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN;
Pertama, ASEAN perlu bersedia untuk memberikan maklum balas terhadap ancaman kepada ekonomi Asia Tenggara.
Ancaman tarif pentadbiran Presiden Donald Trump di Amerika Syarikat mencetuskan kegelisahan kepada banyak negara di rantau ini.
Tambahan pula banyak negara ASEAN mempunyai defisit perdagangan yang tinggi dengan AS hingga menyebabkan mereka mungkin menjadi sasaran dalam senarai "pemantauan" Trump.
Dalam hal ini, ASEAN perlu mengekalkan kepentingan serantau termasuk perdagangan, aktiviti dan fokus utamanya dengan lebih ketara di tengah keadaan geopolitik yang cenderung mendorong tingkah laku individualistik oleh negara tertentu berbanding membentuk kerjasama.
Keadaan ini memerlukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk menjadikan pertubuhan serantau itu kekal relevan dengan menggalakkan perdagangan multilateral dan mengurangkan potensi gangguan ekonomi.

"Syurga sindiket penipuan"
Di bawah kepengerusian ASEAN Malaysia, Anwar perlu perlu memberikan perhatian segera kepada isu jenayah rentas sempadan memandangkan rantau ini menjadi tumpuan sindiket penipuan dalam talian yang bernilai bilion dolar.
Negara-negara Asia Tenggara masih lagi menafikan tentang betapa seriusnya masalah ini dan mengapa ia perlu segera dibanteras.
Sedangkan negara-negara seperti Myanmar, Kemboja dan Laos menjadi 'lubuk' operasi banyak sindiket penipuan dan pemerdagangan manusia melalui tawaran pekerjaaan palsu melibatkan ribuan mangsa dari negara lain termasuk Malaysia.
Sindiket ini juga memberi kesan buruk terhadap industri pelancongan ASEAN terutamanya dari China.
Media sosial dibanjiri dengan hantaran warga China yang berasa bimbang mereka diculik terutamanya jika melancong ke Kemboja atau Thailand.
Oleh itu, isu sindiket penipuan memerlukan tindakan tegas daripada ASEAN bagi mengelakkan ia semakin sukar untuk ditangani pada masa depan.
Lihatlah apa yang telah berlaku apabila kartel berkuasa di Amerika akibat kegagalan tindakan awal di peringkat serantau.
Persoalan tentang Myanmar
Maklum balas Malaysia terhadap pergolakan di Myanmar pada mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Langkawi baru-baru ini menjadi petunjuk yang membimbangkan bahawa kepimpinan negara ini sebagai Pengerusi ASEAN mungkin tidak berupaya memenuhi harapan menyelesaikan isu tersebut.
Ini kerana kepimpinan Malaysia menunjukkan ketidakfahaman mendalam tentang situasi di Myanmar setelah genap empat tahun rampasan kuasa tentera yang menggulingkan kerajaan dipilih secara demokratik.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila Myanmar turut terjejas ekoran keputusan pentadbiran Trump menghentikan bantuan kemanusiaan.
Meskipun terdapat kenyataan bersama yang menyeru kepada usaha perdamaian dan "pilihan raya yang inklusif", ia tidak mencerminkan realiti sebenar di Myanmar.
Pengerusi-pengerusi ASEAN sebelum ini telah mengukuhkan hubungan dengan junta tentera, meskipun ia telah kehilangan wilayah dan kuasa.
Malaysia turut memberikan petunjuk bahawa ia mungkin akan melakukan langkah yang sama, apabila menegaskan semula konsensus lima perkara yang gagal sebagai rujukan utama dalam hubungan mereka.
Langkah ini menunjukkan kegagalan untuk mengiktiraf kepentingan kedaulatan pelbagai pihak di Myanmar.
Sebenarnya negara anggota ASEAN telah salah memberikan keutamaan kepada tentera Myanmar berbanding kumpulan lain terutamanya Kerajaan Perpaduan Nasional dan kumpulan bersenjata etnik yang menguasai lebih daripada separuh negara itu.
Justeru itu, Malaysia perlu mengubah pendekatannya dengan mengamalkan strategi lebih inklusif di Myanmar dan secara terbuka mengiktiraf serta melibatkan semua pihak utama dalam konflik itu.
Kegagalan untuk berbuat demikian akan membahayakan nyawa dan merosakkan reputasi Malaysia.

Kelestarian ASEAN
Di sebaliknya ketidaktentuan masalah yang melingkari anggota ASEAN khususnya Myanmar, mesyuarat di Langkawi sekurang-kurangnya menjanjikan harapan berdasarkan tema ASEAN 2025 mengenai "kelestarian".
Ini kerana terdapat potensi untuk anggota ASEAN bekerjasama dalam bidang kredit karbon dan penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN yang sangat diperlukan.
Negara-negara ASEAN sangat terdedah kepada kesan perubahan iklim dan Malaysia boleh menerajui usaha untuk menangani cabaran ini.
Secara keseluruhannya, kejayaan kepimpinan Malaysia dalam memimpin ASEAN bergantung kepada sejauh mana kemampuannya untuk meletakkan kepentingan rakyat rantau ini di hadapan dan menetapkan keutamaan yang jelas dengan rancangan praktikal untuk mencapai matlamat tersebut.
Seorang penyelidik bebas, Bridget Welsh merupakan penyelidik kehormat di Institut Penyelidikan Asia Universiti Nottingham Malaysia di Kuala Lumpur dan Felo Bersekutu Kanan Pusat Habibie. Pandangan yang dinyatakan di sini merupakan buah fikiran beliau sendiri dan tidak mencerminkan pendirian Universiti Nottingham Malaysia, Pusat Habibie atau BenarNews.