Follow us

Tahap Toleransi, Keyakinan Semakin Merosot Di Malaysia

Pakatan pemerintah baru Malaysia berjanji untuk memulihkan keyakinan namun negara itu terperangkap dalam politik yang membawa perpecahan.
Komentar oleh Zachary Abuza
2019-09-16
E-mel
Komen
Share
Penyokong-penyokong bekas pemimpin Malaysia, Anwar Ibrahim, melaungkan slogan semasa perhimpunan pilihan raya di Kuala Lumpur, 6 Mei 2018.
Penyokong-penyokong bekas pemimpin Malaysia, Anwar Ibrahim, melaungkan slogan semasa perhimpunan pilihan raya di Kuala Lumpur, 6 Mei 2018.
[AP]

Kemenangan besar Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 2018 sepatutnya membuka laluan kepada era politik baru di Malaysia. Tidak seperti kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional, Pakatan Harapan yang merangkumi empat parti berusaha untuk menolak identiti jumud berasaskan kaum dan sedia berkongsi kuasa dengan membahagikan jawatan-jawatan dalam kabinet.

Tetapi, satu pakatan politik yang baru telah dibentuk pada hujung minggu lalu dan beberapa kes yang berlaku menunjukkan bahawa Malaysia masih terperangkap dan semakin tenggelam dalam politik sektarian dan etnik yang membawa perpecahan.

Pembangkang membuat percaturan bahawa satu-satunya cara untuk kembali berkuasa adalah dengan menonjolkan kerajaan sekarang sebagai anti-Islam dan mengetepikan kepentingan masyarakat Melayu, yang merupakan 60 peratus daripada 32 juta penduduk di negara itu.

Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang telah memimpin gabungan pemerintah selama 61 tahun sejak kemerdekaan Tanah Melayu, sepatutnya menggunakan peluang tersebut untuk melakukan perubahan dalam parti itu. Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang mengesyorkan supaya perubahan itu dilakukan namun kepimpinan parti itu, yang masih dipegang oleh mereka yang setia dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak, telah menolak keseluruhan cadangan itu.

Kekalahan teruk rakan gabungan UMNO iaitu Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) dalam pilihan raya umum juga menyebabkan parti itu beralih kepada politik berasaskan kaum yang didukung orang Melayu.

UMNO meminggirkan rakan-rakan sekutunya dalam Barisan Nasional dengan membentuk pakatan politik baru dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS),  yang bukan sahaja meraih kemenangan yang jauh lebih baik dalam pilihan raya 2018 apabila memenangi 18 daripada 222 kerusi (8 peratus) malah dapat menguasai dua daripada 13 kerajaan negeri di Malaysia. Tarikh 13 hingga 14 September menyaksikan mesyuarat rasmi pertama bagi menyempurnakan "perkahwinan" antara kedua-dua parti orang Melayu itu, yang sebelum ini saling bermusuhan.

Walaupun Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa "UMNO dan PAS akan memastikan kerjasama itu tidak akan memisahkan, meminggirkan atau memusuhi kaum atau agama lain di negara tercinta ini" namun, UMNO jelas tidak lagi cuba berusaha untuk mencari jalan tengah dengan merayu kepada parti-parti Barisan Nasional. Sekarang, UMNO boleh meningkatkan lagi dasar-dasar yang memihak kepada orang Melayu dengan adanya sokongan PAS.

Secara ideologinya, PAS akan menjadi pelaksana agenda. Dan, dari segi politik, PAS mempunyai rangkaian akar umbi yang sangat kuat sedangkan UMNO terbukti lemah berikutan kekalahan dalam pilihan raya umum 2018. Jentera politik UMNO memerlukan banyak wang tunai manakala jentera PAS tidak memerlukannya.

Mainkan isu kaum dan agama


Teras strategi UMNO-PAS adalah dengan menampilkan kerajaan Pakatan Harapan sebagai anti-Islam dan mengetepikan kepentingan majoriti Melayu.

Mereka telah melakukan pelbagai perkara bagi menggambarkan bahawa kerajaan sekarang tidak lagi mengutamakan pembangunan Islam. Pertama, mereka menyasarkan peguam negara, Tommy Thomas, dengan alasan bahawa seorang bukan Islam tidak boleh mengetuai badan kehakiman termasuk sistem kehakiman syariah.

Kedua, mereka cuba memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah dengan membawa kes-kes ke mahkamah itu, atau dengan meyakinkan mahkamah sekular untuk menangguhkan penghakiman bagi isu-isu yang mungkin mempunyai komponen syariah. Dan yang lebih penting lagi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berusaha memusatkan kuasa pentadbiran mahkamah syariah, dan tidak lagi meletakkannya di bawah kuasa kerajaan negeri.

Ketiga, Jakim telah melancarkan serangan terhadap pengikut minoriti Syiah, dan dalam satu kes yang didokumenkan baru-baru ini, pihak berkuasa agama di Selangor telah mengarahkan supaya khutbah di masjid-masjid yang di bawah pentadbiran kerajaan negeri itu supaya menyasarkan kritikan terhadap fahaman Syiah.

Tiga puluh pengikut fahaman Syiah baru-baru ini ditahan di Johor dan Selangor semasa Hari Asyura, iaitu perayaan yang disambut para pengikut Syiah. Walaupun kesemua mereka dibebaskan, kerajaan menganggap fahaman Syiah sebagai "ajaran sesat" dan mengharamkannya mengikut undang-undang. Ini mewujudkan duluan yang membahayakan bagi kaum minoriti yang lain.

Walaupun Jakim adalah sebuah jabatan kerajaan namun kerajaan Pakatan Harapan dilihat tidak mengawalnya. Dengan kebanyakan agensi kerajaan terpaksa menjaga atau mengurangkan belanjawan masing-masing dengan ketat, Jakim sebaliknya dilihat semakin berkembang. Kelonggaran fiskal memberikan kelebihan kepada pihak berkuasa agama itu.

Dalam banyak kes, UMNO dan PAS dilihat cuba memaksa kerajaan supaya menerima pakai dasar-dasarnya dengan menjadikannya sebagai isu.

Contoh yang paling ketara adalah kes pendakwah radikal Zakir Naik. Zakir merupakan pelarian dari India di mana beliau dikehendaki bagi pertuduhan pengubahan wang haram dan menyampaikan ceramah yang membangkitkan kebencian. Beliau telah diberi taraf pemastautin tetap di Malaysia. Zakir jelas melanggar undang-undang Malaysia apabila mencetuskan hasutan yang menimbulkan ketegangan etnik terutamanya dengan merujuk orang Cina Malaysia sebagai "tetamu."

Kerajaan menolak untuk mengekstradisi pendakwah itu kerana bimbang dengan tindak balas daripada umat Islam dan cauvinis Melayu. Pendakwah radikal itu kini diharamkan daripada menyampaikan ceramah. Namun, beliau terus diberi layanan istimewa bak bintang ternama. Dengan tidak menahan atau mengekstradisi beliau, kerajaan dilihat seolah-olah menerima apa sahaja hasutan berterusan pendakwah itu.

Umat Islam juga melancarkan kempen-kempen dalam talian supaya memboikot produk yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat bukan Islam, walaupun mereka mempunyai pensijilan halal. Perdana Menteri Mahathir Mohamad menolak perlakuan itu tetapi tidak dapat menghentikan perbuatan boikot itu.

Lingkaran ganas

Selain isu-isu sektarian, UMNO dan PAS menuduh kerajaan Pakatan Harapan mengetepikan kepentingan golongan minoriti dengan menjejaskan masyarakat Melayu.

Kritikan demi kritikan juga terus dibuat terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng, etnik Cina pertama yang menyandang jawatan itu selepas 44 tahun. Walaupun Lim mengetuai perbincangan semula bagi projek-projek di bawah Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan yang sebelum itu dirundingkan oleh pentadbiran Najib, Lim dan kebanyakan anggota Parti Tindakan Demokrat (DAP) masih digambarkan sebagai hanya mengutamakan kepentingan Cina.

Serangan sedemikian akan terus berlaku. Dari segi ekonomi, China terlalu penting buat Malaysia. Walaupun Singapura kekal sebagai rakan ekonomi terbesar Malaysia, China adalah rakan dagangan terbesar dan sumber utama modal dan pelaburan bagi negara itu. Dan, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan mahu dipilih semula, ia perlu merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Terdapat satu lingkaran yang ganas: sekiranya kerajaan tidak dapat mengembangkan pertumbuhan ekonomi, ia mungkin terpaksa menghentikan subsidi yang menjadi penggantungan masyarakat Melayu sejak sekian lama. Ini kelak akan menyebabkan pengundi Melayu menuduh Pakatan Harapan menarik balik hak istimewa masyarakat Melayu, dan kembali menyokong UMNO atau PAS dalam pilihan raya akan datang.

UMNO dan PAS jelas mengambil kesempatan daripada konflik dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dianggotai pelbagai etnik, yang menerima banyak undi Melayu pada pilihan raya 2018. Walaupun persaingan berhubung penggantian bagi jawatan tertinggi antara Anwar Ibrahim dan Azmin Ali sudah reda, ia telah memecahbelahkan dan menyakiti ahli-ahli parti terbesar dalam pakatan pemerintah itu.

Sikap tidak bertoleransi, yang sentiasa dibangkitkan di Malaysia, mungkin dijadikan senjata kerana ia adalah satu-satunya laluan bagi UMNO dan PAS untuk mendapatkan kuasa. Kerajaan Pakatan Harapan ditubuhkan dengan hanya menerima 30 peratus sokongan daripada etnik Melayu, dan jumlah itulah yang tekad dirampas oleh UMNO dan PAS. Ia adalah helah licik yang sinis namun percaturannya dilihat boleh terus meningkat menjelang pilihan raya umum berikutnya pada 2023.

Zachary Abuza adalah seorang profesor di Kolej Perang Nasional di Washington dan merupakan pengarang “Forging Peace in Southeast Asia: Insurgencies, Peace Processes, and Reconciliation.”  Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangannya sendiri dan bukannya pendapat atau dasar Jabatan Pertahanan A.S, Kolej Perang Nasional atau BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh