Apa yang diharapkan BRN daripada tawaran 'gencatan senjata' Ramadan?
2023.04.10
Yala, Thailand
Dalam usaha mendapatkan kedamaian yang nyata pada akhir Mac, kerajaan Thailand telah menyeru pemberontak pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) supaya berundur daripada sebarang persengketaan semasa Ramadan di wilayah selatan negara itu.
Dalam satu kenyataan yang seolah-olah menawarkan gencatan senjata kepada BRN, pasukan Thailand dalam rundingan damai yang diusahakan Malaysia dengan kumpulan pemberontak telah menyuarakan “hasratnya untuk mewujudkan suasana baik dan tanpa keganasan sepanjang Ramadan supaya saudara kita dapat menunaikan ibadah Ramadan dengan selamat.”
Sementara itu, sumber kedua-dua pihak memberitahu penulis bahawa pasukan perunding yang mewakili kumpulan pemberontak telah memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang mesyuarat dengan kerajaan Thailand di semua peringkat sehinggalah selepas pilihan raya umum diadakan di negara itu bulan depan.
Memandangkan bulan suci umat Islam itu bertindih tahun ini dengan satu lagi perayaan keagamaan di negara itu iaitu Tahun Baharu Buddha Songkran, kerajaan Thailand dalam kenyataannya pada 24 Mac telah mempelawa BRN "untuk turut membantu mewujudkan suasana positif dan tanpa kekerasan" di wilayah sempadan Selatan Thailand, di mana umat Islam adalah majoriti penduduknya.
Pada zahirnya, idea itu kedengaran menyenangkan bagi para pemerhati biasa dan orang awam. Tetapi, bagi mereka yang sudah lama memerhati konflik ini dengan teliti, cara mempolitikkan cuti, tanpa mengira agama, bukannya membantu keadaan itu.
Bagi Artef Sohko, presiden The Patani iaitu kumpulan tindakan politik yang mempromosikan hak penentuan nasib sendiri bagi penduduk di wilayah yang menjadi pertikaian sejarah itu, "keangkuhan yang ketara di sebalik cadangan Thailand adalah amat tidak diperlukan."
"Jika mereka benar-benar mahu melaksanakan gencatan senjata, mereka perlu melakukannya dengan betul seperti menerima cadangan BRN supaya terma rujukan (TOR) digubal bersama bagi membolehkan penyertaan pasukan pemantau antarabangsa," kata Artef.
Pemberontak berharap isu itu dapat dilaksanakan sehingga ke rundingan peringkat tinggi semasa pusingan terakhir rundingan damai tersebut, yang diadakan di Malaysia pada akhir Februari lalu. Namun, rakyat Thailand mempunyai pendapat yang berbeza.
Thailand sememangnya tidak berminat untuk melibatkan masyarakat antarabangsa dalam penyelesaian konflik di wilayah selatan itu. Wujudnya pemahaman umum bahawa sebarang penyertaan warga asing perlulah dilakukan mengikut syarat-syarat Thailand.
Tawaran gencatan senjata itu dilihat oleh banyak pihak sebagai sesuatu yang ditonjolkan untuk tujuan umum, seperti mana kenyataan ketua perunding Thailand dalam rundingan damai itu Jen. Wanlop Rugsanaoh, yang menyatakan harapannya agar konflik berlanjutan tersebut dapat diselesaikan dalam masa dua tahun. Sebarang cadangan dan saranan bagi memajukan lagi usaha itu adalah dialu-alukan terutamanya semasa pertengahan musim kempen pilihan raya umum.
Memandangkan tiada gunanya bercakap kepada kerajaan yang sedang memberi tumpuan penuh kepada pilihan raya umum akan datang, BRN telah menunjukkan bahawa ia tidak mahu bertemu dengan pihak kerajaan Thailand di mana-mana peringkat pun sehinggalah pentadbiran baharu dibentuk di Bangkok.
Seorang penunggang motosikal sedang mengukur suhu badannya di pusat pemeriksaan semasa Ramadan, di tengah-tengah penularan pandemik koronavirus (COVID-19) di wilayah Yala, Thailand, 27 April 2020. [Surapan Boonthanom/Reuters]
Jika dilihat, tawaran gencatan senjata telah dikeluarkan daripada buku panduan BRN.
Pada April 2020, ketika Thailand dan negara-negara Asia Tenggara yang lain berada di awal pandemkik COVID-19, BRN mengumumkan gencatan senjata unilateral atas dasar kemanusiaan di seluruh Selatan Thailand dengan menyatakan bahawa pekerja kesihatan tidak perlu risau jika terperangkap dalam pertempuran di antara para pejuang konflik yang berlaku sejak sekian lama itu.
Di sebalik rayuan daripada aktivis tempatan agar pihak tentera berundur dan membalas budi BRN, pihak tentera pada masa itu mengerahkan tenteranya untuk memburu pejuang BRN yang tinggal di perkampungan terpencil. BRN berkata sel-sel itu bukan sebahagian daripada sebarang operasi yang sedang dijalankan dan pejuang mereka hanya bersembunyi sambil memerhatikan gencatan senjata unilateral tersebut.
Bagaimanapun, dalam tempoh 24 bulan pertama gencatan senjata unilateral BRN – dari April 2020 hingga April 2022 – tentera Thailand telah membunuh ramai suspek pejuang BRN dalam beberapa siri pertembungan di mana pasukan keselamatan kerajaan, yang bilangannya jelas mengatasi jumlah pemberontak, telah mengepung mereka ketika mereka bersembunyi di kampung-kampung.
Sebanyak 64 suspek pemberontak BRN telah dibunuh oleh tentera Thailand dalam pertempuran itu semasa gencatan senjata unilateral BRN dilaksanakan, dan hanya seorang pemberontak menyerah diri. Ramai daripada mereka yang bersembunyi itu telah berjuang sehingga nafas terakhir kerana mengetahui bahawa peluang untuk melarikan diri adalah sangat tipis.
Setakat ini, Selatan Thailand masih belum bebas daripada keganasan sepanjang Ramadan tahun ini.
Pihak berkuasa Thailand telah melaporkan sekurang-kurangnya empat serangan yang disyaki dilakukan oleh pemberontak termasuk satu serangan maut dan serangan bertubi-tubi pada hujung minggu lalu:
● Pada 29 Mac, seorang timbalan ketua kampung telah ditembak dan cedera di wilayah Pattani.
● Pada 7 April, dua sukarelawan pertahanan cedera akibat pengeboman di tepi jalan di Pattani.
● Pada petang Sabtu, suspek pemberontak menembak mati seorang sukarelawan pertahanan kampung ketika dia meninggalkan masjid dan berjalan pulang selepas solat di Tak Bai, sebuah daerah di wilayah jiran Narathiwat.
● Pada awal pagi Ahad, suspek pemberontak menyerang sebuah pos tentera di wilayah Yala, tetapi tiada sesiapa yang cedera.
BRN dalam mod menunggu pilihan raya
Tindakan BRN akhir-akhir ini untuk menangguhkan sebarang mesyuarat sehinggalah kerajaan Thailand yang baharu dibentuk, akan memberi masa kepada semua pihak untuk kembali ke kertas lakaran.
Pada masa lalu, berlakunya masalah kesinambungan; kerajaan baharu Bangkok dahulunya bermaksud pasukan perunding baharu. Ia masih perlu dilihat sama ada pasukan perunding Thailand semasa – yang secara rasminya dikenali sebagai Panel Dialog Keamanan - akan kekal berada di tempatnya apabila kerajaan berikutnya berkuasa.
Namun begitu,masih ada banyak kerja yang menanti kerana proses damai telah mencapai titik kritikal ketika Thailand, Malaysia dan BRN bergelut untuk mengenal pasti titik persamaan mengenai cara untuk meneruskan rundingan itu. Senarai isu yang perlu disematkan dalam rundingan termasuklah tentang perundingan awam, pengurangan keganasan dan penyelesaian politik untuk menamatkan konflik ini.
Akhir-akhir ini, keterangkuman juga muncul sebagai isu untuk wajar dibincangkan di meja rundingan; Thailand mahu kumpulan pemberontak lain di wilayah selatan untuk menyertai rundingan itu tetapi BRN berpendapat masih terlalu awal untuk membawa mereka dalam rundingan peringkat tinggi. Bagaimanapun, BRN bersedia untuk mempertimbangkan penyertaan kumpulan ini di peringkat teknikal di mana perbincangan mendalam mengenai tiga perkara yang sering dibangkitkan, menurut satu sumber pemberontak yang dimaklumkan perkara itu.
Don Pathan ialah seorang penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand.