Follow us

2019 Saksikan Kegagalan Menentang Militan

Komentar oleh Zachary Abuza
2019-12-30
E-mel
Komen
Share
Rakyat Syria melihat runtuhan di tapak serangan yang diketuai Amerika Syarikat semasa memburu pemimpin Negara Islam (IS) Abu Bakr al-Baghdadi, berhampiran perkampungan Barisha, 28 Okt 2019.
Rakyat Syria melihat runtuhan di tapak serangan yang diketuai Amerika Syarikat semasa memburu pemimpin Negara Islam (IS) Abu Bakr al-Baghdadi, berhampiran perkampungan Barisha, 28 Okt 2019.
[AFP]

Gambaran keselamatan yang berkaitan dengan ekstremisme dan pemberontakan ganas di Asia Tenggara dan Asia Selatan menunjukkan banyak perubahan pada 2019.

Kebanyakan zon konflik menyaksikan menurunnya insiden keganasan selain beberapa jangkaan ancaman tidak berlaku. Tetapi, 2019 juga merupakan tahun di mana banyak peluang gagal dimanfaatkan.

Tidak ada negara yang memanfaatkan peluang daripada penurunan kadar keganasan itu untuk berusaha mencapai penyelesaian politik yang berkekalan.

Faktor luaran paling utama yang mempengaruhi keamanan serantau, jika boleh diperkatakan, adalah keputusan yang tidak dapat diperjelaskan oleh pentadbiran Trump untuk berhenti menyokong sekutu Kurdish di utara Syria, langkah yang mendorong berlakunya pencerobohan Turki. Pasukan keselamatan Kurdish berhenti mengawal beberapa kem penjara untuk Negara Islam (IS) yang menempatkan lebih daripada seratus militan Asia Tenggara dan ahli keluarga mereka.

Kebimbangan berhubung kepulangan beramai-ramai militan ke negara asal mereka di rantau itu tidak pernah berlaku tetapi sekurang-kurangnya 50 orang masih lagi bebas. Langkah mengawal ketat kepulangan rakyat oleh pasukan keselamatan Indonesia dan Malaysia telah dikendurkan pada pertengahan Disember apabila Malaysia mengadakan rundingan dengan Turki untuk membenarkan dua militan dari negaranya pulang bersama-sama beberapa anggota keluarga mereka.

Dalam pada itu, kebimbangan tentang Asia Tenggara bakal menjadi kubu utama baru untuk Negara Islam, tidak pernah berlaku. Mesej video daripada pemimpin IS Abu Bakr al-Baghdadi yang disebarkan pada April lalu juga tidak menyebut langsung tentang Asia Tenggara. Selepas kematiannya dalam satu serbuan oleh pasukan A.S. Oktober lalu, tiada serangan balas dilakukan di rantau itu. Walaupun Negara Islam mungkin mengguna model pemberontakan global, Asia Tenggara tetap menjadi medan sekunder bagi kumpulan pelampau.

Beberapa ahli kanan IS di Syria dan Iraq turut terbunuh pada 2019 termasuk Muhammad Saifuddin, Akel Zainal, dan Mohd Rafi Uddin. Sebarang arahan dan kawalan langsung antara sel-sel serantau dan pusat IS telah dihapuskan.

Namun, tamparan terbesar bagi Negara Islam adalah usaha bersepadu oleh Telegram dan media sosial lain untuk menutup akaun-akaun IS. Tindakan itu, yang mula dilaksanakan pada November 2019, nyata mengejutkan IS.

Sebagai sebuah organisasi yang terkenal kerana berupaya menggerakkan dan meradikalkan belia-belia secara dalam talian, sebahagian daripadanya kini tidak lagi bersuara. Ini menyebabkan kumpulan dan sel dalam organisasi itu dilanda kekacauan dan beroperasi sendirian tanpa sebarang kepimpinan dan bimbingan pusat.

Indonesia


Jamaah Ansharut Daulah (JAD), yang menyokong IS, tetap menjadi organisasi yang sangat utuh di seluruh Indonesia.

Polis Indonesia mencatatkan hanya lapan tindakan keganasan berkaitan dengan JAD pada tahun ini yang menyaksikan penurunan sebanyak 57 peratus berbanding pada 2018. Dan, beberapa serangan yang berlaku dapat ditangkis pihak berkuasa dengan lebih daripada 280 suspek militan telah ditahan pada 2019. Ini merupakan tahun pertama bagi polis Indonesia untuk menangkap suspek mengikut peraturan penahanan pencegahan dan peraturan lain susulan pindaan dalam undang-undang mencegah keganasan negara itu pada 2018.

Polis anti-keganasan elit, Densus 88, telah diperbesarkan sebanyak 50 peratus pada 2019 dan ditugaskan di setiap wilayah. Langkah ini nyata bijak kerana lapan suspek JAD, yang melarikan diri dari pulau Jawa yang dikawal ketat, telah merancang serangan di wilayah minoriti Islam, Papua, sebelum mereka dapat ditangkap semula awal bulan ini.

Pada tahun ini, Indonesia juga melancarkan unit anti-keganasan yang menimbulkan kontroversi dalam angkatan bersenjata Indonesia. Walaupun arahan presiden memberi mandat bahawa KOOPSUS yang mempunyai 500 anggota itu perlu menyelaraskan tindakan dengan polis nasional dan Badan Nasional Pencegahan Pengganas (BNPT), langkah perlindungan itu masih belum dapat melunturkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai memandangkan pihak tentera juga perlu berusaha untuk memperkukuhkan peranannya dalam pelbagai fungsi pentadbiran awam lain, yang diserahkan kepadanya sejak 1998.

Terdapat tiga arah aliran yang jelas dalam mencegah keganasan pada  2019:

Yang pertama ialah fokus JAD terhadap musuh berhampiran. Sejak dua tahun lalu, anggota JAD didapati terus menumpukan serangan mereka terhadap polis Indonesia.

Pada September lalu, polis menahan lapan suspek JAD yang merancang serangan bom bunuh diri di balai-balai polis di Bekasi. Pada November, seorang pengebom bunuh diri telah menyebabkan empat pegawai polis dan dua orang awam cedera dalam serangan di sebuah balai polis di Medan.

Polis Indonesia juga dapat menggagalkan rancangan besar untuk mengganggu pilihan raya presiden: Polis memusnahkan lima sel berasingan, menahan lebih daripada 30 suspek (termasuk seorang pembuat bom utama JAD) dan merampas 11 bom buatan sendiri.

Walaupun ada yang dapat menyimpulkan bahawa cubaan pembunuhan Wiranto, menteri keselamatan Indonesia, oleh militan JAD adalah satu lagi langkah strategik untuk menumpukan perhatian kepada musuh berdekatan, namun bukti setakat ini menunjukkan bahawa sasaran itu adalah satu daripada peluang yang ada. Tiada bukti menunjukkan JAD merancang kempen pembunuhan yang menyasarkan pegawai kerajaan.

Arah aliran kedua adalah kebangkitan semula Jemaah Islamiyah.

JI tidak lagi berfungsi sebagai pertubuhan militan sejak 2011 tetapi telah diberi ruang yang mencukupi untuk berkumpul semula, menjalankan organisasi kebajikan sosial, menubuhkan syarikat penerbitan serta mengendalikan rangkaian masjid dan madrasah.

Kerajaan yakin bahawa pertubuhan itu telah mehentikan kegiatan keganasan tetapi penangkapan ketuanya, Para Wijayanto, pada Jun lalu menjadi peringatan bahawa tempoh berkenaan merupakan taktik untuk melalaikan yang dilakukan JI. Penangkapan Para juga mendedahkan tentang aliran dana yang menjadi bukti ketara bahawa pertubuhan itu sedang bersiap sedia untuk meneruskan operasi militan.

