Dendam Pemimpin Lama

Banyak pihak di Malaysia dan Thailand mahukan perubahan tetapi elit politik tradisional terus menerus menolak untuk berbuat demikian.
Komentari oleh Zachary Abuza
2022.07.28
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Dendam Pemimpin Lama Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob mengangkat tangan tanda hormat terhadap Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha sejurus tiba di Rumah Kerajaan di Bangkok, Thailand 25 Feb. 2022.
[Jack Taylor/AFP]

Malaysia dan Thailand mengalami kesan ekonomi yang teruk khususnya akibat pandemik.

Namun, dalam tempoh 3 hingga 4 tahun yang lalu, politik di kedua-dua negara itu menjadi lebih bersasar yang memberikan sedikit harapan bahawa dasar-dasar baharu dapat menangani cabaran ekonomi pasca-pandemik, ketidaksamaan yang semakin meningkat dan keupayaan untuk menghadapi jurang sosial yang mendalam.

Di Thailand dan Malaysia, pilihan raya umum mesti diadakan masing-masing pada Mac 2023 dan September 2023.

Di kedua-dua negara itu juga wujudnya keinginan ketara untuk melakukan perubahan. Ada pihak progresif yang berusaha mengubah secara radikal sistem politik dan ekonomi negara mereka. Namun, di kedua-dua negara itu terdapat elit politik tradisional yang gigih berusaha untuk melemahkan dan meminggirkan suara progresif.

Thailand

Pilihan raya gabenor di Bangkok pada Mei 2022 menunjukkan pemilihan yang jelas terhadap calon-calon progresif terutamanya dalam kalangan kelas pertengahan bandar, yang sudah bosan dengan ketidakcekapan kerajaan disokong tentera dalam mengendalikan ekonomi negara. Calon penyandang yang disokong tentera itu di kedudukan corot iaitu di tempat kelima yang ternyata memalukan.

Perdana Menteri Prayuth dan 10 anggota kabinetnya telah terselamat daripada undi tidak percaya kali keempat sejak 2019, dengan memperoleh margin yang selesa dalam majoriti pilihan raya. Tetapi, langkah itu dilihat bertujuan untuk membinasakan Perdana Menteri tidak popular itu serta rakan-rakan gabungannya menjelang pilihan raya 2023.

Satu sasaran khusus undi tidak percaya ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Anutin Charnvirakul. Anutin mengetuai parti Bhumjaithai yang mempunyai 51 kerusi (10 peratus) di Parlimen dan merupakan rakan gabungan utama Palang Pracharat (PPRP) yang disokong tentera. Bhumjaithai berada dalam kedudukan yang agak lemah menjelang pilihan raya. Pembangkang pula dilihat menumpukan usaha dengan mensasarkan rakan-rakan gabungan kerajaan yang lebih lemah.

Dalam satu tinjauan pendapat umum baru-baru ini, anak perempuan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang berusia 35 tahun telah mengatasi Perdana Menteri dengan kelebihan undi yang ketara. Dalam tinjauan yang sama, parti pembangkang Pheu Thai menerima 36 peratus sokongan diikuti oleh Parti Move Forward (18 peratus). Penyandang dari PPRP hanya memperoleh sokongan mengecewakan yang sekadar 7 peratus.

220728-MY-Abuza-Komentari1.jpg
Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha (kanan) bercakap dengan Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan selepas undi tidak percaya terhadap beliau telah ditewaskan di Parlimen Bangkok, Thailand, 23 Julai 2022. [Sakchai Lalit/AP]

Adalah tidak jelas sama ada Perdana Menteri Prayuth akan diberi peluang memimpin bagi tempoh satu penggal lagi, walaupun beliau sebenarnya sedang berusaha ke arah itu. Rakan-rakan gabungannya, yang ada ketikanya, cuba menjauhkan diri daripada beliau berikutan kegagalannya menguruskan ekonomi selain kedudukannya yang tidak popular.

