Perang Ukraine dan kesannya kepada Asia Tenggara

Perkembangan terkini mengenai isu kedaulatan menunjukkan konflik itu mempunyai implikasi penting bagi rantau ini, tulis penganalisis Bridget Welsh.
Komentar oleh Bridget Welsh
2025.02.26
Perang Ukraine dan kesannya kepada Asia Tenggara Seorang wanita menangis di pekarangan tugu peringatan tentera Ukraine yang terkorban di Dataran Kemerdekaan, Kyiv, 24 Februari 2025.
[Efrem Lukatsky/AP]

Minggu ini merupakan ulang tahun ketiga perang Rusia-Ukraine, satu konflik yang tidak diambil peduli oleh masyarakat di Asia Tenggara dengan melabelkannya sebagai “bukan perang kami.”

Banyak pihak di rantau ini melihat perang tersebut sebagai konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Rusia dengan tanpa mengambil kira kesan buruk terhadap Ukraine.

Namun, jika diteliti secara lebih dekat, peperangan itu memberi kesan lebih besar kepada Asia Tenggara terutamanya dengan perkembangan terkini apabila proses damai yang diusahakan telah mengetepikan Ukraine.

Konflik penting bagi Asia Tenggara

Ketika Rusia menyerang Ukraine tiga tahun lalu, negara-negara Asia Tenggara bergelut untuk menangani kesan terhadap keselamatan makanan dan harga gas.

Sebelum perang, hampir satu pertiga daripada import gandum Asia Tenggara dibawa masuk dari Ukraine.

Lebih separuh daripada jumlah import itu jatuh merudum akibat kemusnahan yang disasarkan oleh Rusia terhadap sektor pertanian Ukraine.

Sehingga kini, banyak negara di Asia Tenggara telah mempelbagaikan sumber gas, gandum dan jagung mereka, tetapi masih bergelut untuk mendapatkan baja yang mencukupi sebagai bahan penting dalam sektor pertanian di rantau ini.

Harga kesemua barangan tersebut masih lebih tinggi berbanding sebelum perang.

Malah konflik tersebut terus memberi tekanan kepada harga global disebabkan kekurangan bekalan serta gangguan berterusan dalam rantaian bekalan.

Justeru itu, golongan elit Asia Tenggara menganggap perang Rusia-Ukraine sebagai kebimbangan geopolitik ketiga terpenting bagi mereka iaitu pada kadar 39 peratus, menurut Tinjauan Keadaan Asia Tenggara 2024 oleh Institut ISEAS-Yusof Ishak, selepas isu Gaza dan Laut China Selatan.

Kelompok elit dari tiga negara kecil di rantau ini – Kemboja, Laos dan Vietnam – melaporkan kebimbangan paling tinggi, manakala Singapura, diikuti Filipina, mengambil pendirian paling kuat dalam menyokong Ukraine.

Gesaan ke arah keamanan

Tumpuan Asia Tenggara terhadap perang ini pada mulanya berkisar tentang kesannya terhadap ekonomi, namun dengan perkembangan konflik, perhatian lebih diberikan kepada perlindungan kedaulatan Ukraine, keseimbangan hubungan dengan Rusia, China dan Amerika Syarikat serta usaha mencapai keamanan yang inklusif.

ukraine-2.jpeg
Presiden Indonesia sebelum ini, Joko Widodo berjalan bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin di Istana Kremlin di Moscow, Rusia, 30 Jun 2022. [Ihsan Biro Akhbar, Media dan Informasi Sekretariat Presiden Indonesia]

Sehingga kini, perang Rusia-Ukraine telah meragut hampir satu juta nyawa termasuk lebih 40,000 orang awam, demikian menurut Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR).

Jumlah mangsa perang yang cedera, terutamanya yang diamputasi adalah lebih tinggi sekali gus memberi kesan besar kepada keluarga dan keupayaan mencari mata pencarian.

Perang ini adalah antara yang paling dahsyat dalam abad ke-21, setanding dengan kemusnahan di Gaza, Yaman dan Myanmar.

Meskipun Asia Tenggara mengakui pengaruhnya terhadap perkembangan di Eropah adalah terhad, keadaan itu tidak menghalang pemimpin dan negara di rantau ini untuk memperjuangkan keamanan.

Bekas dan pemimpin semasa Indonesia telah menawarkan diri menjadi perantara bagai konflik itu dan cadangan pelan damai manakala Singapura, Indonesia, Filipina dan Thailand turut serta dalam Sidang Kemuncak Keamanan di Switzerland pada tahun lalu.

ASEAN secara konsisten menyeru agar pertempuran dihentikan dan ia bergerak aktif di peringkat antarabangsa dalam usaha mencapai matlamat tersebut.

Negara-negara Asia Tenggara secara berterusan menyarankan tentang keperluan Rusia dan Ukraine menjadi sebahagian daripada rundingan damai, dengan pengiktirafan tersirat terhadap kedaulatan Ukraine.

Walaupun terdapat perbezaan tentang sejauh mana negara-negara Asia Tenggara bersedia menyokong Ukraine, terutamanya mereka yang mempunyai hubungan lebih rapat dengan Rusia, rantau ini terus menghormati norma antarabangsa berkaitan kedaulatan negara.

Sejarah kolonial di rantau ini memberikan pengajaran pahit tentang bagaimana sempadan negara tidak boleh dibentuk melalui kekerasan.

Asia Tenggara juga mengambil inspirasi daripada pengalamannya di Kemboja, di mana proses damai yang inklusif adalah penting selain usaha damai di Filipina dan Aceh, Indonesia serta proses pembinaan semula di Timor-Leste.

Keamanan yang berkekalan memerlukan penyertaan sosial yang luas, termasuk penglibatan wanita serta menangani legasi jenayah perang. Justeru itu, penyertaan Ukraine dalam rundingan damai adalah penting bagi mencapai resolusi yang mampan.

Dalam hal ini, proses undian di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu ini menunjukkan majoriti negara Asia Tenggara menyokong matlamat untuk mencapai keamanan yang adil dan berkekalan di Ukraine, dengan tiga negara – Brunei, Laos dan Vietnam – mengambil pendirian berkecuali.

ukraine-3.jpeg
Timbalan Menteri Luar Ukraine Mariana Betsa (kiri) berucap pada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sambil diperhatikan Menteri Luar Poland, Radoslaw Sikorski (kanan) di New York, Amerika Syarikat, 24 Februari 2025. [Richard Drew/AP]


Perkembangan membimbangkan

Sementara itu, fokus yang sempit dalam perbincangan mengenai perang Rusia-Ukraine sejak dua minggu lalu tidak menampilkan sesuatu yang boleh memberikan kesan positif dan membantu proses damai.

Malah, tindakan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terhadap Ukraine baru-baru ini telah mencetuskan kebimbangan di Asia Tenggara.

Terdapat empat isu utama yang mendapat perhatian iaitu sikap pentadbiran Trump seolah-olah mengabaikan sekutu lamanya.

Perkara ini jelas dalam undian dalam Majlis Keselamatan PBB pada minggu ini, apabila AS mengambil keputusan menentang sokongan terhadap pengunduran Rusia dari Ukraine.

Melihat kepada kecenderungan Trump terhadap Rusia, perkara ini telah dijangka, namun apa yang menonjol, pertamanya adalah sikap peribadi beliau yang dilihat bermusuhan dengan kepimpinan Ukraine serta menyisihkan negara itu daripada perbincangan peringkat tinggi.

Kedua, penghormatan terhadap kedaulatan Ukraine semakin berkurangan sekali gus mengukuhkan pandangan tentang kemerosotan membimbangkan terhadap nilai norma antarabangsa.

Ketiga, tuntutan terhadap kekayaan mineral yang kritikal di Ukraine. Bagi Asia Tenggara, ia adalah perkara sensitif kerana rantau ini mempunyai banyak deposit mineral dan pertumbuhan ekonomi semakin bergantung kepada bahan itu.

Keempat, menggunakan Ukraine sebagai isyarat untuk menyesuaikan semula hubungan dengan Eropah.

Langkah itu memberi kesan besar kepada rantau ini yang pernah mengalami peperangan akibat persaingan kuasa besar yang membawa kemusnahan kepada masyarakat di Asia Tenggara.

Pola baharu yang muncul iaitu pengkhianatan kepada sekutu, kurangnya penghormatan terhadap kedaulatan, tuntutan dalam satu urusan atau transaksi bersifat paksaan serta hukuman sebagai amaran telah meningkatkan kebimbangan di rantau ini.

Kemunculan order baharu dunia

Tatacara dunia sedang mengalami perubahan dan ia boleh membawa risiko kepada keselamatan Asia Tenggara.

Kesediaan Trump untuk berkompromi dengan kepentingan kuasa hegemoni serantau – Rusia di Ukraine dan China di Asia Tenggara – amat membimbangkan.

Pendekatan “mari kita meterai perjanjian” dalam kalangan kuasa besar yang mengetepikan negara berdaulat lebih kecil boleh memberi implikasi geopolitik yang tidak stabil kepada rantau ini.

ukraine-4.jpeg
Seorang petani Indonesia mengendalikan jentera penuai di sawah padi semasa musim menuai di Lhoknga, wilayah Aceh, 23 Januari 2025. [Chaideer Mahyuddin/AFP]

Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, AS memainkan peranan penting memastikan keamanan dan keselamatan Asia Tenggara, terutamanya dalam melindungi laluan laut.

Di bawah pentadbiran Trump, AS sedang mengolah semula hubungan antarabangsanya di peringkat global termasuk dengan Asia Tenggara.

Penarikan balik bantuan luar bernilai berjuta-juta dolar kepada Myanmar sudah pun memberi isyarat perubahan dalam sokongan terhadap rantau yang lebih demokratik dan stabil.

Bagi kebanyakan orang di Asia Tenggara, perang Rusia-Ukraine mungkin kelihatan jauh. Namun, pada ulang tahun ketiganya, ia lebih dekat daripada yang disangka.

Keputusan terdahulu yang mengabaikan norma antarabangsa boleh menjadikan usaha untuk melindungi norma-norma tersebut di dalam negara lebih sukar.

Bridget Welsh merupakan seorang penyelidik bebas dan felo penyelidik kehormat di Asia Research Institute, Universiti Nottingham Malaysia di Kuala Lumpur serta Felo Kanan Bersekutu di The Habibie Center. Pandangan dalam artikel ini merupakan buah fikiran peribadi beliau dan ia tidak mencerminkan pendirian Universiti Nottingham Malaysia, The Habibie Center atau BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.