Perunding Thailand Mahu Libatkan Semua Kumpulan Pemberontak Dalam Rundingan Damai Selatan

Komentar oleh Don Pathan
2019.12.03
Bangkok, Thailand
191203-TH-Narathiwat-temple-1000.JPG Pegawai-pegawai polis tentera menyiasat kejadian beberapa lelaki bersenjata menembak mati dua sami Buddha dan mencederakan dua yang lain di sebuah kuil di Sungai Padi dalam wilayah Narathiwat yang bergolak di Selatan Thailand, 19 Januari 2019.
[Reuters]

Ketua perunding Thailand yang baru bagi rundingan damai dengan pemberontak Selatan Thailand telah menyuarakan tekadnya untuk menamatkan konflik pemisah yang berlanjutan sekian lama di wilayah sempadan negara itu semasa beliau memperkenalkan dirinya dan pasukannya kepada komuniti antarabangsa pada minggu lalu.

Wanlop Rugsanaoh tidak menamakan Barisan Revolusi Nasional (BRN) iaitu kumpulan pemberontak Melayu Patani yang mengawal hampir kesemua pejuang di pihak pemberontak. Tetapi, pasukannya berhasrat untuk mengadakan perbincangan dengan semua kumpulan pemisah bersenjata terutamanya yang boleh mempengaruhi keadaan di lapangan, kata jeneral tentera bersara dan bekas ketua Majlis Keselamatan Negara itu dalam sidang berita di Bangkok pada Jumaat.

Melibatkan pemberontak Selatan dalam rundingan damai itu adalah sebahagian daripada agenda nasional,  kata Wanlop kepada wartawan. Nada ucapannya nyata berbeza dengan komen yang dibuat oleh ketua tentera Thailand, Jeneral Apirat Kongsompong, dan para pegawai kerajaan yang lain tentang bagaimana Bangkok harus menangani konflik di selatan.

Perunding utama itu bercakap tentang pentingnya martabat manusia, berkompromi dan menghormati perbezaan ketika beliau membentangkan pendekatannya dalam menyandang jawatan baru itu, manakala Apirat sebaliknya bersuara tegas dengan menyarankan supaya dihapuskan para pemberontak Selatan dengan apa cara sekali pun.

Gelombang keganasan yang berkaitan dengan pemberontakan di wilayah sempadan Selatan Thailand itu, yang majoriti penduduknya adalah Muslim dan berbahasa Melayu, meletus pada awal tahun 2004 dan telah mengorbankan lebih daripada 7,000 nyawa.

Banyak inisiatif damai yang telah dilaksanakan namun tiada satu pun yang benar-benar berjaya kerana kumpulan pemisah paling utama iaitu BRN enggan menyertai meja rundingan.

"Kita boleh belajar daripada peranan masa lalu dan mengambil iktibar daripada kegagalan rundingan itu. Cara terbaik adalah dengan mengadakan pertemuan dengan orang yang betul supaya kami dapat menyelesaikan masalah dengan cara yang sepatutnya," kata Ketua Agensi Perisikan Negara, Thanakorn Buaras, yang merupakan seorang daripada empat ahli panel yang menghadiri sidang berita di Kelab Koresponden Luar Negeri Thailand pada Rabu.

Berikutan itu, inisiatif damai yang dilaksanakan di Selatan Thailand sejak 15 tahun lalu dilihat sekadar menjadi proses melakukan cubaan dan kesilapan.

Dari Proses Langkawi sehinggalah kepada inisiatif Berlin, kerajaan Thailand dan pemberontak Melayu Patani saling bersemuka di pelbagai bandar di sekitar Asia Tenggara dan Eropah.

Kebanyakan daripada perbincangan itu tidak didedahkan kepada umum. Dan bagi mencaturinya dengan selamat, mereka yang terlibat dengan inisiatif damai itu sering melabelkan perbincangan tersebut sebagai "pra-rundingan."

Inisiatif damai berlalu pergi

Satu daripada sebab mengapa tiada satu pun inisiatif damai yang dapat menarik perhatian adalah kerana pihak kerajaan Thailand tidak bersedia untuk mencapai kata sepakat.

Sudah semestinya, rundingan itu dilancarkan pada Februari 2013 oleh kerajaan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra, setelah Bangkok memberi mandat kepada Kuala Lumpur untuk "mempermudahkan" usaha itu.

