Pembangkang Malaysia hilang "cengkaman"
2024.12.13

Dua tahun selepas pentadbiran Anwar Ibrahim berkuasa di Malaysia, gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN) terus mengekalkan sokongan di kubu mereka tetapi gagal untuk memperluaskannya secara bermakna.
Malah, PN kehilangan momentum sepanjang tahun lalu, terutamanya parti nasionalis Melayu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Bersatu merupakan salah satu daripada tiga parti dalam PN bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang mempunyai akar umbi paling kuat dan Gerakan yang dimasukkan bagi menarik sokongan bukan Melayu berada di kedudukan paling lemah.
Terdapat beberapa faktor telah melemahkan pembangkang sepanjang tahun lalu. Meskipun gabungan itu terjejas akibat pertuduhan rasuah terhadap beberapa pemimpin mereka, halangan utama adalah masalah dalaman, termasuk pergolakan politik dan keengganan untuk memainkan peranan sebagai pembangkang politik nasional yang berkesan.
Pengaruh terhakis
Kekalahan dalam siri pilihan raya kecil sepanjang tahun ini menjadi bukti pengaruh pembangkang semakin terhakis.
Daripada empat pilihan raya kecil pada tahun ini, pembangkang mengalami kekalahan di tiga kerusi yang mereka tandingi.
Kerusi yang kalah itu, kesemuanya ditandingi oleh Bersatu dengan pilihan raya kecil Nenggeri di Kelantan yang sebelum ini disandang oleh parti itu.
Analisis lebih lanjut menunjukkan gabungan PN sebahagian besarnya mengekalkan sokongan di kawasan majoriti orang Melayu ketika berhadapan dengan Pakatan Harapan yang diterajui Anwar.
Namun mereka tewas apabila bertanding menentang parti nasionalis Melayu, UMNO yang masih lemah.
Pembangkang tertekan
Pembangkang kian kehilangan sokongan antaranya disebabkan ramai pemimpinnya menghadapi tuduhan jenayah.
Tuduhan jenayah seumpama itu memberikan gangguan kepada pemimpin-pemimpin politik dan ia merupakan taktik lama dalam politik Malaysia.
Ia memberikan kesan dari segi persepsi awam terhadap pemimpin berkenaan selain meningkatkan perpecahan.
Antara mereka, Muhyiddin yang berdepan dengan pendakwaan rasuah dan salah guna kuasa yang dibatalkan pada 2023 tetapi pertuduhan itu dikembalikan pada Februari lalu setelah kerajaan membuat rayuan dan beliau gagal menggugurkannya pada September lalu.
Selepas membuat kenyataan yang dianggap mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong ketika berkempen dalam pilihan raya kecil Nenggeri pada Ogos lalu, Muhyiddin telah didakwa atas pertuduhan hasutan dan kes itu masih berjalan.
Bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional tiba di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan, 27 Ogos 2024. [Hasnoor Hussain/Reuters]
Jumlah pemimpin pembangkang dan penyokong mereka yang menghadapi pertuduhan di mahkamah serta siasatan telah meningkat kepada lebih 10 orang sepanjang dua tahun terakhir.
Senarai itu termasuk setiausaha politik dan anak kepada Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin, yang didakwa atas tuduhan rasuah juga Menteri Besar PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor yang dibebaskan daripada tuduhan hasutan pada minggu ini.
Taktik "pecah dan perintah" juga telah digunakan, dengan percubaan untuk meyakinkan PAS supaya meninggalkan PN dan menyertai kerajaan Anwar.
Percubaan itu setakat ini gagal tetapi ia telah mencetuskan keresahan dalam kalangan pembangkang terutamanya mereka yang memahami tentang kelebihan untuk berada dalam kerajaan.
Perkara ni berlaku selepas enam Ahli Parlimen Bersatu bertindak mengalihkan sokongan kepada Anwar kerana tawaran untuk mendapat peruntukan kerajaan dan dibenarkan mengekalkan kerusi mereka oleh Speaker Dewan Rakyat, walaupun terdapat undang-undang anti-lompat parti yang diperkenalkan pada 2022.
Ketegangan dalam pembangkang
Tekanan yang tidak dapat dielakkan memberi kesan kepada hubungan dalam gabungan pembangkang.
Persoalan telah dikemukakan sama ada Muhyiddin masih layak menjadi calon Perdana Menteri PN atau sebaliknya. PAS pula secara terbuka mula mempromosikan calon mereka sendiri dalam pilihan raya kecil pada Disember lalu dan ia mendapat momentum sepanjang tahun hingga mencetuskan ketegangan antara parti Islam itu dan Bersatu.
Ketegangan ini melangkaui isu kepimpinan malah melebar kepada soal daya maju gabungan itu sendiri.
Dalam hubungan antara PAS dan Bersatu, PAS menyediakan sokongan di akar umbi manakala Bersatu menyediakan sumber selain berfungsi sebagai jambatan kepada nasionalis Melayu terutamanya dalam kawasan tradisi UMNO.
Penyokong PAS memegang bendera parti pada hari penamaan calon di Langkawi, Kedah, 28 April 2018. [Lai Seng Sin/Reuters]
Kebimbangan telah ditimbulkan sama ada Bersatu masih memenuhi peranannya terutama selepas akaun parti itu dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hingga membuatkan persepsi awam terhadap Muhyiddin berubah.
Dalam PAS, terdapat peningkatan penentangan terhadap bekerjasama dengan Bersatu. Ahli akar umbi PAS sebenarnya tidak menyokong kuat calon-calon Bersatu dalam pilihan raya kecil hingga meningkatkan rasa tidak puas hati.
Bersatu juga dilihat terlalu banyak pemegang jawatan dalam PN. Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mohktar yang juga Menteri Besar Terengganu bertindak meletakkan jawatan sebagai Bendahari PN pada minggu ini.
Taktik ini dilihat sebagai meningkatkan tekanan kepada Bersatu untuk turut memberikan laluan kepada pemimpin PN.
PAS kini menyasarkan untuk memainkan peranan yang lebih dominan dalam gabungan pembangkang, dengan beberapa ahli parti itu mencadangkan agar berpisah dengan Bersatu.
Fokus parti tersebut adalah untuk menonjolkan peranan pentadbirannya dengan acara utamanya tahun ini ialah pembentukan syarikat empat kerajaan negeri (SG4) yang bertujuan menggabungkan sumber bagi keempat-empat kerajaan negeri yang dikuasainya.
Pada masa yang sama, parti tersebut sedang menilai semula hubungan politiknya.
Pertelagahan dalaman parti
Bersatu pula memberikan fokus kepada soal parti kerana bergelut dengan konflik dalaman.
Parti itu terbahagi kepada dua kem utama iaitu Timbalan Presiden Hamzah Zainuddin dan bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Azmin Ali.
Bersatu menjalankan pemilihan parti pada November dengan isu-isu tersebut dibawa ke hadapan.
Terdapat usaha besar untuk mengurangkan ketegangan dan mengakomodasi kedua-dua kumpulan itu.
Selepas pemilihan parti, Azmin dilantik sebagai Setiausaha Agung Bersatu dan PN. Namun, beberapa pihak meninggalkan parti kerana faktor isu kepimpinan.
Pembangkang tiada fokus
Perpecahan dalaman parti politik merupakan perkara lumrah tetapi keengganan PN untuk memainkan peranan berkesan sebagai pembangkang adalah sesuatu yang luar biasa.
Khabar angin tentang pemimpin pembangkang cuba memujuk ahli Parlimen UMNO dan parti lain untuk membentuk kerajaan alternatif telah berterusan sepanjang tahun.
Perkara ini mencerminkan keinginan pembangkang untuk kembali berkuasa sebagai kerajaan.
PN tidak menunjukkan prestasi yang baik dan kurang menonjol ketika di Parlimen.
Mereka membangkitkan beberapa isu namun mereka gagal mengemukakan dasar yang berbeza dan mengukuhkan persepsi bahawa mereka mempunyai kemampuan untuk mentadbir di peringkat nasional terutamanya dalam menguruskan ekonomi negara.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim bercakap selepas bertemu dengan Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed di Putrajaya, 26 Oktober 2024. [Hasnoor Hussain/Pool/AFP]
Pada minggu ini, bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad turut serta dalam satu sidang media PN dengan menuduh kerajaan Anwar menafikan hak orang Melayu dan menyeru pemimpin Melayu untuk bersatu menentang ‘musuh bersama’.
Retorik berbaur perkauman ini telah menjadi sebahagian daripada pendekatan Mahathir selama hampir lima puluh tahun, dan hanya memperburuk polarisasi politik di Malaysia dan bukannya menyatukan perbezaan.
Pandangan terhadap PN dalam kalangan bukan Melayu tidak berubah, dengan kebimbangan terhadap "gelombang hijau" terus berlanjutan serta penolakan terhadap nasionalisme ultra-Melayu.
Sebagai pembangkang, PN kurang fokus dan tidak mempunyai rangka isu nasional yang jelas. Ia bertindak dengan hanya memberikan reaksi kepada sesuatu tetapi tidak proaktif dalam menyampaikan mesej.
Apabila kerajaan Anwar meluluskan rang undang-undang kontroversi yang menjejaskan kebebasan bersuara minggu lalu, dengan kehadiran beberapa anggota gabungan sendiri, pembangkang tidak mampu mengumpulkan sokongan mencukupi bagi menghalang undang-undang tersebut.
Perhitungan masa hadapan
Masalah-masalah ini mengehadkan daya tarikan kepada pembangkang malah melemahkannya.
Hasilnya, ketika kerajaan Anwar merenggangkan asas progresifnya, isu-isu dalaman pembangkang pula menjadi punca ia gagal memperluaskan sokongannya.
Dua tahun selepas pilihan raya umum 2022, pembangkang PN lebih lemah daripada sebelumnya, terutamanya Bersatu. Jika trend 2024 berterusan, impian PN untuk membentuk semula kerajaan semakin sukar dicapai.
Justeru itu, tidak hairanlah parti yang lebih kuat dalam PN kini sedang menilai semula hubungan mereka dalam gabungan itu.
Perkembangan terkini mencerminkan perhitungan dalam kalangan parti PN mengenai kepimpinan dan tekanan lebih besar dalam gabungan itu.
Bagi Malaysia secara keseluruhan, pembangkang yang lemah bermakna polarisasi politik akan terus berlaku dan kurang kemajuan ke arah reformasi yang diperlukan negara ini.
Seorang penyelidik bebas, Bridget Welsh merupakan rakan penyelidik kehormat di Institut Penyelidikan Asia Universiti Nottingham Malaysia di Kuala Lumpur dan Felo Bersekutu Kanan Pusat Habibie. Pandangan yang dinyatakan di sini merupakan buah fikiran beliau sendiri dan tidak mencerminkan pendirian Universiti Nottingham Malaysia, Pusat Habibie atau BenarNews.