Rundingan Damai Selatan Mungkin Disambung pada Mei

Pemberontak BRN berminat untuk mempelajari lebih banyak "cara bukan ketenteraan" dalam memperluaskan perjuangan mereka, kata penganalisis keselamatan, Don Pathan.
Komentar oleh Don Pathan
2021.04.12
Bangkok, Thailand
Rundingan Damai Selatan Mungkin Disambung pada Mei Pakar forensik Thailand sedang memeriksa lokasi di mana suspek pemberontak pemisah membunuh beberapa sukarelawan keselamatan kampung di wilayah Yala, Selatan Thailand, 6 November 2019.
[Reuters]

Rundingan damai sepenuhnya, yang pertama sejak lebih setahun lalu, di antara pemberontak Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) Selatan Thailand mungkin dapat diadakan seawal-awalnya pada pertengahan Mei, menurut sumber kedua-dua pihak – namun, gencatan senjata sempena Ramadan bukanlah antara perkara yang akan dibawa ke meja rundingan.

Selepas perbincangan peringkat teknikal pada Februari di antara Panel Dialog Damai Bangkok dan wakil BRN, perunding kerajaan Thailand mencadangkan agar kedua-dua pihak melaksanakan gencatan senjata pada bulan puasa itu, yang bermula minggu ini.

Tetapi, perwakilan BRN menyatakan bahawa pihak perundingnya berminat untuk membincangkan mengenai sebarang gencatan senjata apabila kedua-dua perwakilan penuh itu dapat kembali berunding secara bersemuka, kata sumber pihak kerajaan.

Perunding kerajaan Thailand dan BRN secara terbuka mengumumkan mengenai perbincangan mereka di Kuala Lumpur pada Januari 2020, dan bertemu sekali lagi pada awal Mac tahun itu sebelum pandemik coronavirus menjejaskan proses rundingan.

Kedua-dua pihak itu merancang untuk menyambung semula perbincangan mereka di negeri Kedah di Malaysia pada November tetapi terpaksa membatalkan pertemuan itu berikutan lonjakan kes COVID-19 pada masa itu di negara berkenaan.

Kerajaan Thailand secara berturut-turut berusaha bertahun-tahun lamanya untuk menyakinkan para pemimpin BRN, gerakan pemisah bersenjata yang mendalangi banyak keganasan di wilayah sempadan selatan dengan penduduknya berbahasa Melayu, untuk tampil ke meja rundingan.

Lapan tahun lalu, buat seketikanya, wujudnya suasana optimis semasa kerajaan pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Yingluck Shinawatra, melancarkan proses damai secara rasmi. BRN menghantar beberapa wakilnya tetapi hasrat mereka adalah untuk menggagalkan proses itu, yang berjaya dilaksanakan.

Pada Januari 2020, para perunding Thailand memperoleh apa yang mereka mahukan - untuk bersemuka dengan wakil sebenar BRN, yang membawa mandat daripada Dewan Pimpinan Parti (DPP) iaitu majlis ketua-ketua yang bergerak secara rahsia bagi kumpulan pemberontak itu dan badan pembuat keputusan tertingginya.

Secara luarannya, pihak kerajaan Thailand kelihatan seperti beroleh kejayaan. Tetapi, tidak ada yang kelihatan seperti itu di Selatan Thailand.

Ketegangan dalam BRN

Malah, sehingga hari ini, mandat yang diterima perunding BRN daripada majlis ketua-ketua itu, nampak goyah kerana sayap tenteranya masih belum memutuskan untuk berpisah daripada kumpulan itu.

Ia terus mempersoalkan kewajaran dan manfaat yang diperoleh daripada meja rundingan itu - setelah lewat mengetahui bahawa rundingan damai awal telah pun dimulakan pada penghujung 2019.

Rundingan itu dimulakan sebagai satu siri pertemuan rahsia antara kedua-dua pihak di Indonesia dan Jerman dari September hingga November 2019. Fasilitator Malaysia dan sayap tentera BRN tidak dimaklumkan mengenai pertemuan berkenaan, yang dipermudahkan usahanya oleh sebuah NGO Eropah.

BenarNews mendedahkan mengenai Inisiatif Berlin itu pada pertengahan November 2019. Tindakan itu mengecewakan Malaysia serta sayap tentera BRN - sehingga mereka mempertimbangkan untuk meninggalkan gerakan itu.

Untuk menyelesaikan masalah itu dengan Malaysia, Panel Dialog Damai Thailand dan perunding BRN berkumpul di Kuala Lumpur pada 20 Januari 2020, untuk melancarkan inisiatif damai semasa yang dikenali sebagai permulaan baru.

Tetapi, para pejuang di lapangan menjadi lebih berang apabila sayap politik memberitahu mereka bahawa siri pertemuan rahsia dengan Thailand adalah sebahagian daripada diplomasi BRN.

Sejak 18 tahun lalu, generasi pejuang sekarang diberitahu bahawa usaha "membebaskan" Patani adalah satu kewajipan moral.

Lebih 7,000 orang terbunuh dalam keganasan yang berlaku sejak 2004, dengan majoriti daripada mereka adalah orang Melayu. Ada yang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan kerajaan; yang lainnya mati di tangan pemberontak yang mengesyaki mereka menjadi pengintip bagi agensi keselamatan Thailand.

Pemerhati yang tidak bersalah menjadi mangsa yang terperangkap dalam keganasan. Mereka yang menjadi sasaran satu pihak pula cuba merobek hati dan jiwa pihak yang lagi satu. Aktivis di lapangan - kumpulan seperti The Patani dan PerMAS - cuba membawa beberapa tahap tertib dalam konflik itu dengan menggalakkan norma antarabangsa dan peraturan penglibatan.

Dalam kalangan aktivis, cakap-cakap mengenai perpecahan BRN amat menggusarkan kerana bimbang kumpulan serpihan akan menjadi lebih ganas dengan tidak mematuhi peraturan penglibatan, ketertiban dan norma antarabangsa – yang menjejaskan kemajuan dalam aspek itu.

‘Bukan cara ketenteraan’

Pada Januari 2020, BRN menandatangani Surat Komitmen untuk Perlindungan Kanak-kanak daripada Kesan Konflik Bersenjata dengan Geneva Call, sebuah NGO antarabangsa yang bekerjasama dengan pelaku bukan negara bersenjata untuk menggalakkan peraturan perang.

Tiga bulan kemudian, BRN melaksanakan gencatan senjata satu pihak untuk membolehkan pegawai perubatan dan pegawai kerajaan bebas bekerja bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di wilayah paling selatan itu.

Pujian daripada pelbagai pihak dan anggota masyarakat antarabangsa bagi usaha ini menyebabkan sayap tentera BRN memikirkan semula pendekatannya berhubung perjuangan bersenjata. Pada November 2020, sayap tersebut menyuarakan minat untuk belajar lebih banyak "cara bukan ketenteraan" untuk memperluaskan perjuangan mereka.

Tidak jelas bagaimana pihak Thailand akan memberi reaksi terhadap langkah ini. Banyak agensi kerajaan Thailand, terutamanya pemimpin tertinggi tentera, tidak suka apabila BRN menerima perakuan dan pengiktirafan sama ada di peringkat antarabangsa atau tempatan.

Bagi proses damai itu, nampaknya laluan ke hadapan masih belum jelas.

Thailand bimbang BRN tidak serius dan menggunakan platform rundingan damai itu untuk mendapatkan masa dan memperoleh pengiktirafan antarabangsa.

Militan BRN menyatakan bahawa mereka boleh melontarkan hujah yang sama: Perunding Thailand mempunyai mandat untuk berbincang tetapi bukan untuk membuat sebarang janji. Perbincangan dengan pemberontak di bawah mana-mana kerajaan pun tidak pernah melangkaui tahap membentuk keyakinan.

Cabaran bagi perunding kerajaan Thailand adalah bagaimana meneruskan perbincangan itu, dan bergerak melangkaui "perbincangan" tanpa membangkitkan kemarahan pemimpin politik dan tentera, yang tidak pernah menyokong idea untuk berbincang dengan musuh sejak dahulu lagi.

Bagi, majlis ketua-ketua BRN dan kumpulan perunding kecil, langkah mewajarkan kembali ke meja rundingan – iaitu dengan menyakinkan sayap tentera bahawa sesuatu yang baik akan terhasil daripada semua ini – semakin menyukarkan.

Tetapi, selagi sayap tentera pemberontak berminat untuk menerokai "cara bukan ketenteraan" itu bagi memperluaskan perjuangan mereka, maka, adanya harapan bahawa proses damai itu dapat bertahan dalam keadaan sekarang.

Don Pathan ialah penganalisis keselamatan di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini merupakan pendapat penulis dan bukannya daripada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.