Selatan Thailand: Pemimpin Sepanjang Zaman, Riwayatnya Terus Bertahan

Komentari oleh Don Pathan
2017.02.28
Yala, Thailand
170228-TH-MY-sapae-ing-620.jpg Sekeping poster memaparkan gambar-gambar Sapae-ing Baso di Sekolah Yayasan Thammawittaya di Yala, Thailand, 16 Jan, 2017.
[Don Pathan /BeritaBenar]

Selama berminggu-minggu lamanya, agensi keselamatan dan perisikan Thailand membahaskan tentang apakah kesan kematian Sapae-ing Baso terhadap gerakan pemisah yang didakwa diterajuinya di wilayah selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Hanya satu jawapan: amat sedikit. Keganasan di wilayah bergolak itu kembali berlaku selepas berakhirnya musim hujan.

"BRN adalah sebuah pertubuhan revolusioner yang dijalankan oleh sekumpulan warga tua, bukan oleh satu individu. Sudah tentu, adanya rasa kehilangan kerana Sapae-ing memang amat bermakna bagi para penyokongnya," kata seorang pengendali Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemisah Melayu Patani yang lama di negara itu.

Sapae-ing, bekas pengetua Sekolah Yayasan Thammawittaya di Yala, meninggal dunia akibat komplikasi penyakit kencing manis di Malaysia pada 10 Jan lalu. Beliau berusia 86 tahun.

Kader BRN menyatakan pemergian Sapae-ing tidak memberi sebarang kesan terhadap tindakan keganasan mereka, yang, pada masa ini, dilakukan bagi menjadikan wilayah itu dalam keadaan tidak terkawal.

Pemberontakan bersenjata di wilayah itu, yang dikenali sebagai Patani, meletus pada awal tahun 1960-an–kira-kira 50 tahun selepas Siam dan British Tanah Melayu menandakan sempadan bersama mereka-sebagai tindak balas kepada dasar asimilasi kerajaan yang penduduk Islam Melayu tempatan berpendapat telah mengorbankan identiti budaya agama mereka .

Gelombang keganasan itu reda pada awal 1990-an selepas penyokong-penyokong di Timur Tengah dan Afrika Utara menempatkan semula kedudukan mereka bagi dunia pasca Perang Dingin.

Tetapi, kisah yang memaparkan kerajaan Thailand sebagai penceroboh di tanah air bersejarah orang Melayu tiada kesudahannya. Riwayat yang sama juga melahirkan wira-wira daripada kalangan lelaki seperti Sapae-ing, pendidik sekolah menengah yang melonjakkan identiti Melayu tempatan supaya menentang identiti yang dicipta dan dikisahkan oleh negara itu.

Keganasan pemisah kembali berlaku pada hujung 2001 tetapi tidak diiktiraf secara rasmi sehinggalah pada 4 Jan 2004 apabila puluhan pejuang menyerbu sebuah batalion tentera dan melarikan kira-kira 350 senjata. Ketika itu, kerajaan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra tidak lagi dapat menafikan kemunculan semula gerakan pemisah Melayu di wilayah yang mencatatkan banyak sejarah itu.

Pendekatan menangani pemberontakan Thailand tidak pernah bergerak di luar ganjaran dan hukum, termasuk pengampunan menyeluruh dan satu plot kecil tanah untuk bekas pejuang. Dasar kerajaan itu memberi tumpuan kepada pembangunan bagi memenangi hati dan minda orang Melayu Islam tempatan, yang merupakan lebih daripada 80 peratus daripada dua juta penduduk tempatan di kawasan itu.

Pendekatan tentera pun tidak dapat menamatkan masalah itu. Tentera di Selatan Thailand tidak dapat berbuat apa-apa kerana pasukannya tidak boleh  membezakan di antara rakyat biasa dan pejuang. Hari ini, para pemberontak berada di bandar, pekan, kampung dan perbandaran di wilayah itu.

Pemimpin pemisah yang dibuang negeri berkata selagi riwayat Patani terus utuh, perpecahan ideologi tidak akan berakhir.

Bagi Sapae-ing, hakikat bahawa sebilangan besar pelajar sekolahnya mengangkat senjata menentang kerajaan Thailand telah menjadikan beliau sasaran yang mudah bagi perdana menteri ketika itu Thaksin Shinawatra.

Thaksin perlu menjadikan seseorang sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap konflik itu, dan Sapae-ing ditampilkan sebagai insan itu. Thaksin dalam satu daripada ucapan mingguannya menerusi radio memberitahu bahawa ulama buruan itu, yang melarikan diri dari selatan Thailand pada Disember 2004, bersedia untuk menjadi pemimpin pembebasan Patani.

Waran tangkap yang memaksa Sapae-ing melarikan diri telah ditandatangani oleh Kolonel Polis ketika itu Thawee Sodsong,  yang kemudian menjadi pegawai utama dalam inisiatif damai kerajaan untuk wilayah Selatan yang diusahakan Thaksin dan adik perempuannya, Yingluck.

Para pegawai Thailand yang memeriksa waran itu berkata bukti terhadap Sapae-ing amat rapuh dan beliau boleh mengetepikan pertuduhan tersebut dengan mudah sekiranya beliau memutuskan untuk berlawan di mahkamah.

Dalam tempoh dua tahun selepas Sapae-ing melarikan diri dari selatan Thailand, sembilan orang guru dari sekolah itu ditembak mati, seorang demi seorang, semuanya pada jarak dekat, mungkin oleh ahli-ahli kerajaan atau skuad bunuh yang pro-kerajaan.

Menurut sumber kanan kerajaan, campur tangan pihak tertinggi di Bangkok telah menghentikan pembunuhan guru-guru Sapae-ing. Tetapi, apa yang gagal difahami oleh pentadbiran kerajaan berikutnya adalah daya tahan riwayat budaya-sejarah yang ditampilkan oleh Sapae-ing.

Kerajaan berikutnya cuba menarik beliau tampil ke hadapan dengan menjanjikan hukuman ringan. Ia tidak berjaya.

Beliau enggan menjual jiwanya kepada rakyat Thailand, kata seorang pegawai bersekutu.

Dan, memandangkan Thailand tidak bersedia untuk bercakap mengenai rungutan sejarah dan punca konflik itu yang meragut hampir 7,000 nyawa sejak Januari 2004, Sapae-ing melihat tiada gunanya beliau berbincang dengan para pegawai Thailand.

Artef Sohko, pemimpin belia dari wilayah dalam Selatan, menyifatkan Sapae-ing, bekas pengetuanya, sebagai seorang lelaki tegas, sopan dan ringkas yang memimpin melalui teladan.

Pengetua itu akan mengutip sampah di sekitar sekolah seperti mana penjaga sekolah lakukan. Selepas waktu sekolah, beliau akan pergi ke sekitar bandar untuk memeriksa sama ada pelajarnya terlibat dalam masalah.

Ciri-ciri yang ada padanya menjadikan anak-anak muda mahu menjadi seperti beliau. Ibu bapa memandang tinggi kewibawaan moralnya dengan pelajar. Para ulama di wilayah itu turut mengagumi kepimpinan beliau.

Beberapa pemerhati asing, yang memantau rapat konflik itu, secara berseloroh membandingkan Sapae-ing dengan Yoda, tokoh Jedi yang bijaksana dan berkuasa daripada filem Star Wars. Sesetengah pejuang pemisah mengandaikan bahawa Sapae-ing telah dikurniakan dengan kuasa halimunan dan dapat mengelak dirinya daripada ditangkap.

Selepas lebih daripada satu dekad tinggal bersembunyi dalam buangan hinggalah ke hari kematiannya, mistik yang menyelubungi Sapae-ing nampaknya tidak pernah pudar.

Sejurus mengetahui kematiannya, Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-och-a menzahirkan rasa sedihnya kepada keluarga Sapae-ing, manakala Thawee, orang yang menyebabkan beliau dan ramai lagi suspek melarikan diri, turut menziarahi keluarganya bagi memberi penghormatan.

Hari ini, beberapa minggu selepas kematian Sapae-ing, para pemerhati tertanya-tanya siapakah yang boleh menggantikannya. Namun, satu perkara yang amat jelas: gelombang pemberontakan tidak menunjukkan sebarang tanda yang ia akan berakhir.


Don Pathan adalah perunding dan penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan di dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BeritaBenar..


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.