Malaysia: Tinjauan Pendapat Perkukuh Kedudukan Kerajaan Baharu Selepas 100 Hari Pertama

Komentar oleh Zachary Abuza
2018.08.20
180820-MY-Abuza-Mahathir620.jpeg Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad menabik seorang pengawal kehormat diraja semasa upacara pembukaan parlimen di Kuala Lumpur, 17 Julai 2018.
[AFP]

Merdeka Center, sebuah badan tinjauan bebas Malaysia, telah mengeluarkan tinjauan pendapatnya berhubung 100 hari pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa. Secara keseluruhan, tinjauan pendapat berhubung kerajaan pimpinan Mahathir Mohamad yang berusia 93 tahun adalah baik, di kawasan pedalaman mahupun bandar, dan dalam kalangan semua kaum. Enam puluh tujuh peratus pemilih mempunyai persepsi positif terhadap kerajaan.

Ketika kerajaan sudah menghampiri tempoh berakhirnya bulan madu, rakyat Malaysia masih melihat negara ini sedang menuju ke haluan yang betul meskipun terdapat kemerosotan sebanyak 9 peratus dalam tinjauan pendapat Merdeka Center.

Tinjauan pendapat itu menunjukan bahawa terdapat keyakinan yang tinggi terhadap keupayaan kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi (60 peratus) dan menguruskan ekonomi (59 peratus). Kesemua ini merupakan angka yang kritikal kerana ekonomi kekal sebagai kebimbangan utama pemilih.

Meskipun Perdana Menteri Mahathir kekal popular, angka tinjauan pendapat peribadi beliau telah merosot daripada 83 kepada 71 peratus. Dan bukan hanya perdana menteri yang memperoleh keyakinan yang tinggi: tujuh daripada lapan menteri utama telah mendapat penarafan kelulusan melebihi 50 peratus.

Lapan puluh dua responden berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14, dan 72 peratus berpuas hati dengan percubaan pentadbiran baharu untuk merubah kerajaan. Enam puluh lima peratus berpuas hati dengan usahanya untuk mengatasi rasuah.

Bagi kerajaan pembangkang pertama yang memperoleh kuasa selepas 61 tahun, kesemua ini adalah angka yang amat positif. Mereka menunjukkan bahawa birokrasi persekutuan telah beralih dengan pantas untuk berkhidmat kepada majikan politik mereka yang baharu, dan tidak lagi bergantung dan/atau takut kepada rangkaian kuasa naungan Barisan Nasional.

Sokongan Orang Melayu Mula Goyah

Bagaimanapun tinjauan pendapat itu turut menimbul beberapa kebimbangan yang seharusnya dipantau, terutama berkaitan isu-isu sensitif kaum dan agama.

Ketika 62 peratus bukan Melayu berpuas hati dengan tindakan kerajaan PH “melindungi kepentingan kaum mereka,” hanya 50 peratus Orang Melayu berpuas hati manakala 44 peratus lagi tidak berpuas hati.

Secara keseluruhan sokongan kepada Mahathir kekal tinggi, namun dalam kalangan etnik Melayu, yang mungkin tidak bersetuju dengan kabinet pelbagai kaum beliau dan gesaannya agar layanan istimewa serta subsidi kepada masyarakat Orang Melayu dihentikan, ia hanyalah sebanyak 61 peratus.  Sokongan kaum India dan China kepada beliau adalah masing-masing 93 dan 83 peratus.

Lebih ketara ialah sokongan kepada Tommy Thomas, peguam negara pertama yang bukan beragama Islam. Pemilihan beliau mencetuskan kontroversi sejak awal lagi, dengan Yang di-Pertuan Agong dilihat tidak begitu rela memberi perkenan kepada pelantikan seorang yang bukan Islam ke jawatan itu. Ketika 67 peratus bukan Melayu menyokong pelantikan Thomas, bagi Orang Melayu, angka itu menjunam kepada 37 peratus; manakala 38 peratus tidak bersetuju dengan pelantikan beliau.

Mengapa Ini Penting

Walaupun gabungan PH  (termasuk Warisan) memenangi pilihan raya umum, mereka melakukannya dengan marjin yang tipis: 121 daripada 222 kerusi parlimen, atau 54.5 peratus.

Bekas gabungan parti pemerintah, Barisan Nasional, memperoleh 79 kerusi, atau 35.6 peratus daripada kerusi parlimen; Bahagian UMNO ialah sebanyak 24.3 peratus.  Parti Islam SeMalaysia memiliki 8 peratus.

UMNO secara jelas kehilangan undi kepada parti baharu Mahathir serta Parti Keadilan Rakyat yang dipimpin Anwar Ibrahim. Namun ia turut kehilangan penyokong kepada PAS, yang menambah bilangan kerusinya daripada 13 kepada 18, lebih baik daripada yang diramalkan.

Apa yang kita boleh lihat dalam UMNO sejak kekalahan teruk mereka pada pilihan raya umum, dari segi kepimpinan baharu mereka, ialah daripada mengambil pendekatan ke arah kepelbagaian kaum seperti yang dicadangkan oleh bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, parti itu sebaliknya menggandakan perpecahan politik berasaskan parti anjuran Najib Razak.

Selain itu terdapat kebimbangan yang jelas dalam kalangan ramai Orang Melayu bahawa Parti Tindakan Demokratik yang didominasi oleh kaum Cina, komponen kedua terbesar dalam gabungan PH, meningkatkan bilangan kerusinya daripada 38 kepada 42, atau 19 peratus daripada kerusi parlimen. Pendek kata, tidak pernah bukan Melayu memiliki kerusi sebanyak itu dalam kerajaan.

Orang Melayu Bimbang Hilang Hak Keistimewaan Mereka

Secara dasarnya masyarakat Orang Melayu bimbang kerajaan akan mula mengambil tindakan untuk menghentikan program yang melindungi kepentingan kaum terbesar di negara itu. Pembangkang Melayu akan cuba menimbulkan perasaan bahawa agama Islam sedang diserang.

UMNO dan PAS, yang secara bersama memperoleh 32.4 peratus kerusi, akan mencari alasan yang sama bagi melindungi hak-hak dan keistimewaan Orang Melayu, dan akan menyerang sebarang percubaan untuk menariknya kembali, atau melemahkan trend meng-Islamkan masyarakat Islam yang semakin meningkat.

Ini meletakkan kerajaan dalam keadaan terikat. Sebagai contoh dalam satu kontroversi baru-baru ini yang berkisar tentang seorang guru agama menikahi seorang gadis berusia 11 tahun dari selatan Thailand, menteri kabinet Dr Wan Azizah, mengecewakan banyak pihak kerana tidak bertindak pantas atau secara lantang mengutuk amalan perkahwinan dengan kanak-kanak. Melayu konservatif telah menemui isu lain yang boleh membawa perpecahan seperti hak-hak LGBTQ, dan golongan itu sedang berusaha memaksa kerajaan tampil untuk mempertahankan mereka.

Perdana Menteri Mahathir telah secara jelas menyatakan bahawa kerajaan kini berada dalam keadaan kewangan yang agak teruk susulan hutang besar akibat rasuah oleh pentadbiran Najib. Sebagai contoh skandal 1MDB sebanyak $4.5 bilion. Ini akan menyebabkan kerajaan terpaksa melakukan pemotongan dalam perbelanjaan dan menghentikan pelbagai subsidi, yang kebanyakannya memberi manfaat kepada masyarakat Orang Melayu.

Ketika ini pembangkang tidak boleh secara efektif mencabar kerajaan berhubung tindakannya menangani ekonomi atau siasatan ke atas 1MDB. Ia mempunyai satu tindakan bagi memenangi semula undi Orang Melayu yang menewaskan pembangkang dalam pilihan raya umum 9 Mei: menggunakan isu perpecahan sosial, memperdalam perpecahan kaum, dan menyebarkan kebimbangan dalam kalangan Orang Melayu bahawa kepentingan mereka tidak dilindungi.

Zachary Abuza adalah profesor di Kolej Perang Nasional di Washington dan pengarang “Forging Peace in Southeast Asia: Insurgencies, Peace Processes, and Reconciliation.” Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan beliau sendiri dan bukan pandangan atau dasar Jabatan Pertahanan AS, Kolej Perang Nasional atau BeritaBenar.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.