Beliau sudahpun menyaksikan pembelotan 16 ahli PPRP yang diterajuinya. Seorang lagi pemimpin rampasan kuasa, Prawit Wongwusan, baru-baru ini meletakkan semua beban tindakan rampasan kuasa itu ke atas Prayuth sahaja.

Rakan gabungan Perdana Menteri itu melihatnya sebagai liabiliti pilihan raya namun PPRP dilihat tidak dapat menghasilkan alternatif yang lebih berdaya maju, berkarisma dan popular.

Pihak tentera juga menikmati pelbagai kelebihan pilihan raya termasuk pelantikan senat hanya untuk mengundi perdana menteri; sistem senarai parti yang langsung tidak difahami oleh sesiapapun; perbuatan gerimander; pembahagian undi secara salah; mewujudkan pelbagai undang-undang untuk mengekalkan kedudukan pembangkang; dan suruhanjaya pilihan raya yang dikawal rapi.

Secara khususnya, kerajaan terus menjadikan Perkara 112 atau undang-undang anti-hina kerabat diraja sebagai senjata utamanya, dengan baru-baru ini mendakwa pemimpin Parti Move Forward, Piyabutr Saengkanokkul, kerana menghina raja.

Pemimpin-pemimpin berkarisma pembangkang turut berdepan cabaran undang-undang dan pertuduhan jenayah menjelang pilihan raya. Ini dapat dilihat daripada cara Thanathorn Juangroongruangki dari Move Forwards dineutralkan secara politik selepas menubuhkan parti itu dan memenangi bilangan kerusi ketiga terbesar pada 2019.

Pihak berkuasa Thailand telah mengakui bahawa ia menggunakan perisian pengawasan yang canggih untuk menyasarkan pembangkang yang demokratik. Pada masa yang sama, penggubal undang-undang terus mendesak supaya diluluskan rang undang-undang NGO yang amat ketat walaupun adanya tentangan pembangkang.

Malaysia

Pada Pilihan Raya Umum Malaysia 2018, rakyat yang bengang dengan amalan rasuah dan politik berasaskan kaum tradisi telah menyebabkan kerajaan gabungan yang diterajui pimpinan parti Melayu Barisan Nasional ditumbangkan buat pertama kalinya dalam tempoh 61 tahun. Terdapat segumpal harapan bahawa Malaysia akan bergerak melangkaui politik identiti dan menerima parti-parti politik yang tidak lagi dikenal pasti mengikut kaum.

Namun, harapan itu tidak berpanjangan. Pada Februari 2020, parti-parti berasaskan Melayu sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang yang dimalukan kerana hanya seketika menerajui kerajaan, telah melakukan rampasan kuasa politik dan membentuk pakatan pemerintah sekali gus menolak kehendak pengundi.

Kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob pula dilihat sebagai gabungan lemah dalam persaingan kepentingan dengan setiap parti berusaha mendapatkan bahagian yang sama daripada pengundi.

Perdana Menteri Ismail Sabri merupakan pemimpin yang sanggup berkompromi namun beliau hanya mempunyai asas sokongan yang kecil, dan cabaran terbesar beliau datangnya daripada kalangan elit UMNO yang korup dan tidak berwibawa, yang kini kembali berkuasa.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak telah disabitkan bersalah dalam kes berkaitan anak syarikat dana negara, 1MDB, yang sarat dengan skandal. Namun, beliau terus berusaha untuk kembali mendapatkan pengaruh. Rayuan terakhirnya bagi kes berkenaan dijadualkan pada pertengahan Ogos ini, dengan wujudnya persoalan sekiranya sabitan beliau dikekalkan, apakah beliau benar-benar akan menjalani hukuman itu.

220728-MY-Abuza-Komentari2.jpg

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk keputusan perbicaraan kes rasuah pertamanya yang berkaitan dengan skandal kewangan melibatkan anak syarikat 1MDB, SRC International, 28 Julai 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pemimpin lama yang berpengaruh dalam UMNO, secara khususnya telah memulakan gerakan untuk melemahkan badan kehakiman. Hakim yang mensabitkan bekas Perdana Menteri Najib turut dibicarakan kerana rasuah. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang menjadi senjata sasaran terhadap para pesaing politik, telah mendorong kalangan peguam negara itu mengadakan mogok kerana mereka menganggap perkara itu sebagai serangan terhadap kebebasan badan kehakiman negara.

Cauvinisme dan sikap tidak bertolak ansur orang Melayu juga semakin meningkat apabila parti-parti gabungan yang memerintah cuba memberi sokongan kepada pengundi Melayu. Mengambinghitamkan golongan minoriti biasanya menjadi resipi kejayaan kempen ahli-ahli politik Melayu. Dua pelawak telah ditahan apabila kerajaan tidak lagi boleh menerima kritikan. Sementara itu, pihak polis turut mengelak akauntabiliti daripada media.

Dengan Perdana Menteri Ismail Saabri kebimbangan dalam menghadapi serangan dari dalam gabungan parti-parti pemerintah dan cabaran kepimpinan pemimpin UMNO Ahmad Zahid dan Najib, nampaknya beliau tidak perlu khuatir mengenai cabaran daripada pembangkang.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri menghadapi cabaran kepimpinan dan pertelingkahan dalaman. Bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim enggan menyerahkan baton kepada generasi pemimpin baharu menyebabkan keretakan dalam parti pembangkang itu. Ini merupakan keadaan yang amat berbeza berbanding ketika 2018 apabila ia merupakan satu-satunya parti yang memperoleh undi terbesar di Parlimen.

Walaupun Parti Tindakan Demokratik (DAP) kekal kuat dan utuh serta mempunyai pemimpin muda berkarisma seperti Loke Siew Fook (Anthony Loke), yang sering menjadi calon yang menarik, kuat, cekap dan bersih, namun parti pembangkang itu sentiasa berdepan dengan batasan pilihan raya kerana umum mempersoalkan apa yang mampu dicapai oleh parti etnik Cina itu di peringkat nasional.

Dengan pembangkang kini dalam keadaan kucar-kacir, Najib, Zahid, dan beberapa pemimpin lama UMNO mengesan sasaran yang boleh diserang dan mendesak supaya diadakan pilihan raya umum lebih awal - seawal penghujung tahun ini - dengan harapan dapat keluar daripada jerat perundangan yang kini mengikat mereka. Ismail Sabri nampaknya berhasrat menangguhkan pilihan raya berkemungkinan sehinggalah ke tempoh akhirnya, namun tiada kepastian sama ada beliau atau pemimpin lama bermasalah itu yang akan menyandang jawatan utama parti.

Pentingkah?

Pemimpin lama yang berpengaruh itu terus berusaha dan sanggup menggunakan semua cara yang mereka mampu untuk mendapatkan kuasa yang diingini.

Di Thailand, terdapat kemungkinan besar protes ganas akan diteruskan di Bangkok sekiranya kehendak rakyat sekali lagi dihalang, seperti jangkaan ramai.

Di Malaysia, kurangnya kebimbangan mengenai keganasan politik di jalanan tetapi demonstrasi mengenai kenaikan harga makanan dan inflasi masih berterusan dan ini boleh berubah menjadi gerakan anti-kerajaan yang lebih besar.

Dalam kedua-dua keadaan ini, kembalinya pemimpin lama yang berpengaruh boleh menyebabkan dua negara berjiran itu kembali kepada masa di mana mereka perlu melaksana reformasi politik dan ekonomi yang amat bermakna buat supaya mereka kekal berdaya saing.

Zachary Abuza ialah profesor di National War College dan profesor adjung di Georgetown University di Washington. Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pendapatnya sendiri dan tidak mewakili pendirian Jabatan Pertahanan AS, National War College, Georgetown University atau BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.