Adanya Sinar Harapan Buat Selatan Thailand Selepas Gencatan Senjata Berpanjangan

Komentar oleh Don Pathan
2022.05.16
Yala, Thailand
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Adanya Sinar Harapan Buat Selatan Thailand Selepas Gencatan Senjata Berpanjangan Seorang kanak-kanak menerima ‘duit raya’ selepas solat sunat di masjid Yayasan Pusat Islam Thailand sempena sambutan Aidilfitri, yang menandakan berakhirnya bulan suci Ramadan, di Bangkok, 2 Mei 2022.
[AFP]

Adanya sinar harapan buat wilayah di selatan Thailand: Gencatan senjata telah dilaksanakan sejak 1 April tanpa mencetuskan sebarang konfrontasi ganas di antara tentera kerajaan dan pasukan pemberontak.

Para pemerhati berkata gencatan senjata itu, yang diumumkan pada penghujung mesyuarat dua hari secara bersemuka di antara perunding kerajaan Thailand dan wakil Barisan Revolusi Nasional (BRN), melonjakkan lagi keyakinan apabila kedua-dua pihak mengotakan janji mereka untuk menghentikan keganasan.

Perjanjian itu agak jelas dan mudah - tentera Thailand berjanji tidak memburu anggota sel manakala pemberontak BRN bersetuju untuk menghentikan serangan semasa Ramadan dan sehingga Hari Visakha Bucha iaitu hari cuti umum bagi penganut Buddha yang disambut pada 15 Mei.

Lonjakan keyakinan yang lebih besar menyusul selepas langkah mengisytiharkan semua masjid di wilayah yang dilanda konflik itu sebagai tempat perlindungan di mana para pejuang boleh bertemu ahli keluarga mereka pada 10 hari terakhir Ramadan, yang berakhir pada 1 Mei. Namun, perkara ini tidak berlaku.

Artef Sohko - Presiden The Patani, iaitu kumpulan tindakan politik yang menyokong usaha menentukan nasib sendiri untuk penduduk wilayah yang menjadi pertikaian sejarah itu - berkata memasuki ruang awam terbuka seperti masjid komuniti itu adalah risiko keselamatan yang terlalu besar untuk diambil oleh para pejuang.

Sikap tidak percaya masih lagi tinggi, katanya.

Pada masa lalu, idea untuk mengundurkan diri tidak menarik bagi Tentera Thailand, yang cenderung menggunakan cara ketenteraan untuk menumpaskan pejuang BRN. Walaupun selepas BRN mengumumkan gencatan senjata unilateral pada April 2020, susulan gesaan mengadakan gencatan senjata global daripada ketua PBB António Guterres semasa permulaan pandemik COVID-19, pasukan keselamatan Thailand berterusan menghapuskan operasi BRN dengan memburu satu demi satu anggota sel yang bersembunyi di kampung-kampung pedalaman.

Sejak 24 bulan lalu, tentera Thailand membunuh hampir 60 anggota BRN, menurut pengiraan saya berdasarkan laporan media. Sumber tentera memberitahu saya bahawa mereka berasa hairan bahawa semua kecuali seorang pejuang yang memilih untuk bertarung sehingga penghujung nyawa dan bukannya tampil menyerah diri, walaupun peluang mereka untuk selamat adalah sangat tipis.

“Ia adalah cara mereka untuk menunjukkan komitmen bagi mendapatkan merdeka (kemerdekaan),” kata Asmadee Bueraheng, ahli eksekutif The Patani, yang merujuk kepada sikap berjuang habis-habisan para pejuang itu.

Sikap itu menarik perhatian pakar keselamatan terkemuka Thailand, Profesor Madya Panitan Wattanayagorn yang juga pengerusi Jawatankuasa Penasihat Keselamatan Perdana Menteri, dengan pasukan penyelidik anti-keganasan ekstremisme (CVE) berkata nilai berkenaan akan terus menimbulkan cabaran besar kepada program menangani pemberontakan Thailand.

Bercakap pada satu acara baru-baru ini di Kelab Wartawan Asing Thailand, Panitan berkata pegawai keselamatan Thailand boleh merasa selesa setelah fakta menunjukkan jumlah keseluruhan insiden keganasan telah menurun secara berterusan sejak sedekad yang lalu.

Tetapi, tahap komitmen dalam kalangan aktivis dan pejuang haruslah menjadi peringatan tentang keadaan konflik itu dan apa yang layak dianggap sebagai kejayaan menentang pemberontakan, katanya.

Mendapatkan perunding BRN untuk bersetuju bahawa rundingan pada masa depan adalah sejajar dengan "Negara Kesatuan Thailand mengikut Perlembagaan" mungkin boleh dianggap sebagai satu pencapaian tetapi ramai pegawai dan ahli militan tidak melihatnya seperti itu.

220516-th-deep-south-peace-checkpoint.jpg

Penumpang kenderaan diperiksa oleh anggota sukarelawan pertahanan awam Thailand yang bersenjata dan polis di wilayah selatan Narathiwat selepas 15 orang terbunuh manakala lima lagi cedera dalam serangan yang disyaki dilakukan militan di wilayah Yala, 6 Nov. 2019. [AFP]

Beberapa pegawai tinggi Thailand melihat penerimaan BRN terhadap Perlembagaan negara itu sebagai langkah berwaspada – sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk mendapatkan penerimaan negara dan perakuan antarabangsa.

Menurut teori ini, BRN percaya bahawa ia boleh mendapatkan penerimaan jika ia tidak lagi dijenamakan sebagai kumpulan jenayah terancang – dan pada masa akan datang, masyarakat antarabangsa boleh bertindak balas secara positif terhadap rungutan sahih mereka. Dengan kata lain, kemerdekaan masih menjadi matlamat utama mereka.

Sementara itu, pejuang di lapangan ingin tahu sama ada penerimaan Perlembagaan Thailand bermakna ia akan menamatkan usaha mereka untuk mendapatkan kemerdekaan. Jika matlamat politik ini dikompromi, kumpulan serpihan mungkin dibentuk pula. Perkara 1 Perlembagaan Thailand menyatakan bahawa negara itu tidak boleh dipisahkan.

Pergerakan sulit

Terdapat banyak NGO tempatan dan antarabangsa yang berminat untuk bekerjasama dengan pihak Thailand dan BRN dalam menyelesaikan konflik dan perantaraan. Tetapi, mendapat akses kepada pihak pembuat keputusan utama - pemimpin tertinggi pergerakan itu - terbukti mustahil.

BRN ialah sebuah pergerakan rahsia dan sesiapa sahaja yang muncul dalam ruangan awam dianggap "boleh dihapuskan," kata sumber tentera. Terdapat perselisihan pendapat sama ada ia turut terpakai kepada tujuh perunding BRN – dan sama ada mereka benar-benar boleh menunaikan janji mereka, sekurang-kurangnya dengan mengawal sayap tentera yang berkuasa dalam pergerakan itu pada masa itu.

Sementara itu, keputusan perunding BRN untuk berbincang di bawah Perlembagaan Thailand telah membangkitkan kemarahan gerakan pemisah Patani yang sudah lama bertapak itu, dan menunjukkan janji mereka selain merayu kepada mereka yang tidak bersetuju dengan langkah itu.

Untuk menonjolkan perkara itu, Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO), pada awal pagi 15 April, telah melakukan dua serangan sehingga menyebabkan kematian seorang penduduk kampung dan mencederakan tiga pegawai ordinan Tentera semasa pasukan keselamatan BRN dan Thailand memantau gencatan senjata itu. Presiden PULO Kasturi Mahkota pantas memuji sayap tentera pergerakan itu, yang dipanggilnya G-5, dan menyatakan bahawa beliau bersedia untuk kembali ke meja rundingan tetapi bukan di bawah Perlembagaan Thailand.

PULO, bersama-sama pergerakan lama yang lain yang bernaung di bawah pertubuhan induk MARA Patani, telah diketepikan daripada rundingan damai tersebut selepas pihak Thailand mendapat persetujuan daripada BRN untuk hadir ke meja rundingan di bawah proses semasa, yang dilancarkan pada Januari 2020.

Dan, sementara PULO memikirkan langkah seterusnya, ketua perunding MARA Patani, Sukree Hari, juga membuat kemunculan semula untuk mengeluarkan kenyataan umum di YouTube pada 1 Mei. Walaupun kenyataannya hanya berkaitan berakhirnya Ramadan, ia dilihat sebagai peringatan kepada kerajaan Thailand bahawa MARA Patani harus dijemput kembali ke meja rundingan.

220516-th-deep-south-peace-ramadan.jpg

Umat Islam di Narathiwat, Thailand, menunaikan solat di masjid semasa menjalani ibadah puasa Ramadan, 5 April 2022. [AFP]

Bagi membolehkan PULO mendapatkan semula status dan kekuatan lamanya – yang memuncak pada tahun 1980-an – pergerakan itu perlu melengkapkan pelan tindakan organisasinya dan mengisi ruang yang ada terutamanya sayap ketenteraan dan politik.

Sebaliknya, BRN yang tidak bergiat aktif selama 10 tahun pada 1990-an telah mengejutkan pihak keselamatan Thailand apabila melakukan kemunculan semula dengan hebat pada 4 Januari 2004 apabila ia menyerbu batalion tentera di Narathiwat dan mencuri lebih 350 senjata milik tentera Thailand.

Walaupun ramai pegawai Thailand menyatakan mereka tidak menjangka adanya pembentukan sayap tentera PULO, namun ia tidak bermakna ia tiada dalam perancangan. Pegawai Thailand sememangnya terkejut dengan tindakan BRN mengaktifkan semula selnya pada 18 tahun lalu. Pastinya, tiada siapa yang mahu dimalukan dengan senario kejutan tetapi mengagumkan itu dengan kemunculan semula PULO.


Don Pathan ialah seorang penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh