Pasukan perunding Thailand, BRN bersedia sambung semula rundingan damai

Kerajaan boleh meminta gencatan senjata semasa Ramadan kerana kedua-dua pihak kelihatan bersedia untuk memperbaharui perbincangan.
Komentar oleh Don Pathan
2024.02.01
Bangkok, Thailand
Pasukan perunding Thailand, BRN bersedia sambung semula rundingan damai Saudara-mara mangsa mengambil bahagian dalam upacara memperingati ulang tahun ke-19 insiden Tak Bai 2004 yang menyaksikan berpuluh-puluh penunjuk perasaan mati lemas dalam trak tentera di Tak Bai, wilayah Narathiwat di selatan Thailand, 25 Okt 2023.
[Madaree Tohlala/AFP]

Rundingan peringkat tinggi antara pegawai Thailand dan wakil kumpulan pemberontak Barisan Revolusi Nasional dijadual disambung semula minggu depan di Kuala Lumpur selepas kira-kira setahun terhenti iaitu semasa Thailand sibuk dengan pilihan raya umum 2023 diikuti urusan dalaman selama beberapa bulan.

Pasukan perunding Thailand dan BRN, puak pemisah yang sekian lama mengawal hampir semua pejuang di wilayah selatan negara itu yang penduduknya bertutur Bahasa Melayu, dijangka terus mencari titik persamaan dalam tiga perkara – perundingan awam, pengurangan keganasan dan penyelesaian politik untuk menoktahkan konflik tersebut.

Dalam pusingan rundingan sebelum ini yang terhenti pada Februari 2023, BRN meminta wakilnya dibenarkan memasuki wilayah sempadan selatan Thailand - kawasan yang menjadi pertikaian - untuk menjalankan perundingan awam secara peribadi.

Bagaimanapun, rancangan itu dibantah keras oleh Tentera Thailand kerana para pemimpinnya takut akan mimpi ngeri dari segi perhubungan awam. Limpahan sokongan kepada perwakilan BRN daripada penduduk tempatan akan memusnahkan naratif lama kerajaan Thailand bahawa orang Melayu Patani bersama wilayah Thailand itu.

Kedua-dua pihak masih belum mencapai kata sepakat dengan format itu.

Kerajaan Thailand mahu semua pihak – pasukan perunding Thailand, BRN dan pengantara Malaysia - menghadiri setiap mesyuarat di bawah platform perundingan awam manakala pemberontak menegaskan bahawa perkara itu hanya boleh berlaku selepas tahap keselesaan tertentu dicapai dalam isu tersebut.

Sebelum itu berlaku, ketiga-tiga pihak berkepentingan di meja rundingan harus menjalankan perundingan masing-masing secara individu, demikian menurut pandangan BRN.

02 Pathan-column.jpg

Chatchai Bangchuad (kiri), ketua perunding baharu kerajaan Thailand bagi rundingan damai Selatan Thailand, bertemu dengan fasilitator Malaysia Zulkifli Zainal Abidin dalam gambar tidak bertarikh ini. [Ihsan Majlis Keselamatan Negara Thailand]

Pengurangan keganasan

Perjanjian pemberhentian permusuhan, atau COHA, agak rumit kerana sesetengah ahli BRN melihatnya sebagai satu bentuk menyerah kalah. Mereka menegaskan bahawa COHA mestilah dilakukan secara beransur-ansur atau keupayaan ketenteraan BRN akan hilang.

Selain tiga perkara yang telah dibincangkan sejak sekian lama, pihak Thailand juga dijangka meminta BRN bersetuju dengan gencatan senjata semasa Ramadan akan datang - bulan puasa umat Islam – yang dijangka bermula dari 10 Mac hingga 9 April.

Sebelum ini, kedua-dua pihak mengadakan gencatan senjata semasa bulan suci umat Islam itu pada 2022. Bangkok menganggap ia sebagai satu kejayaan besar dan berhasrat untuk meneruskannya.

BRN menambah 10 hari lagi sebagai tanda muhibah kepada penduduk beragama Buddha di wilayah selatan dengan melanjutkan gencatan senjata ke Visaka Bucha pada tahun itu.

Bagaimanapun, beberapa hari selepas gencatan senjata berakhir, puak pemisah melancarkan beberapa siri serangan ganas, mengingatkan semua pihak bahawa tiada perkara mudah dalam konflik yang berlarutan yang setakat ini telah meragut lebih 7,300 nyawa sejak pemberontakan kembali tercetus pada Januari 2004.

Menjelang Ramadan 2023, kerajaan Thailand tidak dapat meneruskan perjanjian serupa, sebahagiannya kerana Bangkok tidak mampu memenuhi permintaan BRN untuk membenarkan kehadiran pasukan pemantau antarabangsa. Selain itu, kedua-dua pihak telah memasuki mod jeda susulan pilihan raya umum.

Tidak jelas sama ada kata sepakat boleh dicapai pada Ramadan tahun ini yang kurang daripada enam minggu lagi.

Namun BRN dijangka mengulangi syarat serupa untuk gencatan senjata dan menggesa pembebasan sejumlah banduan yang tidak ditentukan. Sekiranya ini berlaku, ia akan menjadi satu ujian kepada kerajaan Thailand kerana Kementerian Kehakiman perlu menyatakan pendirian berhubung isu itu.

Perkara ketiga

Penyelesaian politik - perkara ketiga di meja rundingan - adalah cabaran terbuka. Bagaimanapun, Thailand nampaknya telah mendahului kerana kedua-dua pihak bersetuju ia mesti dilaksanakan dalam lingkungan Perlembagaan negara itu di bawah prinsip di sebalik negara kesatuan Thailand.

Tiga perkara itu digariskan dalam Pelan Komprehensif Bersama ke arah Keamanan (JCPP), yang dipanggil pelan hala tuju. Garis masa yang dijangka dipersetujui ialah menjelang April walaupun rundingan mengenai teks pelan hala tuju ini sedang dalam proses.

Selain itu, isu hangat bagi BRN ialah sama ada ia bersedia menerima penyelesaian dalam bentuk yang kurang daripada kemerdekaan sepenuhnya.

Memandangkan ahli BRN telah menyatakan kesediaan mereka untuk merundingkan perkara ketiga di bawah Perlembagaan negara dan selaras dengan prinsip yang mendasari negara kesatuan Thailand, ramai pemerhati termasuk para pejuang, menyifatkan langkah itu sebagai kesediaan untuk berkompromi bagi sesuatu yang kurang berbanding kemerdekaan sepenuhnya.

Ini boleh menjadi bencana kepada BRN jika para pejuangnya menentang idea itu.

Pasukan perunding Thailand akan diketuai oleh Chatchai Bangchuad, Timbalan Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (NSC). Beliau adalah orang awam pertama yang memecah tradisi kerana ketua perunding terdahulu ialah jeneral Tentera Darat.

Chatchai telah melibatkan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), sebuah badan kerajaan berbilang agensi yang memfokus kepada pembangunan di wilayah yang dipertikai, dalam barisan perunding. Ini menunjukkan bahawa agensi di wilayah Selatan dan rundingan damai perlu bergerak seiring.

Ketua perunding sebelum ini, termasuk Jeneral Udomchai Thamsarorat, telah menggesa pertubuhan masyarakat sivil (CSO) untuk berkhidmat sebagai interlokutor dalam proses damai namun tidak semestinya diberi tempat di meja rundingan.

Cadangan itu tidak pernah diberi peluang untuk menjadi kenyataan apabila Udomchai mengambil alih jawatan dalam Senat Thailand.

Hari ini, sebarang syor yang mengulangi cadangan Udomchai mungkin dibantah serta-merta kerana lebih 43 pemimpin CSO Melayu Patani di bahagian selatan telah dituduh oleh tentera dan polis Thailand mempromosikan ideologi puak pemisah sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Sementara itu, pemimpin belia menuduh pihak berkuasa melakukan gangguan serta intimidasi dan berkata mereka sepatutnya boleh berbicara mengenai "hak-hak bagi menentukan nasib sendiri" sebagai perkara prinsip di sebalik kebebasan bersuara. Sebaliknya BRN tertekan kerana perlu menyatakan pendirian terhadap dakwaan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.