Arah aliran terakhir adalah usaha berterusan oleh Mujahidin Indonesia Timur (MIT) yang dikaitkan dengan IS untuk berkumpul semula. Walaupun kumpulan itu telah dimusnahkan oleh pasukan keselamatan sejak 2014, serangan berterusan menunjukkan dengan jelas bahawa kumpulan itu sedang berusaha untuk kembali bangkit.

Malaysia


Tiada serangan pengganas di Malaysia pada 2019 tetapi tahun itu menyaksikan peningkatan tangkapan militan berkaitan IS.

Namun, yang menjadi kebimbangan adalah negeri Sabah di Malaysia Borneo, kawasan yang menjadi pusat transit utama bagi para pejuang asing yang bergerak masuk dan keluar dari selatan Filipina yang terletak berhampiran.

Mereka yang ditangkap adalah termasuk lebih daripada 12 ahli  Kumpulan Abu Sayyaf, yang terus melakukan penculikan maritim di perairan Malaysia. Pasukan keselamatan Malaysia dapat menggagalkan beberapa cubaan penculikan di Sabah oleh ahli bersenjata Kumpulan Abu Sayyaf.

Selain daripada ancaman pengganas tempatan dalam negaranya, Malaysia masih menjadi pusat transit bagi militan. Polis telah menahan tujuh suspek ahli al-Qaeda yang terdiri daripada enam rakyat Mesir dan seorang Tunisia.

Malaysia sedang berusaha untuk membawa pulang kira-kira 50 rakyatnya, yang kini ditahan di Iraq dan Syria. Malaysia juga yakin dengan program pemulihan pengganas yang dilaksanakannya untuk mereka yang dipenjarakan, dan menyatakan tahap mereka mengulangi perbuatan itu adalah rendah.

Malaysia juga menjadi tumpuan antarabangsa apabila ia membebaskan Yazid Sufaat, ketua yang menghasilan anthrax al-Qaeda, selepas dia menamatkan hukuman penjara terbarunya. Walaupun dia kini bebas, bekas kapten tentera yang belum insaf itu terbatas dari segi pergerakannya, sukar bertemu orang yang mahu ditemuinya dan akses terhad kepada internet.

Walaupun ia berjanji dalam kempen pilihan raya umumnya, namun kerajaan Pakatan Harapan masih belum memansuhkan Akta Pencegahan Keganasan.

Filipina

Pada 2019, Filipina menyaksikan kejayaan dan kegagalan dalam banyak cabaran keselamatan dalam negaranya.

Di samping itu, pelaksanaan proses damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dapat diteruskan tanpa sebarang halangan besar. Susulan dua pungutan suara, Wilayah Autonomi Bangsamoro Mindanao Islam ditubuhkan secara rasmi pada Februari 2019, dengan ditadbir oleh kerajaan peralihan sementara sehingga pilihan raya diadakan pada pertengahan 2020.

Kerajaan sementara itu sedang berusaha bertapak dengan melakukan peralihan daripada menjadi pemberontak kepada pentadbir. Apa yang penting, mereka dapat melakukannya walaupun terdapat cabaran daripada pelbagai pertubuhan yang bersaing dengannya, yang kesemuanya telah berikrar setia kepada Negara Islam termasuk Abu Sayyaf, Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF) dan Negara Islam Lanao (Kumpulan Maute) .

BIFF meneruskan kegiatan mereka dengan melakukan pengeboman sekali sekala bagi menjejaskan keyakinan dalam proses damai. Kumpulan Maute pula terus menunjukkan hasrat mereka untuk kembali bersatu setelah ditewaskan pada akhir 2017 dalam pertempuran Marawi, yang menyaksikan pertempuran tahap rendah.

Abu Sayyaf juga terus menjadi ancaman terbesar kepada keselamatan. Dengan diketuai Hatib Hajan Sawadjaan di Sulu dan Furuji Indama di Basilan, mereka telah memimpin batalion Negara Islam itu di Filipina berikutan kematian Abu Dar pada Mac 2019.

Kedua-duanya telah meningkatkan taktik pengeboman bunuh diri, yang kadarnya meningkat pada 2019.

Pada Januari, sepasang suami isteri rakyat Indonesia telah mengebom diri mereka dalam sebuah gereja di Jolo yang menyebabkan 23 orang terbunuh dan mencederakan lebih 100 orang yang lain. Pada Jun pula, dua lelaki termasuk pengebom bunuh diri rakyat Filipina yang pertama, telah meledakkan bom yang dipasang pada tubuh mereka di luar kem tentera di Sulu yang menyebabkan lima orang termasuk diri mereka terbunuh dan mencederakan 22 orang yang lain.

ASG, yang tidak aktif selama 18 bulan, kembali meneruskan kegiatan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan serta melakukan semula operasi maritim. ASG menculik seorang warganegatra Britain dan isterinya yang merupakan rakyat Filipina manakala seorang rakyat Belanda yang ditahan oleh kumpulan itu telah terbunuh dalam satu pertempuran.

Sementara itu, kerajaan Filipina terus menghindari perbincangan damai dengan Parti Komunis Filipina di mana Tentera Rakyat Baru (NPA) pimpinannya beroperasi di seluruh negara, walaupun tahun 2019 menyaksikan peningkatan operasi di kepulauan Negros dan Samar. NPA juga meningkatkan operasi mereka di Mindanao.

Thailand

Keganasan di wilayah-wilayah Selatan Thailand yang diduduki majoriti Muslim terus menurun pada 2019. Bagaimanapun, para pemberontak melakukan satu-satunya serangan maut dalam tempoh beberapa tahun ini yang menyebabkan 15 orang terbunuh dan mencederakan tiga yang lain dalam serangan serentak di pos-pos kawalan keselamatan di Yala. Walaupun demikian, keganasan di wilayah sempadan selatan negara ini berada pada paras paling rendah sejak 2004.

Menurunnya insiden keganasan adalah perkembangan positif tetapi, secara bandingannya, ia mungkin memberi kesan dari segi memanjangkan lagi konflik. Kerajaan kini dapat bersuara dalam proses damai tanpa perlu meletakkan harga kepada keluhan masyarakat etnik Melayu itu.

Kerajaan yang disokong pihak tentera, yang memegang tampuk kuasa selepas pilihan raya pada Mac lalu, tidak akan bertolak ansur dengan sebarang cabaran yang menggugat kesatuan negara Thailand. Malah, pada Oktober lalu, Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) mendakwa 12 ahli politik pembangkang dan ahli akademik kerana mengadakan satu persidangan di mana mereka membincangkan cadangan bagi mendapatkan autonomi wilayah.

Rungutan paling utama kekal berkisar kepada kawalan ketat oleh pasukan keamanan.

Pada Ogos lalu, seorang suspek militan meninggal dunia selepas apa yang dikatakan berpunca daripada komplikasi akibat kekurangan oksigen secara berterusan semasa ditahan pihak tentera. Pihak tentera telah menafikan sebarang salah laku dan kamera litar tertutup di dalam bilik tahanan itu dan bilik soal siasat pula tidak berfungsi.

Kepimpinan tentera berjanji melakukan penyiasatan penuh tetapi setakat ini, tiada pendakwaan yang dibuat dan pihak tentera nampaknya semakin menghampiri tempoh akhir. Pada Disember, sebuah unit keselamatan kerajaan telah menembak mati tiga pembalak yang tidak bersenjata di wilayah Narathiwat, selepas meyangka mereka pemberontak. Dalam kes yang jarang berlaku itu, dua anggota unit itu telah didakwa dengan pertuduhan membunuh.

Dalam perkembangan lain di Thailand, pengeboman pada 2 Ogos lalu yang berlaku di Bangkok semasa sidang kemuncak ASEAN masih belum diselesaikan. Polis telah menahan suspek Melayu Muslim dari Selatan Thailand tetapi kerajaan tidak memberikan sebarang bukti kukuh sama ada ia berkaitan dengan pemberontakan, dan, jika ya, apa yang akan diperoleh oleh para pemberontak Melayu daripada serangan yang dilakukan itu.

Bangladesh/Myanmar

Konflik Rohingya masih belum diatasi sepenuhnya dengan  Aung San Suu Kyi, selaku bekas penerima Hadiah Nobel, tetap mempertahankan tentera dan kerajaannya di mahkamah di The Hague selepas didakwa dengan pertuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya.

Kerajaan Bangladesh dan Myanmar juga mengadakan pertemuan untuk memudahkan kepulangan beberapa etnik Rohingya tetapi tanpa sebarang perlindungan undang-undang, apatah lagi kewarganegaraan, tiada etnik Rohingya yang mahu pulang secara sukarela.

Sementara itu, kerajaan Bangladesh berdepan kepayahan untuk mengendalikan lebih 1 juta pelarian Rohingya, dan sama ada menempatkan mereka di sebuah pulau yang mudah dilanda taufan. Tiada sebarang kemajuan dilihat dalam usaha menghantar pulang etnik Rohingya sebelum pilihan raya Myanmar pada 2020. Walaupun begitu, proses kemajuan pada skala kecil mungkin berlaku.

Dengan kebimbangan pertubuhan jihad merentas sempadan mengambil alih perjuangan etnik Rohingya tidak menjadi kenyataan, konflik itu terus meningkat sehingga memungkinkan berlakunya keganasan. Malaysia menahan sekurang-kurangnya tiga orang pada 2019 kerana disyaki mempunyai hubungan dengan Arakan Rohingya Solidarity Army.

Kesimpulan


Walaupun keganasan berkaitan pengganas dan pemisah menurun di seluruh rantau ini pada 2019, kerajaan tidak melakukan banyak usaha untuk mencari penyelesaian politik berpanjangan bagi menamatkan  konflik yang berlaku sejak sekian lama.

Keluhan ramai masih belum dapat ditangani dan konflik yang berlaku boleh membawa kepada kemusnahan. Tiadanya keganasan bukan bermaksud adanya keamanan.

Dan malangnya, beberapa kerajaan telah membuat dasar yang boleh meningkatkan lagi ketegangan dengan penduduk minoriti mereka. Sebagai contoh, Malaysia cuba menentang naratif jihad dengan meneruskan langkah-langkah pengislaman, yang membangkitkan bantahan kaum minoriti Cina dan India.

Di Filipina, undang-undang yang memeritkan oleh pentadbiran Duterte boleh memberi kesan kepada sumber-sumber perundangan dalam melaksanakan pengadilan. Dan akhirnya, pemberontakan yang berlaku adalah berkaitan dengan tadbir urus, yang dilihat semakin lemah di Filipina.

Pada dasarnya, kekebalan pasukan keselamatan di seluruh rantau ini, yang terus menguasai pihak berkuasa dan sumber perundangan baru, boleh memberi tindak balas yang tidak diingini.

Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian di rantau ini pada tahun mendatang adalah bagaimana kumpulan militan menangani nasib etnik lain seperti Rohingya di Myanmar dan Uyghur di China. Walaupun kerajaan Malaysia dan Indonesia sedikit sebanyak menutup keburukan tentang penindasan bersistematik China dan penahanan hampir 2 juta orang Uyghur Muslim di wilayah Xinjiang, banyak kumpulan masyarakat telah bertindak meningkatkan aktiviti mereka bagi menunjuk penentangan terhadap China.

Zachary Abuza adalah seorang profesor di Kolej Perang Nasional di Washington dan merupakan pengarang “Forging Peace in Southeast Asia: Insurgencies, Peace Processes, and Reconciliation.”  Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangannya sendiri dan bukannya pendapat atau dasar Jabatan Pertahanan A.S, Kolej Perang Nasional atau BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh