Follow us

Fasilitator Baru Malaysia Mula Gerakkan Usaha Perbincangan Damai Selatan Thailand

Komentar oleh Don Pathan
Yala, Thailand
2018-10-08
E-mel
Komen
Share
Bekas Ketua Polis Malaysia, Abdul Rahim Noor, menjawab soalan mengenai pelantikannya sebagai fasilitator baru bagi perbincangan damai yang diusahakan Malaysia melibatkan kerajaan Thailand dan kumpulan pemberontak Selatan Thailand, dalam satu temu bual di Kuala Lumpur pada 24 Ogos, 2018.
Bekas Ketua Polis Malaysia, Abdul Rahim Noor, menjawab soalan mengenai pelantikannya sebagai fasilitator baru bagi perbincangan damai yang diusahakan Malaysia melibatkan kerajaan Thailand dan kumpulan pemberontak Selatan Thailand, dalam satu temu bual di Kuala Lumpur pada 24 Ogos, 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamed, melantik bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor, bagi mempermudahkan usaha perbincangan damai antara Kerajaan Thailand dan MARA Patani, iaitu badan induk yang merangkumi pelbagai kumpulan pemisah dari wilayah Selatan Thailand yang penduduknya berbahasa Melayu.

Abdul Rahim, yang suka berterus terang, amat memahami tentang cabaran keselamatan di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia. Beliau mencipta nama kerana berjaya menundukkan Parti Komunis Malaya (CPM), yang kini dibubarkan, menerusi satu perjanjian damai pada  1989.

Dr Mahathir juga bukanlah orang asing dalam konflik pemisah di selatan Thailand. Pada 2005, selepas beliau melepaskan jawatan PM buat kali pertama, Dr Mahathir telah meminta bantuan bekas ketua polis negara, Norian Mai dan ahli perniagaan Shazryl Eskay Abdullah, untuk membantunya dalam proses damai Langkawi, satu forum yang menghimpunkan para pegawai keselamatan kanan Thailand ke pulau itu, dengan inisiatif berkenaan dinamakan sempena pulau tersebut.

Wakil-wakil dari Majlis Keselamatan Negara Thailand dan Pusat Keselamatan Nasional Angkatan Tentera telah bertemu dengan para pemimpin dalam buangan kumpulan pemisah Melayu Patani, yang kini tidak lagi mempunyai kawalan ke atas generasi baru militan itu di lapangan.

Tetapi, seperti mana inisiatif lain sebelum dan selepas itu, proses damai Langkawi tidak menarik perhatian pihak yang bertelagah dan tidak lama kemudian, ia bukan lagi menjadi perbualan pihak berkepentingan dalam konflik tersebut.

Pelantikan Abdul Rahim sebagai fasilitator baru telah menerima tentangan dari dalam Malaysia. Ahli Parlimen Nurul Izzah, anak perempuan Anwar Ibrahim, mengingatkan orang ramai tentang "mata hitam" yang dialami bapanya apabila, Abdul Rahim yang ketika itu ketua polis negara, menumbuknya kira-kira 20 tahun lalu.

Cakap-cakap tentang Abdul Rahim di selatan Thailand juga sering menyentuh mengenai adik beradik Thanam, para pemimpin pemisah utama daripada Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO) yang telah dihantar pulang ke Thailand pada awal 1998 ketika beliau menjadi ketua polis negara.

Langkah itu meninggalkan parut yang berkekalan di antara masyarakat pemisah Melayu Patani dan kerajaan Malaysia.

Walaupun konteks politik pemberontakan di selatan Thailand masih tidak berubah-kerana ia masih merupakan perjuangan etno-nasionalis-generasi baru pejuang bayangan di bawah kepimpinan kumpulan pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) giat bergerak ke seluruh wilayah itu kini, dan melakukan serangan terhadap pasukan keselamatan Thailand pada bila-bila masa yang diingininya.

Tahap pemahaman Abdul Rahim mengenai motivasi dan ideologi BRN masih belum jelas setakat ini. Lagipun, ketika beliau bertugas mengawal sepanjang sempadan, PULO merupakan kumpulan yang menguasai pentas keganasan. Pada masa kini, BRN yang berbuat demikian.

Pegawai perisikan tentera Thailand menyatakan bahawa mereka tidak mengetepikan PULO langsung; rangkaian dan asas sokongan kumpulan itu di wilayah tersebut semakin mantap dan boleh menimbulkan masalah kepada Thailand pada masa akan datang.

Menurut pegawai Thailand, tugas utama sekarang adalah untuk mendapatkan kepimpinan BRN supaya menyertai MARA Patani dalam perbincangan damai itu.

Pegawai-pegawai Thailand percaya bahawa Abdul Rahim yang sudah berusia itu akan memberi tekanan kepada para pemimpin BRN bagi membawa mereka ke meja perbincangan. Ini kerana beliau dan Dr Mahathir mempunyai masa kurang daripada dua tahun untuk berbuat demikian sebelum jawatan perdana menteri diserahkan kepada Anwar.

'Tidak boleh paksa berdamai'

Bagaimana caranya Abdul Rahim berhubung dengan para pemimpin BRN terus menjadi teka-teki.

Namun, sumber kanan BRN memberitahu bahawa pergerakan itu "belum bersedia untuk bersemuka dengan para pegawai kerajaan Thailand, tanpa mengira siapa yang menjadi pemudah cara proses itu."

Beberapa pegawai Thailand berkata, mereka memahami mengapa pemimpin BRN enggan menyertai perbincangan damai itu, dengan menyatakan bahawa pendekatan Thailand adalah amat "tidak liberal" kerana ia berasaskan kepada andaian mudah bahawa perbincangan dengan MARA Patani akhirnya akan menarik penyertaan BRN.

"Anda tidak boleh melakukan paksaan terhadap orang lain," kata seorang pegawai keselamatan Thailand yang bekerja di selatan negara itu. "Para pemimpin BRN perlu merasa cukup yakin untuk tampil di meja perbincangan dan mereka perlu percaya bahawa mereka akan mendapat sesuatu daripada perbincangan itu."

Selain perubahan yang berlaku di Kuala Lumpur, Bangkok juga bercadang untuk melaksanakan perubahan.

Terdapat perbincangan yang masih berterusan mengenai pengganti Jen. Aksara Kerdpol, ketua pasukan perundingan kerajaan tentera Thailand dalam perbincangan damai itu. Tentera Thailand sedang mencari seseorang yang "boleh mengendalikan" Abdul Rahim.

Satu nama yang disebut-sebut ialah Jen. Akanit Muensawas, seorang pegawai tentera bersara yang pernah bertugas menjaga  keselamatan sempadan pada 1980-an, pada masa yang sama dengan Abdul Rahim.

Kedua-dua lelaki itu saling berbalah semasa ditugaskan untuk menamatkan pemberontakan di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia ketika itu.

Abdul Rahim akhirnya dapat menamatkan perjuangan PKM manakala Akanit semakin menghilang daripada senario di pedalaman selatan, ketika para pemberontak Melayu Patani meletakkan senjata susulan program pengampunan.

Sesetengah pejuang kembali ke kampung masing-masing manakala yang lainnya diberikan suaka di negara-negara Eropah utara, Malaysia dan Indonesia.

Tetapi sedekad kemudian, apabila Thaksin Shinawatra hampir menjadi perdana menteri Thailand, generasi baru pemisah Melayu Patani melakukan kemunculan dengan meneruskan apa yang telah  ditinggalkan generasi militan pemisah terdahulu.

Thailand melakukan kesilapan dengan mengandaikan bahawa tiadanya keganasan bermakna keamanan. Kisah tentang Patani sebagai tanah air bersejarah orang Melayu yang dicerobohi orang Siam tidak pernah berkesudahan.


Don Pathan ialah seorang perunding dan penganalisis keselamatan yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh