Bangkitnya 'gelombang hijau' di Malaysia

Parti Islam Se-Malaysia berada dalam gabungan yang kalah pada pilihan raya umum 19 November lalu namun, ia mencipta kemenangan besar dalam cara yang lain.
Komentar oleh Zachary Abuza
2022.11.28
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Bangkitnya 'gelombang hijau' di Malaysia Seorang bapa mendukung anak lelakinya yang memegang bendera Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ketika beliau berkempen untuk gabungan parti politik PAS, Perikatan Nasional, di Permatang Pauh, Pulau Pinang, Malaysia, 18 Nov. 2022.
[Hasnoor Hussain/Reuters]

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengetuai “kerajaan perpaduan” baharu di Malaysia melalui gabungan pelbagai etnik yang menyatukan blok Pakatan Harapan yang diterajuinya, Barisan Nasional yang disaingi sejak sekian lama serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Sejak Yang di-Pertuan Agong melantiknya sebagai perdana Menteri bagi menamatkan kebuntuan susulan keputusan pilihan raya umum itu, tajuk-tajuk utama memberi tumpuan kepada ranjau sepanjang 24 tahun yang telah ditempuhi Anwar dalam usaha menyandang jawatan tertinggi kerajaan, atau mengenai rapuhnya gabungan pemerintahan yang diketuainya itu bagi mentadbir Malaysia yang berpecah-belah.

Tetapi, kisah sebenar daripada pilihan raya umum itu adalah mengenai kebangkitan gelombang hijau – kemenangan kerusi Parlimen oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Ia memenangi bilangan kerusi terbanyak antara semua parti yang bertanding pada pilihan raya umum pada 19 November lalu, menjadikannya parti tunggal terbesar dalam Parlimen.

Memandangkan PAS bertanding sebagai sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional yang tewas menentang Pakatan Harapan, parti berasaskan agama yang konservatif itu tidak dapat membentuk dasar awam secara langsung di bawah kerajaan baharu itu tetapi ia pasti dapat bersuara dengan gah dan tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai parti pinggiran atau parti wilayah sahaja.

Setelah memperoleh jumlah terbesar kerusi Parlimen, PAS kini menjadi pemegang suara bagi majoriti penduduk Melayu. PAS telah beralih daripada parti yang mempunyai pangkalan kuasa di kawasan-kawasan luar bandar dan pantai timur yang konservatif, kepada parti nasional yang mempunyai hubungan mendalam dengan kelas pertengahan bandar dan anak muda Malaysia.

Ia mewakili satu aliran dalam politik Melayu dan merupakan bukti peningkatan kepada agama dan sikap tidak bertoleransi di negara itu.

Bagaimana PAS melakukannya

Pada pilihan raya umum itu, PAS memperoleh kemenangan besar di Parlimen dengan mengalahkan setiap parti lain yang bersaing untuk mendapatkan undi penting etnik Melayu.

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang sejak sekian lama menjadi suara keramat politik Melayu, kini diketepikan.

Pilihan raya itu umum itu menjadi bukti kepada penolakan menyeluruh terhadap kepimpinan parti yang korup dan dicemari dengan skandal itu, selain politik cara lama. Ini menjadikan peranan UMNO dalam membentuk pakatan pemerintahan baharu menjadi lebih perit.

Calon yang tidak dikenali dalam PAS telah mengalahkan wakil-wakil rakyat yang berpengalaman.

Ini amat ketara dan dapat disaksikan menerusi kekalahan Nurul Izzah, anak perempuan Anwar, yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen sejak 2008.

PAS menguasai kawasan-kawasan Melayu dengan menyapu bersih kerusi-kerusi di kubu kuat UMNO di Kelantan dan Terengganu. Malah, parti Islam itu memperoleh kemenangan besar termasuk di Kedah dan Pahang serta tempat lain.

Prestasi menakjubkan PAS itu ternyata berbeza daripada jangkaan sebelum pilihan raya. Jadi, bagaimana parti itu mengemudi kebangkitan gelombang hijau ini?

Satu perkara yang amat ketara ialah pengundi sudah bosan dengan UMNO, yang terpalit rasuah, kerana telah lama mengambil mudah terhadap sokongan Melayu.

Kedua, menurut analisis awal, PAS memperoleh keyakinan yang amat baik daripada kalangan pengundi paling muda. Pilihan raya ini menyaksikan umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun, yang menyebabkan pertambahan 1.4 juta pengundi baharu dalam daftar pemilih.

PAS telah berdekad lamanya berusaha untuk keluar melangkaui kawasan-kawasan pedalaman Melayu, dan menjadikan Islam konservatif sebagai aliran arus perdana. Ia berjaya menarik kalangan masyarakat kelas pertengahan bandar yang meluat dengan rasuah yang menjadi endemik negara serta kalangan profesional bandar yang menjadikan agama sebagai sebahagian daripada identiti mereka.

221128-MY-Abuza-Inside.jpg

Abdul Hadi Awang, pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (lima dari kiri), menjulang tangan bersama-sama dengan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin (empat dari kiri) dan pemimpin lain daripada gabungan itu pada sidang media di Shah Alam, Selangor, Malaysia, 20 Nov. , 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Malah, PAS berjaya menambat hati sekumpulan besar anak muda negara menerusi kempen-kempen media sosial yang hebat.

Mereka berusaha bersungguh-sungguh dengan mengadakan program-program dakwah di sekolah-sekolah. Terkenal dengan “Ustaz TikTok” mereka, PAS telah menyemai benih undi anak-anak muda yang ternyata berbeza daripada parti lain. Dan, ia telah mengambil kesempatan daripada konservatisme agama dalam kalangan anak muda Malaysia yang telah berkembang sejak bertahun-tahun lalu.

Ketiga, PAS masa kini mengamalkan agenda yang mengutamakan Melayu serta menyamakan agama dengan kaum, sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini di mana ia memberi tumpuan kepada pelaksanaan undang-undang Syariah.

Keempat, PAS dan Bersatu, rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional, melancarkan kempen keras dan berunsurkan perkauman yang menyasarkan kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang didominasi etnik Cina.

Kempen itu penuh dengan cemuhan kaum, menimbulkan ketakutan dan berbaur kebencian. Memandangkan ekonomi bergerak perlahan untuk keluar daripada kemelesetan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19, orang ramai mencari ‘kambing hitam’.

Kelima, PAS berjaya memanfaatkan jurang pemisah luar bandar dan bandar.

Orang Melayu bandar yang progresif, yang mengundi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar dan Pakatan Harapan, cenderung bersikap merendah diri terhadap pengundi Melayu luar bandar. Pakatan Harapan tidak mempunyai apa-apa untuk ditawarkan kepada Melayu luar bandar dari segi dasar atau nilai. Ini berbeza dengan PAS, yang mempunyai tawaran tersendiri, dan pada masa yang sama sudah pun ada strategi untuk mereka di bandar.

Keenam, sebagai parti politik, PAS ternyata berwibawa. Ia tidak dibelenggu oleh perbalahan dalaman seperti parti-parti saingannya. Calon-calon PAS adalah lebih berdisiplin dan sentiasa dapat menyalurkan mesej dengan berkesan. PAS mempunyai asas bersaing yang sangat berkesan iaitu berdasarkan ideologi dan bukannya politik wang.

Apakah maksudnya?

Berikutan kemenangan kerusi terbanyak PAS atas tiket Perikatan Nasional, Bersatu dan pengerusinya Muhyiddin Yassin kini mendapati diri mereka menjadi rakan kongsi kecil dalam blok pembangkang itu. Ini bermakna Muhyiddin, bekas perdana menteri, pasti akan menjadi lebih etno-nasionalis dan tidak bertoleransi.

Dan, walaupun PAS berikrar untuk tidak menyertai kerajaan perpaduan dan kekal sebagai "pembangkang yang membina", parti Islam itu akan memberi kesan dalam membentuk dasar-dasar awam. PAS dan rakan-rakan Perikatan Nasional akan mendesak agenda sosial yang sangat konservatif dan terus menghakis hak orang bukan Melayu dan bukan Islam.

Mereka akan menyerang UMNO dan parti Melayu lain kerana bekerjasama dengan Parti Tindakan Demokratik yang dikuasai Cina, serta menjual kepentingan Bumiputera. Semasa kempen itu, PAS merubah cara penyampaian ucapan kebencian.

Di samping itu, PAS menjangkakan kerajaan perpaduan baharu itu tidak dapat bertahan lama, dan sedang bergerak untuk melakukan usaha ala Perjanjian Sheraton pada 2020 yang membawa kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pelbagai etnik itu.

PAS juga sudah pun mempunyai beberapa sekutu dalam UMNO.

Sepuluh ahli UMNO telah mengundi untuk tidak menyertai Pakatan Pakatan, tetapi terpaksa berubah berikutan dakwaan adanya tekanan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Gesaan agar Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan selepas kemelut pilihan raya umum itu, telah reda sejak beliau menggerakkan UMNO keluar dari kegelapan politik itu dan menyertai kerajaan baharu. Tetapi, kepimpinannya bakal dicabar pada persidangan UMNO yang akan diadakan pada 21 Dis.

Akhirnya, Parti Islam Se-Malaysia bersedia untuk melebarkan sayapnya. PAS meraih majoriti undi dalam kalangan anak muda Melayu, dan perancangan asasnya yang merangkumi program pendidikan dan keagamaan serta kebajikan sosial pula kekal popular.

Secara ringkasnya, PAS mempunyai bahagian terbesar undi Melayu dan ini boleh memberi kesan kepada dasar awam, kestabilan kerajaan perpaduan dan masa depan politik dalam masyarakat yang berpolarisasi meluas itu.

Zachary Abuza ialah profesor di National War College dan profesor adjung di Georgetown University di Washington. Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pendapatnya sendiri dan tidak mewakili pendirian Jabatan Pertahanan AS, National War College, Georgetown University atau BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.