Apakah seterusnya untuk rundingan damai Selatan Thai selepas perubahan mengejut dalam kerajaan?

Pelantikan orang awam pertama mengetuai Thailand dalam rundingan dengan pemisah BRN perlu diperbaharui apabila kerajaan baharu dibentuk.
Komentar oleh Don Pathan
2024.08.22
Bangkok, Thailand
Apakah seterusnya untuk rundingan damai Selatan Thai selepas perubahan mengejut dalam kerajaan? Srettha Thavisin bercakap kepada media selepas Mahkamah Perlembagaan Thailand membuat keputusan memecatnya sebagai perdana menteri kerana pelanggaran etika di Rumah Kerajaan, Bangkok, 14 Ogos 2024.
[Chalinee Thirasupa/Reuters]

Pertukaran mendadak perdana Menteri Thailand akan memberi sedikit kesan terhadap rundingan damai selatan memandangkan parti pemerintah selama ini tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai keutamaan.

Parti Pheu Thai kembali berkuasa pada September 2023 melalui perjanjian ‘Faustian’ selepas pilihan raya dengan parti politik sivil-tentera, meskipun ia telah berjanji untuk tidak bekerjasama dengan mereka.

Sejak memegang jawatan tahun lalu dan sebelum Srettha Thavisin disingkirkan sebagai PM melalui perintah mahkamah pada 14 Ogos, Pheu Thai secara konsisten memberikan tumpuan kepada pergelutan isu ekonomi.

Sementara itu, usaha sedang dilakukan untuk menggantikan ketua perunding Thailand.

Di bawah peraturan sedia ada untuk rundingan damai, mandat Chatchai Bangchuad, orang awam yang berkhidmat sebagai ketua perunding Thailand, dijangka berakhir selepas Kabinet Perdana Menteri baharu Paetongtarn “Ung Ing” Shinawatra dilantik.

Chatchai yang juga Timbalan Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara telah mengetuai pasukan perunding Thailand selama kira-kira tujuh bulan dalam perbincangan dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemberontak paling berkuasa di selatan.

Beliau telah berjaya dalam mendapatkan persetujuan BRN kepada rangka kerja untuk proses damai, yang dikenali secara rasmi sebagai Rancangan Komprehensif Bersama Ke Arah Keamanan (JCPP).

Menyetujui rangka kerja rundingan itu mungkin tidak serumit rundingan mengenai perkara pokok tiga isu substantif:

Pemberhentian permusuhan dan pengurangan keganasan; proses perundingan awam dan perbincangan ke arah merealisasikan penyelesaian politik dalam menamatkan konflik di wilayah majoriti Muslim sempadan selatan yang telah meragut sekurang-kurangnya 7,400 nyawa sejak 2004. Perjanjian itu merupakan satu langkah ke arah yang betul.

Pada penghujung Jun, fasilitator perundingan Malaysia ketika itu, Jeneral Zulkifli Zainal Abidin mengeluarkan kenyataan akhbar untuk mengalu-alukan langkah tersebut.

Pengesahan rasmi rangka kerja oleh semua pihak dijangka dilakukan pada September.

Bagaimanapun, penyingkiran Perdana Menteri Srettha oleh Mahkamah Perlembagaan telah mengganggu proses itu.

Dalam undian 5-4, mahkamah memerintahkan beliau dilucutkan jawatan serta-merta kerana telah melakukan apa yang dianggap sebagai pelanggaran etika yang teruk apabila melantik penjenayah yang disabitkan kesalahan, Pichit Chuenban ke dalam Kabinetnya.

Dengan penyingkiran Srettha dan menteri-menterinya bermakna JCPP perlu menunggu sehingga Kabinet baharu mengembalikan semula Chatchai atau melantik ketua perunding baharu.

RUNDINGAN_DAMAI_SELATAN_THAILAND_04.jpg
Zulkifli Zainal Abidin (tengah), yang ketika itu fasilitator Malaysia bagi rundingan damai antara kerajaan Thailand dan wakil kumpulan pemberontak Barisan Revolusi Nasional Selatan, bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur sambil diapit ketua perunding Thailand Chatchai Bangchuad (kiri) dan Ketua Panel BRN, Anas Abdulrahman, 7 Februari 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Memandangkan Srettha dan penggantinya, Ung Ing adalah tokoh daripada parti yang sama, seseorang akan menganggap bahawa peralihan kerajaan dan agenda rundingan damai tidak akan terganggu.

Namun tiada perkara yang mudah di selatan. Panel Dialog Keamanan, Chatchai telah menghadapi kritikan daripada penasihat kerajaan dan penyokong tegar, yang kebanyakannya tidak pernah menyukai idea untuk berunding dengan pemberontak pada mulanya.

Mereka melihat rundingan damai sebagai suatu yang "tidak perlu" dengan memberikan keabsahan kepada BRN yang dianggap tidak layak mendapatkannya.

Malangnya bagi Chatchai dan pasukannya, kritikan paling keras datang daripada salah satu suara yang paling dipercayai dalam kalangan Pheu Thai.

Kecaman

Kecaman terhadap JCPP oleh Profesor Surachart Bamrungsuk, seorang pakar keselamatan dari Universiti Chulalongkorn baru-baru ini bukan sahaja mengejutkan Chatchai dan pasukannya malah ahli jawatankuasa ad hoc Parlimen yang ditugaskan untuk mengemukakan cadangan tentang kaedah menambah baik rundingan damai.

Surachart bukan ahli Pheu Thai tetapi mempunyai hubungan rapat dengan parti itu dan memahami kehendak pegawai Pheu Thai.

Menurut sumber yang rapat dengan jawatankuasa kecil itu, ia sedang merangka laporan yang dikatakan sangat progresif.

Ia mengandungi cadangan agar kerajaan dan penggubal undang-undang membuka ruang sosial, budaya dan politik untuk orang Melayu di selatan sebagai cara untuk memenangi hati dan minda rakyat yang terus menolak pembinaan dan naratif negara bangsa Thailand atas alasan ia menjejaskan identiti etno-agama mereka.

Draf laporan itu juga menyeru rundingan damai untuk melangkaui langkah membina keyakinan (CBM) dan mengambil lebih banyak isu substantif ke meja perundingan.

Syor itu dijangka diserahkan kepada Parlimen sebelum berakhir tahun kewangan pada 30 September ini.

Seperti Panel Dialog Keamanan, ahli jawatankuasa ad hoc juga bimbang bahawa cadangan mereka akan mati sebelum tiba masanya.

Jika Surachart tidak bersedia untuk memberikan JCPP faedah atas keraguan yang ditimbulkan maka pada pandangan mereka, tidak ada banyak harapan terhadap cadangan yang dikemukakan jawatankuasa itu.

Surachart menuduh perunding melangkau sempadan mereka dan berkata bahawa sebarang perbincangan dengan pemberontak mesti membabitkan tuntutan untuk mengurangkan keganasan, sesuatu yang BRN tidak bersedia melakukan.

TH-Pathan-3.JPG

Pasukan perkhidmatan kecemasan membuat pemeriksaan di hadapan sebuah kedai selepas letupan di wilayah Yala, Selatan Thai yang kelihatan seperti siri serangan terkoordinasi oleh pemberontak pemisah di beberapa lokasi di Yala, Thailand, 17 Ogos 2022. [Surapan Boonthanom /Reuters]

Berusaha ke arah pengurangan keganasan dan menghormati peraturan penglibatan adalah baik pada dasarnya tetapi perjanjian rasmi mengenai pemberhentian permusuhan pada pandangan BRN, adalah lebih kepada satu bentuk penyerahan diri.

Di tengah-tengah kritikan yang meletakkan perunding pada kedudukan tidak selesa, langkah diambil oleh individu, termasuk seorang jeneral tentera bersara yang berpendapat dia boleh melaksanakan kerja dengan lebih baik.

Tiada siapa yang dijangka membuat kekecohan besar jika kerajaan baharu Pheu Thai melantik seorang lagi jeneral tentera sebagai ketua perunding walaupun ia kembali menggunakan pendekatan tentang mempromosikan ketuanan orang awam dalam rundingan damai.

Namun jika alasan untuk penyingkiran Chatchai mempunyai kaitan dengan kritikan Surachart, ia boleh memberikan makna penamatan kepada JCPP seperti yang kita tahu.

Tidak kira siapa yang menjadi ketua perunding, Thailand masih perlu mengatasi beberapa halangan yang serius, seperti bersetuju dengan sifat konflik itu sendiri.

Tindakan kerajaan yang berturut-turut menghantar perunding untuk bertemu dengan wakil BRN menjadi bukti bahawa mereka mengakui asas politik konflik itu.

Tetapi ramai penyokong tegar masih percaya mereka boleh menamatkan konflik melalui cara ketenteraan dan keluar sebagai pemenang tanpa memberi sebarang konsesi kepada BRN atau orang Melayu di bahagian selatan.

TH-Pathan-4.JPG

Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra bercakap pada sidang media di ibu pejabat Parti Pheu Thai selepas upacara pengesahan diraja di Bangkok, 18 Ogos 2024. [Chalinee Thirasupa/Reuters]

Secara berasingan, Malaysia baru-baru ini telah melantik fasilitator baharu, Mohd Rabin Basir untuk rundingan antara kerajaan Thailand dan BRN.

Membiasakan diri dengan selok-belok rundingan akan mengambil sedikit masa, fasilitator baharu nampaknya bermula dengan baik.

Pegawai Thailand berkata Rabin tidak terlalu berminat dengan protokol dan dia menggalakkan penglibatan secara langsung antara wakil BRN dan perunding Thailand.

Kurang berstruktur, lebih secara langsung dan penampilan peribadi nampaknya merupakan pendekatan Rabin terhadap proses damai, kata seorang pegawai Thailand.

Bagaimana perkara ini berlaku dari segi perbincangan lebih mendalam mengenai JCPP atau sebaliknya, masih belum dapat dilihat.

Don Pathan ialah seorang penganalisis keselamatan dan pembangunan bagi organisasi antarabangsa yang berpejabat di Thailand. Pendapat yang dinyatakan dalam komentar ini adalah pendapat penulis dan bukannya BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.