Kekalutan Politik Malaysia Tumbangkan Pakatan Harapan

Komentar oleh Zachary Abuza
2020.03.03
200303-MY-abuza-620.jpg Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin menandatangani surat pelantikan selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur, 1 Mac 2020.
[Jabatan Penerangan Malaysia melalui AP]

Percaturan kuasa Melayu, yang menyebabkan berkuburnya kerajaan reformis Pakatan Harapan selepas berkuasa hanya 22 bulan, mengancam hak asasi manusia, demokrasi, dan tadbir urus yang baik di Malaysia yang mempunyai rakyat pelbagai kaum.

Kerajaan yang mengambil alih kuasa pada 1 Mac dikuasai oleh parti-parti yang percaya kepada ketuanan majoriti Muslim Melayu. Ahli-ahli politik dari parti-parti dalam blok pemerintah baru ini berpendapat bahawa Pakatan Harapan (Perikatan Harapan) memberi terlalu banyak kuasa kepada minoriti negara itu melalui pelantikan jawatan utama kabinet dan berusaha mengurangkan keistimewaan kaum Melayu, yang sejak beberapa dekad lalu menikmati manfaat daripada program tindakan dan kuota afirmatif.

Kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang baru mengangkat sumpah jawatan, juga menempatkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang konservatif dalam tampuk kuasa, di mana ia boleh mempengaruhi dasar awam.

Pada 23 Feb, Azmin Ali, yang menganggotai blok Pakatan Harapan yang memerintah, mengadakan pertemuan dengan para pemimpin politik Melayu dalam pembangkang dan kerajaan. Tidak dijemput adalah seterunya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim, yang telah dinamakan untuk menggantikan Mahathir Mohamad, 94, sebagai perdana menteri.

Azmin Ali menemui para pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang dibebani dengan pertuduhan rasuah, sekutu UMNO iaitu parti Islam PAS, kumpulan yang menyokong Mahathir dan Muhyiddin dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), serta beberapa parti di negeri Borneo yang menyokong Pakatan Harapan.

Mahathir enggan menyertai mereka dengan alasan tidak mahu bekerjasama dengan UMNO. Perdana Menetri itu seterusnya bertindak dengan meletak jawatan, yang menyebabkan pihak yang bersaing berusaha memburu sokongan sekurang-kurangnya 112 kerusi yang diperlukan untuk membentuk gabungan pemerintah, sepanjang seminggu semasa kemelut itu berlaku.

Meskipun Mahathir dan Anwar bersetuju untuk bekerjasama pada hari-hari terakhir krisis tersebut dan mendakwa menerima sokongan 114 Ahli Parlimen, Yang di-Pertuan Agong Malaysia – tidak memihak kepada Mahathir – apabila melantik Muhyiddin Yassin untuk membentuk kerajaan.

Perebutan kuasa ‘pintu belakang itu’ membangkitkan kemarahan pengundi. Manifesto Pakatan Harapan mengandungi tarikan mencukupi untuk membolehkannya mengetepikan gabungan parti yang telah memerintah selama 61 tahun. Pakatan Harapan memperoleh mandat pilihan raya yang jelas dengan mendapat 5.5 juta undi atau 45 peratus daripada pengundi.

Walaupun UMNO dapat kembali memenangi lima pilihan raya kecil sejak 2018, para penyokong Pakatan Harapan kini mempunyai sebab untuk merasakan bahawa mereka kehilangan kuasa melalui ‘perjanjian pintu belakang’.

UMNO kembali berkuasa

Kerajaan Perikatan Nasional yang diketuai Muhyiddin mungkin berkuasa dalam tempoh singkat. Jika Pakatan Harapan memperoleh sekurang-kurangnya 112 undi seperti yang didakwanya, pakatan itu mampu menyingkirkan Muhyiddin melalui undi tidak percaya.

Walaupun Muhyiddin dapat mengekalkan kuasa, beliau akan mempunyai majoriti tipis di Parlimen dan akan mengetuai gabungan pembangkang merangkumi mereka yang keluar daripada PKR serta Bersatu, UMNO, PAS dan parti bumiputera dari Sabah dan Sarawak.

Meskipun berperanan sebagai rakan dalam perikatan itu, parti-parti berkenaan saling bersaing untuk mendapatkan undi Melayu, yang membentuk 60 peratus daripada 31.6 juta penduduk di Malaysia. Keadaan itu sangat berbeza berbanding dengan parti-parti yang membentuk pakatan pelbagai kaum.

Percaturan Ahli-ahli Parlimen itu, yang mengangkat Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan Malaysia, membawa UMNO yang diaibkan dan terpalit rasuah kembali ke kancah kuasa.

Ia menyebabkan Tommy Thomas yang dihormati ramai meletak jawatan sebagai peguam negara. Sebaliknya, ini juga berpotensi mengakhiri pendakwaan bekas Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor, yang kini dibicarakan secara berasingan kerana dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan penyelewengan berbilion dolar AS dari dana kerajaan, 1MDB. Najib sendiri menghadapi 42 pertuduhan berasingan.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, pula sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan menghadapi 87 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa, pengubahan wang haram, dan pecah amanah. Ramai menjangka pertuduhan tersebut akan digugurkan jika Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin terus berkuasa. Dalam menunjukkan keingkaran yang mengejutkan, Ahmad Zahid gagal menghadiri kes mahkamahnya pada Isnin.

Parti Islam berkongsi kuasa

Parti Islam PAS kini diberi kuasa sebagai parti gabungan dalam kerajaan baru itu. Dalam setahun kerjasamanya dengan UMNO, PAS memacu ideologi tersebut. Dengan mempunyai 18 kerusi Dewan Rakyat, PAS mempunyai kira-kira 15 hingga 16 peratus kuasa dalam perikatan pemerintah.

PAS akan membuat tuntutan semaksimumnya dalam meneruskan agenda Islam yang diperjuangkannya. Dan, parti itu tidak akan berkompromi dalam melaksanakan agendanya. Tidak harus dilupakan juga bagaimana menjelang pilihan raya umum 2018, PAS sanggup mengetepikan kerjasamanya dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang didominasi kaum Cina dan PKR, demi memperjuangkan rang undang-undang hudud.

Sejak UMNO menjalinkan kerjasama dengan PAS selepas berakhirnya pilihan raya, parti itu telah mengetepikan rakan gabungannya iaitu Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) yang turut kecundang pada pilihan raya 2018 dan hanya mampu memenangi 3 kerusi. UMNO kini memilih strategi berdasarkan ketuanan Melayu. Ia tidak lagi berusaha melindungi hak-hak dan keistimewaan kaum minoriti di negara itu,

Para pemimpin parti-parti utama Melayu dalam kerajaan baru menyalahkan Pakatan Harapan kerana memberikan terlalu banyak kuasa kepada etnik minoriti Cina dan India dengan memberi mereka jawatan utama.

Secara khususnya, mereka berang kerana Mahathir melantik Tommy Thomas, seorang bukan Islam, sebagai peguam negara, yang memberikannya kuasa untuk memantau sistem mahkamah syariah di negara itu.

Mereka turut bimbang jika Lim Guan Eng, yang memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan, akan menggunakan kedudukannya untuk menarik balik subsidi dan keistimewaan majoriti rakyat Malaysia - kebanyakannya orang Melayu – yang dinikmati sejak sekian lama.

Perikatan Melayu yang pertama itu adalah tidak bagus buat minoriti negara itu. Jelas sekali bahawa fanatik agama seperti ulama televisyen Zakir Naik akan mempunyai lebih bebas dalam menggesa pelaksanaan dasar-dasar yang boleh memberi kesan kepada agama minoriti.

Kerajaan baru juga tidak membazirkan masa untuk menghukum musuh politik, masyarakat dan wartawan yang sejak pilihan raya 2018 menggunakan kebebasan mereka untuk mendedahkan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa oleh bekas pemimpin UMNO.

Kerajaan Muhyiddin telah membuka kertas siasatan terhadap dua pemimpin masyarakat, Marina Mahathir dan Ambiga Sreenevasan, kerana mengadakan protes jalanan. Pihak berkuasa juga menjalankan siasatan atas dakwaan menghasut terhadap peguam Fadiah Nadwa Fikri yang turut mengadakan protes jalanan.

Kembali menjadi pembangkang

Adalah sukar untuk memperjelaskan apa yang menyebabkan kejatuhan Pakatan Harapan dan apa pula yang dijanjikan oleh Perikatan Nasional, yang bangkit secara mendadak.

Kerajaan yang merangkumi parti-parti yang menonjolkan gagasan ketuanan Melayu hanya akan memburukkan lagi hubungan antara kaum selain memberi peranan penting kepada parti Islam untuk membentuk dasar awam. Ia membawa masuk semula elit yang telah dipinggirkan dan terbabit rasuah ke kancah kuasa, dengan kembali kepada masa tanpa kebertanggungawaban yang menyasarkan masyarakat madani dan media.

Sekalipun Pakatan Harapan mampu melawan dan merampas semula kerajaan, perkembangan membingungkan yang berlaku dalam masa enam hari antara peletakan jawatan Mahathir dan pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri telah menunjukkan betapa rapuhnya dan tidak menentunya demokrasi di Malaysia.

Segelintir ahli politik turut menunjukkan bahawa tindakan memperkayakan  diri sendiri, mementingkan diri sendiri serta usaha mendapatkan kuasa, boleh mengatasi segalanya.


Zachary Abuza adalah profesor di Kolej Perang Nasional di Washington dan merupakan pengarang “Forging Peace in Southeast Asia: Insurgencies, Peace Processes, and Reconciliation.”  Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pendapat beliau sendiri dan bukannya pendapat atau dasar Jabatan Pertahanan A.S, Kolej Perang Nasional atau BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.