Inisiatif Yingluck nyata menghasilkan banyak keterujaan. Ini kerana buat pertama kalinya kerajaan Thailand menyuarakan secara terbuka bahawa ia akan berbincang dengan para pemberontak dan menyelesaikan konflik melalui saluran politik.

Namun, ia tidak mengambil masa yang lama untuk menyedari bahawa inisiatif Yingluck adalah sesuatu di antara penipuan dan lonjakan kepercayaan. Pertama sekali, keseluruhan proses penubuhannya dijalankan tanpa pengetahuan pihak tentera Thailand atau adanya penyertaan BRN. Secara ringkasnya, ia telah pun gagal sejak dari mula lagi.

Rampasan kuasa yang dilaksanakan pula telah menggulingkan Yingluck pada Mei 2014, dan selepas itu, kerajaan tentera enggan menyambung rundingan berkenaan. Jeneral Aksara Kerdpol, ketua staf tentera yang bersara, dilantik sebagai perunding utama Thailand dan Malaysia meneruskan peranannya sebagai fasilitator rasmi.

Kuala Lumpur membantu menyusun organisasi induk yang terdiri daripada pergerakan pemisah lama, dengan beberapa daripadanya muncul semasa gelombang pemberontakan berlaku pada 1960-an tetapi berkubur pada akhir 1980-an dan awal 1990-an.

Seperti mana inisiatif Yingluck, MARA Patani juga tidak disertai oleh pemimpin BRN yang mengawal para pejuang kumpulan itu. BRN tidak melihat inisiatif itu sebagai proses yang boleh dipercayai.

Pada akhir 2018, Aksara digantikan pula oleh Jeneral Udomchai Thamsarorat, seorang lagi jeneral bersara yang menghabiskan kebanyakan kerjaya profesionalnya di Wilayah Tentera Keempat iaitu pemerintah yang mengawasi Selatan Thailand.

Satu daripada usaha awalnya adalah dengan menggugurkan projek perintis Zon Selamat yang dirancang Aksara. Beliau tahu MARA Patani tidak dapat melaksanakan komponen gencatan senjata itu kerana bukan mereka yang mengawal pemberontak di lapangan, dan BRN, kumpulan yang berbuat demikian, pula tidak mahu menyokong sesuatu yang akan meningkatkan legitimasi sebuah kumpulan lain tanpa mendapat sebarang ganjaran balasan.

Sejak dari mula lagi, Udomchai telah mendekati seberapa ramai orang yang boleh termasuk ahli komuniti antarabangsa untuk mendapatkan nasihat tentang bagaimana memajukan lagi rundingan itu.

Keputusan Udomchai untuk meminta pertolongan daripada NGO luar negeri bagi mendekati majlis kepimpinan BRN telah membangkitkan rasa kurang senang beberapa pegawai dalam sekretariat fasilitator Malaysia kerana mereka tidak pernah dirujuk. Oleh itu, perbuatan itu dilihat sebagai pelanggaran protokol.

Kerajaan Thailand pula suka menarik perhatian dengan menyatakan bahawa jumlah kejadian ganas di Selatan Thailand menurun dengan mendadak berbanding semasa waktu kemuncaknya pada 2007.

Tetapi, BRN telah menunjukkan bahawa mereka boleh mencetuskan  keganasan di Selatan Thailand pada bila-bila masa sahaja. Inilah yang berlaku apabila dua sami Buddha dan lima pekerja sekolah awam dibunuh pada Januari tahun ini. Baru-baru ini, serangan berganda dilakukan pada awal November hingga menyebabkan 15 orang terkorban dengan kebanyakan mereka adalah sukarelawan pertahanan kampung dan anggota polis di Lam Phaya, sebuah daerah kecil dalam wilayah Yala.

Peraturan di kawasan paling selatan Thailand itu menetapkan supaya  pegawai-pegawai tempatan tidak harus diganggu selagi mereka tidak melangkaui batasan untuk menjadi sebahagian daripada aparatus keselamatan kerajaan. Namun, tidak jelas batasan apakah, sekiranya ada, yang telah dilangkaui oleh 15 mangsa di Lam Phaya.


Don Pathan ialah penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.