Follow us

Bagaimana Asia Boleh Menangani Ancaman Negara Islam

Komentari oleh Rohan Gunaratna
2016-03-18
E-mel
Komen
Share
Polis Indonesia berlindung di belakang sebuah kenderaan ketika mengejar suspek semasa serangan pengganas di Jakarta, 14 Jan, 2016.
Polis Indonesia berlindung di belakang sebuah kenderaan ketika mengejar suspek semasa serangan pengganas di Jakarta, 14 Jan, 2016.
AFP

Kerajaan-kerajaan Asia dan rakan-rakan mereka perlu membentuk satu tindak balas yang pelbagai terhadap Negara Islam (IS), kumpulan yang mendakwa melakukan serangan pengganas pada 14 Jan lalu di Jakarta.

Langkah itu adalah  demi kepentingan mereka kerana mereka tidak mampu membiarkan IS mengembangkan pengaruhnya di rantau itu menerusi sel dan rangkaian tempatan, yang boleh mengganggu keselamatan dan kestabilan Asia pada abad ke-21. Hari ini, keutamaan serantau dan global adalah untuk menghapuskan IS secara menyeluruh.

Kumpulan itu menimbulkan ancaman pelbagai dimensi melalui operasi teras di pangkalannya di Syria dan Iraq, cawangan-cawangannya di sudut lain dunia, serta kehadirannya secara dalam talian. Para pejuang dan penyokong asing IS dari seluruh Asia Pasifik aktif dalam semua domain itu.

Untuk mengatasi ancaman itu,  angkatan tentera, pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang dan agensi-agensi keselamatan negara di rantau itu perlu membangunkan keupayaan baru. Langkah-langkah bersepadu itu termasuklah dengan memperluaskan  unit taktikal elit bagi memerangi keganasan, mengembangkan perkhidmatan keselamatan negara, membangunkan rangka kerja undang-undang yang mantap untuk tahanan pencegahan, serta meningkatkan unit khusus untuk menghentikan serangan siber.

Memandangkan Asia Pasifik semakin meningkat dalam abad ke-21, kerajaan-kerajaannya perlu melakukan lebih banyak lagi dan saling bekerjasama untuk menjamin keselamatan rantau itu, serta meningkatkan usaha mereka dalam perjuangan antarabangsa bagi menghapuskan IS daripada peringkat terasnya.

Beberapa kerajaan serantau telah pun menyertai pakatan anti-IS. Namun,   adalah penting bagi lebih banyak kerajaan, terutamanya yang diancam oleh IS di rantau itu, supaya turut menyertai pakatan berkenaan.

Dengan menjalinkan kerjasama bersama pakatan itu, Indonesia, India, Pakistan, China, Jepun dan kuasa lain Asia boleh membina keupayaan ketenteraan dan perisikan mereka sendiri.

Usaha utama bagi menghapuskan  IS di Iraq dan Syria ialah dengan  membina keupayaan tentera yang diterajui perisikan bagi membunuh atau menangkap pemimpin IS, memecahkan sokongan dan  struktur operasi serta mengganggu operasi mereka.

Asia boleh mainkan peranan penting

Satu kempen udara sahaja tidak dapat mencapai hasil yang dikehendaki. Tentera khas dan tentera darat  juga mempunyai peranan penting bagi melemahkan dan memusnahkan IS. Kesungguhan politik turut penting dalam memerangi IS di medan perang,  tetapi tanpa satu lagi kematian beramai-ramai, kerana serangan maut besar-besaran itu mengingatkan kita kepada 9/11, sokongan orang ramai terhadap usaha ini mungkin tidak kesampaian.

Negara-negara Islam di Asia Pasifik juga boleh memainkan peranan penting dalam menangani ideologi, naratif dan propaganda radikal IS.

Perlu diingat bahawa pakatan Amerika Syarikat/Arab dan pakatan Russia/pihak diterajui Syiah  yang memerangi IS tidak akan bersatu dalam menentang ancaman itu.

Bagaimanapun, mereka akan saling bertukar maklumat risikan dan membangunkan atau mengasah keupayaan bagi membendung, mengasingkan dan menghapuskan IS di kawasan teras dan kawasan-kawasannya yang lain.

Hanya peningkatan ketara ancaman itu yang dapat menyatukan kesemua pakatan berkenaan.

Kes Mehdi Nemmouche

Kerjasama anti-IS antara agensi perkhidmatan Eropah, Timur Tengah dan Asia diperlukan apabila Mehdi Nemmouche, warga Perancis berusia 29 tahun yang berasal dari Algeria, membunuh empat orang dalam serangan Muzium Yahudi Belgium pada Mei 2014.

Selepas menghabiskan tempoh setahun dengan IS di Syria, Nemmouche mengunjungi Malaysia, Thailand dan Singapura semasa transit sebelum memasuki Eropah melalui Jerman untuk melakukan serangan di Belgium. Beliau kemudian mengambil laluan ke Eropah Barat supaya dapat mengaburi pihak berkuasa Eropah tentang kesan kehadirannya di Timur Tengah.

Sebagai penjenayah sabitan, yang diradikalkan dan direkrut dalam penjara, Nemmouche telah merakamkan video yang menunjukkan bendera IS sebelum beliau melakukan serangan itu. Sekiranya pihak berkuasa Perancis berkongsi maklumat risikan mereka dengan rakan-rakan di Asia, serangan itu mungkin dapat dielakkan.

Oleh itu, kerjasama antarabangsa dan serantau dalam bidang keselamatan serta kerjasama perisikan adalah amat penting pada masa kini bagi membendung dan mengawal ancaman itu.

Kerajaan perlu proaktif

Di Asia Pasifik, adalah penting bagi kerajaan-kerajaan berkenaan mengambil tindakan pencegahan terhadap kumpulan-kumpulan sokongan IS yang bercita-cita menjalinkan bekerjasama dengan IS pusat bagi mengumumkan kawasan mereka sebagai satelit khalifah IS yang diisytiharkan sendiri.

Kerajaan-kerajaan berkenaan  perlu mengambil tindakan perundangan dan eksekutif jika mahu mencegah IS daripada menembusi dan mengisytiharkan kawasan-kawasan sebagai wilayahnya.  Kerajaan berkenaan juga harus mengharamkan entiti dan orang ramai daripada menerima, menyokong dan mengambil bahagian dalam aktiviti IS, selain mendakwa dan mengenakan pertuduhan terhadap  mereka.

Bagi menghentikan IS daripada mengisytiharkan kawasan sebagai wilayahnya, perlunya strategi yang menyasarkan teras, satelit dan bubungan perantaraan IS. Rentak serangan IS di Iraq dan Syria telah mencipta momentum untuk berkembang dan mengekalkan kumpulan berkaitan di luar kawasan konflik.

Mewujudkan toleransi sifar dalam ruang siber

Kerajaan-kerajaan Asia Pasifik khususnya boleh memainkan peranan dalam menangani ancaman IS dalam talian.

Antara 80 hingga 90 peratus daripada sasaran trafik media dalam talian IS adalah penutur bahasa Arab, tetapi penyokong kumpulan itu di rantau Asia Pasifik telah mencipta platform mesej dalam talian dengan tujuan merekrut, meradikal dan menenterakan segmen lemah penduduk Islam di seluruh rantau itu.

Dengan menggunakan bahasa-bahasa Melayu, Indonesia, Devehi, Urdu, Pashtu dan bahasa lain Asia, para penyokong IS menggalakkan ideologi kebencian pop IS yang bertujuan menggantikan Islam arus perdana. Kira-kira 80 peratus daripada laman media sosial yang menghantar propaganda IS adalah server yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan Eropah.

Berikutan kurangnya kepimpinan, kehendak, dan strategi dalam kalangan kerajaan dan rakan-rakan yang ditugaskan untuk membalas mesej dan menutup platform dalam talian IS, ancaman pihak itu akan berterusan dan berkembang. Selagi  laman media sosial  IS ada,  selagi itulah ancaman terus berkembang.

Kerajaan-kerajaan di seluruh Asia Pasifik perlulah mewujudkan toleransi sifar terhadap propaganda IS di ruang maya.

Ancaman operasi IS menampilkan dirinya dalam ruang fizikal, tetapi ia semakin berkembang di ruang maya. Sejajar dengan kempen medan, kerajaan-kerajaan perlulah tegas dalam mengawal selia penggunaan dan menyalahgunakan internet untuk mengelak IS daripada mendoktrin minda anak muda melalui media sosial.

Dalam mencegah mesej-mesej dalam talian IS daripada meradikalkan dan menenterakan masyarakat Islam, kerajaan perlu membentuk perkongsian dengan sektor swasta, pertubuhan dan kumpulan masyarakat.

Bagi memerangi eksploitasi canggih teknologi IS, kerajaan juga perlu membina rangkaian diyakini dengan ahli akademik dan syarikat teknologi. Untuk melindungi segmen lemah masyarakat Islam, kerajaan-kerajaan di rantau itu dan rakan-rakan mereka perlulah melengkapkan pendekatan keseluruhan masyarakat dengan pendekatan seluruh kerajaan.

Pendekatan berkembar adalah untuk membentuk: (a) program menangani radikalisasi dalam talian dan luar talian; dan (b) program deradikalisasi untuk memulihkan mereka yang telah diradikalkan.

Kegagalan untuk membentuk satu tindak balas yang pelbagai akan membawa kepada gangguan hubungan antara komuniti agama dan etnik yang menjejaskan keharmonian, yang penting bagi kemakmuran  rantau ini pada abad ke-21.



Pendapat yang dinyatakan di dalam komentar ini adalah pandangan penulis dan bukannya daripada BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh