Follow us

Bangkok, Pemberontak BRN Buka Lembaran Baharu dalam Proses Damai Selatan Thailand

Komentar oleh Don Pathan
Bangkok, Thailand
2020-02-07
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha (tengah) bertemu dengan para pegawai agama Islam semasa melawat Jawatankuasa Islam Narathiwat di Narithwat, sebuah wilayah di rantau sempadan yang bergolak di selatan Thailand, 20 Jan 2020.
Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha (tengah) bertemu dengan para pegawai agama Islam semasa melawat Jawatankuasa Islam Narathiwat di Narithwat, sebuah wilayah di rantau sempadan yang bergolak di selatan Thailand, 20 Jan 2020.
[AFP]

Kerajaan Thailand, setelah hampir 15 tahun mencuba, akhirnya berjaya membawa kumpulan pemberontak di selatan negara itu, Barisan Revolusi Nasional (BRN), ke meja rundingan.

Perunding Thailand dan anggota jawatankuasa hal ehwal luar BRN, gerakan pemisah bersenjata Melayu Patani yang sekian lama mengawal hampir semua pemberontak di lapangan, bersama-sama kumpulan pemberontak lain, telah bertemu di Kuala Lumpur bulan lepas untuk mengumumkan secara rasmi permulaan rundingan damai secara langsung.

Berbeza dengan inisiatif damai di selatan Thailand sebelum ini, pertemuan itu mendapat mandat daripada Dewan Pimpinan Parti (DPP) BRN, majlis ketua-ketua yang merupakan pemerintah rahsia pergerakan itu dan berfungsi lebih kepada pemimpin kerohanian berbanding komander tentera.

Anas Abdulrahman (juga dikenali sebagai Hipni Mareh), seorang bekas guru di Sekolah Thammawitaya Mulinithi dalam wilayah Yala, telah mengetuai delegasi BRN dalam pertemuan di Kuala Lumpur. Ia adalah sekolah yang sama di mana allahyarham Sapae-ing Baso – lelaki yang dipercayai pegawai Thailand yang merupakan pemimpin kerohanian kumpulan pemberontak itu – berkhidmat sebagai pengetua sebelum melarikan diri pada 2004 untuk mengelak daripada ditahan.

Hipni telah ditahan bersama-sama tujuh lagi guru agama ketika itu. Mereka telah dibenarkan diikat jamin pada 2007 sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan tentera ketika itu untuk memenangi hati dan minda rakyat. Hipni tidak menghadirkan diri di mahkamah,sebaliknya menyelinap merentasi sempadan untuk ke Malaysia, dan hanya membuat penampilan sulungnya di khalayak ramai dalam sidang akhbar susulan pertemuan di Kuala Lumpur pada lewat Januari.

Namun, meskipun mendapat sokongan DPP, perjalanan ke arah satu proses damai yang bermakna masih jauh.

Rantaian perintah BRN boleh berubah manakala sistem kawal dan perintahnya tidak pernah diuji. Mistik gerakan itu – yang membicarakan tentang kemerdekaan dan menyamakannya dengan kewajipan moral – telah membantu untuk terus menyalakan harapan penduduk di rantau itu dalam tahap tertentu.

Kesetiaan para pejuang BRN bergantung terutamanya kepada komander di lapangan masing-masing, dan bukan kepada pergerakan itu sendiri. Keadaan sedemikian adalah satu resepi yang memungkinkan perpecahan berlaku jika terdapat perselisihan pendapat mengenai perubahan besar dari segi dasar atau strategi.

Fasa kritikal

Sesungguhnya tempoh beberapa minggu akan datang adalah penting kerana pemimpin BRN cuba mewujudkan satu persefahaman dengan komander di lapangan mereka berkaitan keputusan terkini itu, yang merupakan keputusan paling penting sejak pemberontakan berdekad lamanya di selatan Thailand dihidupkan semula 16 tahun lalu.

Artef Sohko, pengerusi The Patani, sebuah kumpulan bertindak politik tempatan yang mempromosi hak untuk menentukan nasib sendiri bagi rantau sempadan di kawasan selatan, yang majoriti penduduknya beragama Islam dan bertutur dalam Bahasa Melayu, berkata BRN sepatutnya mencari naratif baharu sebelum mengambil bahagian dalam pertemuan bulan lepas.

Sejak lebih sedekad, BRN telah menyamakan usaha mendapatkan kemerdekaan untuk penduduk Patani dengan kewajipan moral.

“Nampaknya ini bukanlah isunya sekarang. Dan bagaimana mereka akan menjelaskannya [perkara itu] kepada para pejuang di lapangan?” kata Artef.

Pada sidang akhbar yang merupakan penutup pertemuan rasmi pertama itu, Hipni berkata kerajaan Thailand dan BRN sentiasa komited ke arah kedamaian dan telah mengadakan beberapa siri rundingan melalui pintu belakang sejak beberapa tahun lepas apabila rundingan damai rasmi menemui jalan buntu.

Bagaimanapun, beberapa kejadian baru-baru ini menceritakan kisah yang berbeza.

Hipni sengaja mengabaikan beberapa insiden keganasan termasuk yang membawa maut dan menyaksikan pejuang BRN menjejaskan pelbagai usaha damai serta pernah menolak pelawaan kerajaan Thailand untuk membawa pemimpin tegar kumpulan itu ke meja rundingan. Antaranya ialah insiden pengeboman pada 2 Ogos 2019 yang menggegar Bangkok semasa Thailand menjadi tuan rumah mesyuarat menteri-menteri luar ASEAN dan negara-negara lain.

Menurut sumber kedua-dua pihak yang berbeza pendapat politik, pengeboman itu merupakan amaran kepada pemudah cara Thailand dan Malaysia untuk berhenti mengganggu DPP untuk membawa mereka ke meja rundingan.

Mesej sama turut diberikan dalam bulan Januari 2019 apabila militan di wilayah Narathiwat membunuh dua sami Buddha di sebuah kuil dan empat penjaga sebuah sekolah awam selain seorang guru yang telah bersara berhampiran wilayah Songkhla.

Inisiatif damai Shinawatra


BRN tidak pernah memandang ringan idea untuk berunding secara bersemuka dengan kerajaan Thailand.

Pendirian keras itu telah ditunjukkan pada 30 Mac 2012, apabila tiga bom kereta telah meletup pada masa yang sama di sebatang jalan raya dalam wilayah Yala.

Sebutir bom turut meletup di tempat letak kereta bawah tanah di sebuah pusat membeli-belah di  Hat Yai, hab komersial di selatan Thailand yang berada di bahagian utara kawasan yang terjejas akibat konflik. Secara keseluruhan, sejumlah 13 orang maut dan kira-kira 200 cedera pada hari yang mengerikan itu.

Insiden itu berlaku dua minggu selepas 16 pemimpin pemisah Patani yang dibuang negeri bertemu dengan bekas pemimpin Thailand yang digulingkan dan kini dalam buruan,  Thaksin Shinawatra, abang kepada Perdana Menteri ketika itu, Yingluck Shinawatra.

BRN berasa terhina dengan alasan yang diberikan Thaksin; sebagai perdana menteri, beliau telah menyalahkan tentera Thailand bagi strategi anti-pemberontakan keras yang digunakan dan menuduh mereka memberikan maklumat yang salah kepadanya. Beliau telah menggesa semua pihak untuk melupakan peristiwa lalu dan meneruskan proses damai.

Selain menerima mesej sedemikian daripada  BRN – tanpa menyentuh kegagalan usaha untuk menyakinkan tentera Thailand – Yingluck meneruskan inisiatif abangnya dengan melancarkan proses damai pada Februari 2013, dengan Malaysia ditetapkan sebagai pemudah cara rasmi.

Wakil-wakil daripada pihak pemberontak termasuk individu yang mengaku dirinya sebagai anggota BRN seperti Hassan Bin Toyib, yang pihak keselamatan Thailand tersalah anggap sebagai orang dalam BRN yang tampil ke meja rundingan dengan restu penuh DPP.

Majlis pemerintah BRN sememangnya menghantar dua individu ke rundingan itu. Mereka termasuk Adam Muhammed Nur, yang ketika itu merupakan ketua hal ehwal luarnya, dan Abdul Karim Khalid, anggota penting sayap beliau.

Tentera Thailand tidak peduli sama ada inisiatif damai Yingluck berjaya atau sebaliknya; kerana ia tidak mengambil bahagian dalam memulakan dan merancang rundingan itu. Begitu juga dengan BRN.

Tahun berikutnya, iaitu pada Mei 2014, pihak tentera telah menggulingkan kerajaan Yingluck dalam rampasan kuasa tanpa sebarang pertumpahan darah. Para jeneral ketika itu mengambil masa yang panjang untuk memikirkan apa yang perlu dibuat dengan inisiatif damai beliau. Tidak mahu digelar sebagai sekumpulan tentera yang tidak mengimpikan kedamaian, kerajaan junta itu telah menubuhkan satu agensi pelbagai fungsi yang dinamakan Panel Dialog Keamanan dengan Majlis Keselamatan Negara sebagai pengeraknya.

Inisiatif damai junta adalah lebih “inklusif,” berbeza dengan cara Yingluck berurusan dengan BRN – sekurang-kurangnya dari segi nama.

Bagaimanapun, pendekatan baharu itu ternyata adalah tidak produktif. Ia memberikan alasan kepada BRN untuk menolak proses damai Bangkok atas alasan tidak satu pun peserta, terutama mereka yang berada dalam panel MARA Patani, penaung yang mewakili pelbagai puak pemberontak dalam rundingan itu, mempunyai pengaruh ke atas militan di lapangan.

Buat masa ini, status quo mungkin berterusan antara kedua-dua pihak. Para pejuang BRN akan meneruskan kempen keganasan mereka.

Bangkok, sebaliknya tidak kelihatan bersiap sedia untuk memberikan sebarang konsesi bermakna meskipun perbincangan dalam kalangan pembuat dasar kini menyentuh isu-isu penting seperti memberikan ruang yang lebih besar kepada budaya dan naratif sejarah orang Melayu Patani.



Don Pathan ialah seorang penganalisis keselamatan yang berpangkalan di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh