Follow us

Tiada Keadilan, Tiada Keamanan di Selatan Thailand

Komentar oleh Don Pathan
Yala, Thailand
2018-08-16
E-mel
Komen
Share
Umat Islam, anggota polis dan tentera Thailand mengadakan perhimpunan di luar sebuah masjid di Narathiwat bagi membantah kejadian menembak mati seorang wanita dan anak perempuannya dua hari sebelum itu, 13 Ogos 2018.
Umat Islam, anggota polis dan tentera Thailand mengadakan perhimpunan di luar sebuah masjid di Narathiwat bagi membantah kejadian menembak mati seorang wanita dan anak perempuannya dua hari sebelum itu, 13 Ogos 2018.
AFP

Hujung minggu lalu, seorang wanita dan anak perempuannya ditembak mati ketika mereka dalam perjalanan pulang dari pasar lambak di daerah Bacho, Narathiwat, satu daripada tiga wilayah selatan Thailand yang bergolak dengan serangan pemberontak sejak 14 tahun lalu.

Dengan membonceng motosikal di belakang mereka, lelaki bersenjata itu melepaskan dua tembakan menyebabkan motosikal ditunggang wanita itu dan anak perempuannya terbabas ke dalam parit. Lelaki itu kemudian menuju ke arah mereka dan melepaskan dua lagi tembakan di kepala mangsa sebelum bergegas meninggalkan tempat kejadian dengan motosikal, cincin dan gelang emas mereka. Kedua-dua mangsa itu adalah penganut Buddha.

Daerah kecil itu, Tambon Palukasamo, juga menyaksikan satu lagi pembunuhan beberapa minggu lalu iaitu pada 18 Julai apabila  seorang lelaki bersenjata yang bersembunyi di sebalik semak belukar menembak sebuah trak pikap dengan senapang automatik M16. Pemandu trak itu mati di tempat kejadian tetapi penumpangnya selamat walaupun terkena tembakan di perutnya. Trak itu kemudian terbabas ke sebuah kolam kecil. Kedua lelaki berkenaan adalah Muslim.

Pada 11 Ogos, hari yang sama di mana seorang wanita dan anak perempuannya dibunuh, kira-kira 50 kilometer (31 batu) utara di daerah Panare, wilayah Pattani, seorang renjer separa tentera  ditembak mati oleh penembak hendap yang melepaskan lima tembakan dari jarak kira-kira 100 meter.

Ketika kejadian, mangsa sedang melakukan tugas hariannya - menghidupkan dan mematikan suis lampu di pondok yang terletak di luar pangkalan tenteranya.

Pada hari yang sama, pasukan ordinan tentera ditugaskan untuk mematikan sebutir bom seberat 5 kilogram di sebuah tapak pesta di daerah Tung Yang Daeng, wilayah Pattani. Risalah ditebarkan bagi meminta penduduk kampung supaya menjauhkan diri daripada tapak pesta itu namun tiada penjelasan lanjut diberikan.

Dalam perkara ini dan kebanyakan kes lain, polis membuat kenyataan umum mengenai keganasan di wilayah itu dengan sering menyalahkan pihak pemisah. Mereka juga tidak memberikan maklumat lanjut.

Barisan Revolusi Nasional (BRN), pergerakan pemisah lama yang mengawal hampir semua pejuang di medan, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan untuk mengesahkan atau menafikan terlibat dalam kejadian tertentu.

Tidak ada saksi yang tampil, mungkin kerana takut menerima tindakan balas daripada pemberontak selain tiada yang percaya bahawa pasukan keselamatan dapat memberi mereka perlindungan yang diperlukan sekiranya mereka menjadi saksi negara.

7,000 maut

Setakat ini, gelombang pemberontakan masa ini telah mengorbankan hampir 7,000 nyawa sejak Januari 2004. Tetapi, kehidupan diteruskan dengan penganut Buddha dan penduduk Melayu Islam tempatan berinteraksi setiap hari dengan mencari titik persamaan.

Walaupun ada kalanya mereka berdepan waktu tidak menyenangkan  antara mereka, hubungan masyarakat di wilayah yang menjadi tuntutan  bersejarah itu masih utuh. Di kedai-kedai yang menjual sarapan dan kedai-kedai teh,  etnik Thailand, Cina dan Melayu dilihat duduk bersama-sama dan berbual tentang harga rendah buah-buahan serta gelombang panas.

Polis memberitahu bahawa mereka sedang menyiasat kes pembunuhan ibu dan anak perempuannya  yang ditembak di kepala pada jarak dekat pada siang hari di sebuah jalan kampung.

Mereka tidak menolak motif pembunuhan itu kemungkinan  berkaitan dengan pertikaian atau samun.

Berdasarkan cara kedua-dua mangsa itu dibunuh, pembunuhnya dilihat terpaksa bersusah payah hanya untuk mendapatkan motosikal, gelang dan cincin.

Dan, jika keadaan 14 tahun lalu menjadi petunjuk, peluang untuk mendapatkan keadilan pastinya tipis. Kes-kes jenayah di pedalaman Selatan Thailand juga banyak yang tidak dapat diselesaikan.

Maklumat yang diperoleh amat sedikit, kebenarannya adalah relatif, dan nyawa sememangnya murah.

Bagi menamatkan pemberontakan yang berlarutan beberapa dekad lamanya yang menyebabkan keganasan terus berlaku di pedalaman Selatan Thailand, para pegawai berkenaan sibuk dengan perkara lain di Kuala Lumpur dan Bangkok.


Don Pathan ialah seorang perunding dan penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh